Monday, November 30, 2009

UMNO OH UMNO



Salam 1Malaysia.

NG amat tertarik dengan komen yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri Malaysia di dalam blognya "Che Det" berkait dengan UMNO. Tahniah kepada Yg Amat Bhg Tun kerana begitu ikhlas dan jujur memperkatakan berkenaan kedudukan UMNO dari sudut pandangannya. Memang kenyataan ini adalah pahit untuk orang biasa perkata; tetapi disebabkan yang berkata itu Tun Mahadhir maka ia tidaklah menjadi luar biasa. Ini kerana seluruh dunia sudah kenal dan sudah tahu betapa telus dan kritisnya Tun Mahadhir. Untuk orang biasa, perkara yang disebutkan oleh Tun Mahadhir itu amat terlarang dan sememangnya taboo.

Sekali lagi tahniah dan syabas kepada Yg Amat Bhg Tun kerana memulakan cetusan ini yang mungkin akan mendapat reaksi dan respon banyak pihak. NG percaya bahawa niat Tun adalah untuk memberi kesedaran kepada semua orang bahawa sudah tiba masanya semua pemimpin UMNO untuk berubah dengan sejujurnya kalau ingin mengekalkan legasi UMNO itu sendiri kerana zaman beretorik sudah lama berlalu. UMNO harus menerima hakikat bahawa sekarang adalah zaman berbuat sesuatu yang telus, bersih, nampak bersih dan sangat bersih. Zaman hipokrit dan berpura-pura sudah tak laku. UMNO wajib mengakui zaman menghulur tongkat (subsidi) sudah tak makan umpan lagi. Rakyat sekarang sudah muak dengan seni lakon dan sandiwara para pemimpin UMNO. Mereka sudah jemu dan muak dengan keegoan dan kesombongan pemimpin yang hanya datang bertemu mereka empat tahun sekali. Sebenarnya UMNO sudah terkena perangkap mereka sendiri.

Maka hari ini NG juga ingin berkongsi sedikit pendapat beberapa orang rakan yang selalu bermuzakarah dengan dengan NG berkait dengan politik tanah air.

Memang diakui ada usaha untuk menyingkir dan menyekat orang Melayu daripada menjadi ahli UMNO. Di peringkat kampung atau di peringkat cawangan UMNO memang berlaku usaha penyaringan permohonan untuk menjadi ahli UMNO. Ramai rakan NG yang kebetulan ada sedikit kelulusan dari segi akademiknya tidak mendapat restu dari cawangan UMNO, lalu permohonan mereka untuk menjadi ahli dan penyokong UMNO gagal. Borang permohonan keahlian UMNO yang dihantar melalui Cawangan UMNO entah ke mana hilang dan mereka ini menunggu jawapan kelulusan untuk menjadi ahli UMNO bak menunggu buah yang tak akan gugur kerana mengikut rakan NG bahawa dia sudah menunggu kelulusan untuk menjadi ahli UMNO sudah lebih dari 25 tahun.

Dan akhirnya mereka yang ramai terdiri dari ahli profesional ini telah berpaling kepada parti PAS. Ramai rakan-rakan NG sekarang menjadi penyokong kuat PAS kerana PAS amat mengalu-alukan meraka sebaliknya UMNO telah mencipta birokrasinya tersendiri.

Sebab itulah ramailah mereka ini menjadi pembantu kepada PAS di dalam bidang kepakaran masing-masing. Untuk makluman apabila NG bertanya kepada mereka kenapa mereka bersama dengan PAS; mereka dengan jelas mengatakan bahawa UMNO memang tidak akan menerima mereka kerana mereka ini dianggap pengacau kerana mereka ini lebih cerdik dan pandai daripada pemimpin yang sedia ada. Kata mereka lagi orang cerdik tidak boleh berada di dalam UMNO. UMNO hanya menerima orang yang walaupun tidak cerdik tetapi pandai menjadi pembelit. Maka kata mereka jika UMNO menolak mereka kenapa kepakaran dan kemahiran yang ada itu mereka bazirkan sedangkan PAS memerlukannya.

