Monday, December 28, 2009

PAS Kelantan Sedia Pinda Undang-Undang Bolehkan Bukan Melayu Jadi MB


Salam 1Malaysia.

Mengikut MStar Online hari ini YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan bahawa Kelantan bersedia meminda undang-undang tubuh negeri itu bagi memberi laluan kepada orang bukan Melayu tetapi beragama Islam menjadi Menteri Besar negeri itu.

NG angkat tabik dan ingin mengucapkan setinggi syabas dan tahniah kepada Tok Guru Nik Aziz kerana begitu ikhlas di dalam perjuangannya untuk menegakkan agama Islam. Tok Guru memberi alasannya di dalam ucapannya di Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan bahawa sesiapa sahaja layak menjadi pemimpin di Kelantan asalkan ia beragama Islam dan mengamalkan agama Islam secara benar dan total. Dengan kata lain seaiapa sahaja orang Islam tanpa mengira keturunan yang berakhlak baik dan mulia, dia layak diangkat menjadi pemimpin. Seterusnya Tok Guru berkata, beliau bersedia melantik penggantinya bukan dari kalangan orang Melayu asalkan menepati kriteria tadi.

NG doakan agar Tok Guru segera meminda undang-undang tubuh Negeri Kelantan dan segera menemui bakal penggantinya di kalangan bukan Melayu tetapi beragama Islam supaya tidaklah timbul spekulasi pengganti beliau di kalangan yang rapat dengan Tok Guru.

Saturday, December 19, 2009

KERAJAAN BN HAMPIR TERSUNGKUR


Salam 1Malaysia. Salam Blogger.

Tiga hari lepas kerajaan Barisan Nasional (BN) hampir tumbang. BN amat bernasib baik kerana masih ada 66 orang ahli parlimennya yang masih setia dan mengundi menyokong usul belanjawan 2010. Maka belanjawan 2010 itu telah berjaya diluluskan dengan hanya majoriti 3 undi. Sejarah ini tak pernah terjadi di Malaysia. Namun ia terjadi zama Dato’ Seri Najib (DSN). Ini suatu tamparan hebat kepada DSN dan kumpulannya. Namun semalam DSN telah membuat kenyataan yang tegas di Copenhagen berkait dengan isu ini.

Natijahnya, seperti yang pernah disebut oleh NG di dalam posting yang lepas bahawa nampak benar TIADA KEIKHLASAN dan KEJUJURAN di kalangan ahli parlimen BN. Ini telah amat membuktikan bahawa memang benar apa yang telah kita bincangkan minggu lepas bahawa amat ramai pemimpin BN yang mementingkan diri dan suku sakatnya. Ini jelas terbukti di parlimen tiga hari lepas ketika pengundian nak dijalankan hanya 66 ahli parlimen BN (44%) sahaja yang hadir itupun kedua-dua pemimpin utama terpaksa bergegas ke parlimen setelah dimaklumkan. Jika tidak sudah tentu kerajaan BN akan tumbang kerana jika belanjawan 2010 tidak diluluskan dengan sendirinya kerajaan BN akan terbatal.

Walau bagaimanapun syabas diucapkan kepada DSN atas kenyataan beliau semalam. Semoga diharap DSN dapat melaksana kata-kata beliau tersebut kerana isu ini amat serius kerana gelagat ahli parlimen BN ini boleh menyebabkan kerajaan BN jatuh tersungkur kerana perbuatan BN sendiri.

Inilah sikap buruk yang ada pada wakil rakyat BN yang selama ini menjadi cerminan kepada rakyat jelata. Kepada puak ini janganlah cakap berdegar-degar tetapi tangan berbau tahi. Dengan kata lain sedarlah diri; mereka dipilih rakyat untuk membela rakyat bukan untuk diri sendiri; mereka dipilih rakyat untuk menjadi kuli rakyat bukan nak jadi tuan dan kalau tidak mampu menjalankan tugas sila undurlah secara suci hati dan jangan cari dosa kering.

Friday, December 18, 2009

TAHNIAH PASUKAN BOLASEPAK MALAYSIA


SALAM 1MALAYSIA. SALAM MAAL HIJRAH

NG INGIN MENGUCAPKAN SETINGGI TAHNIAH DAN SYABAS KEPADA PASUKAN BOLASEPAK MALAYSIA DI SUKAN SEA VIENTIEN, LAOS.