Isu memilih bakal penyokong juga menjadi pokok percaturan para pemimpin UMNO. Inilah yang menyebabkan mereka sangat berhati-hati untuk menyokong dan memberi laluan kepada pemohon yang ingin meneyrtai UMNO. Kepada para pemimpin ini mereka wajib bersedia dengan ahli-ahli yang bakal menyokong mereka pada setiap musim pertandingan. Inilah yang menyebabkan mereka rela cawangannya tidak bertambah bilangan ahlinya asalkan yang ada itu adalah terdiri daripada suku sakat yang pasti akan menyokongnya yang tentu akan mempastikan kelangsungan kepimpinan tidak berpindah tangan.

Kenapakah ini terjadi? Ini semua kerana di sinilah punca segalanya. Dengan menjadi pemimpin UMNO (tidak kira peringkat mana) adalah menjadi janji bahawa di situ akan lahir mereka yang kaya, berada, mewah dan berperestij. Ini kerana menjadi pemimpin UMNO bererti mereka sudah mempunyai sebuah lampu ajaib. Niat saja pasti mereka akan dapat apa sahaja. Sebab itulah pemimpin ini sanggup buat apa sahaja asalkan mereka boleh menjadi pemimpin yang sudah tentu akan mengkayakan diri sendiri dan semua penyokongnya.

Seperti yang pernah NG tulis dalam posting yang lalu: "amat sukar kita mencari bekas atau pemimpin UMNO yang papa kedana melainkan mungkin adalah seperti antah di dalam beras".

Natijahnya, UMNO semakin tidak popular di kalangan umat Melayu. Setiap kali ada pilihan raya kita lihat pemimpin UMNO terpaksa bersengkang mata dan bekerja hingga peluh melilih ke keting turun padang berkempen demi membujuk rakyat menyokong UMNO (BN). Tetapi hakikatnya UMNO(BN) tetap ditolak kecuali di Bukit Selambau.

Maka sudah sampai masanya semua ahli UMNO khususnya para pemimpin UMNO "sedarlah diri" dan cermin-cerminlah diri adakah mereka itu layak berada di situ demi kelangsungan UMNO itu sendiri. Adakah mereka ikhlas di dalam perjuangan; atau mereka sanggup bergolok bergadai mendapatkan jawatan itu kerana perjuangan peribadi? Semua pemimpin UMNO sewajibnya bermuhasabah diri, lihat dari rambut sampai ke kaki dan cuba semak HATI itu sendiri, adakah ia bersih atau tidak? Jangan sampai kita tersungkur dengan keadaan yang amat hina di bumi sendiri kerana kekotoran hati kita.

UMNO tidak mempunyai masa yang banyak untuk membeli hati rakyat terutama orang Melayu. Orang Melayu sekarang bukan orang Melayu tahun 60han. Walaupun mereka ada yang buta huruf tetapi anak cucu mereka sudah kenal huruf bahkan ramai anak cucu mereka yang sudah menjadi ahli profesional. Anak cucu mereka sudah kenal yang mana intan dan yang mana kaca. Anak cucu mereka sudah menjadi cermin hikmat kepada mereka. Mereka lebih percayakan cakap anak cucu mereka. Anak cucu mereka jauh lebih dekat dengan mereka kalau nak banding dengan pemimpin UMNO yang hanya datang empat tahun sekali.

UMNO sudah tidak lagi boleh bercakap soal pembangunan semata-mata kerana (Melayu) sudah mempunyai mata hati. Dan orang Melayu sudah tidak lagi perlu tongkat lagi sekarang kerana anak cucu mereka sudah menjadi tongkat mereka tetapi sekarang orang Melayu ingin melihat "Pemimpin Yang Jujur, Bersih, Berpegang Kepada Prinsip Perjuangan dan Bikin Serupa Cakap". Orang Melayu muak dengan pemimpin yang bermegah dengan kekayaan hasil dari menjadi pemimpin UMNO.

1 comment:

  1. Salam bahagia sdra NG
    Mohon izin singgah ke blog sdra yg amat menarik. Pandangan sdr amat wajar. Kita perlukan kritikan berterusaan & kita pasti akan bimbang bila tak kedengaran lagi kritikan, hingga kita bingung o.k atau k.o kah kita. Ada kala kritikan seseorang itu, spt sdra nyatakan, pahit. Tapi kalau ubat, wajarlah ditelan. Kita punyai penapis kritikan atau tindakan orang yg hebat dari nenek moyang: peribahasa 'yang baik jadikan teladan, yg buruk jadikan sempadan'. Ketemu lagi.

    ReplyDelete