TAHNIAH KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT DI DALAM KEJAYAAN INI. SEMOGA KITA TIDAK PERLU MENUNGGU SETIAP 20 TAHUN UNTUK MEMEMPA KEJAYAAN SEPERTI INI. PERCAYALAH JIKA KITA IKHLAS DI DALAM PERJUANGAN APAPUN TANPA ADA SEBARANG "HIDDEN AGENDA" KITA AKAN DIBERI KEJAYAAN. TAHNIAH !!!!!!!

Thursday, December 17, 2009

SALAM MAAL HIJRAH 1431

Syukur Alhamdulillah Dia memanjangkan usia kita untuk bertemu sekali lagi kesekian kalinya tahun Kalendar Islam. Esok kita akan menyambut tahun baru hijrah; tahun 1431.

Telah 1431 tahun Nabi besar Muhammad (saw) melakukan hijrahnya dari Makkah ka Madinah demi menyibar syiar Islam. Dan yang paling menariknya penghijrahan Rasulullah ke Madinah bersama para sahabat telah berjaya membina dan meletakkan sebuah tamaddun yang maha agung baik dari aspek agama, sosial, ekonomi dan politik. Di sinilsh bermula sebuah tamaddun Islam yang maha hebat. Inilah natijah sebuah HIJRAH.

Oleh itu masih belum terlambat untuk kita orang Malaysia khususnya seluruh umat Islam untuk bermuhasabah diri, meletakkan visi baru dan azam baru untuk memulakan sebuah tamaddun Islam yang berlandaskan seluruh ajaran Islam.

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH. Semoga kita umat Islam akan diberi panduan untuk sentiasa berpegang kepada "tali Allah"

Friday, December 11, 2009

Guru VS Pembantu Kedai



Salam 1Malaysia dan Salam Blogger

Hari ini NG akan berlepas ke Hotel Sri Malaysia Temerloh untuk bersama majlis Persidangan Dwi Tahunan Pekerja-pekerja FELDA di sana. Seterusnya NG akan hadir Mesyuarat Majlis Penasihat Boroh Negara (NLAC) di Kementerian Tenaga Manusia di Putrajaya dan akhirnya NG akan bersama dengan Seminar Keselamatan Pekerja dan Sosial bersama MIOSH di Kuala Lumpur. Maka hari ini sebelum NG sibuk dengan tugas itu NG ambil kesempatan untuk menulis sedikit berkaitan pendidikan.

Hari ini, atas desakan rakan-rakan guru seluruh Malaysia yang telah sms dan e mail kepada NG mendesak agar suara kecil mereka diluahkan kepada pihak yang berwajib maka NG kira tidak salah NG mengemukakan suara mereka di sini.

Tiga hari lepas YB Dato' Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia membayangkan di Parlimen bahawa suatu hari nanti semua guru besar dan pengetua akan diberi kuasa untuk membuang dan mengambil guru di sekolah mereka demi melaksanakan sistem pendidikan yang lebih berkesan. Pada pendapat YB Timbalan Menteri, hanya guru besar atau pengetua berkenaan yang mengetahui dan mengenali yang terbaik untuk sekolah mereka.

Pada pendapat ramai ini mungkin suatu andaian yang sangat baik tetapi bagi pihak yang lain ia adalah sesuatu yang tidak munasabah.

Kesan dari kenyataan YB Timbalan Menteri tersebut NG (yang sudah tidak lagi menjadi pemimpin kesatuan guru kerana NG banyak terlibat dengan MTUC dan menjaga hal ehwal anggota sektor awam kumpulan P&P) menerima ratusan SMS dan E Mail dari rakan-rakan seluruh negara menyatakan rasa terkejut, terkedu dan tak kurang yang marah dengan kenyataan tersebut. Kata mereka Cikgu/Guru bukannlah seorang pembantu kedai kopi atau pembantu kedai runcit yang boleh diambil dan dibuang begitu sahaja. Bagaimana dengan prosedur dan peraturan yang digunapakai di bawah Peraturan Tatatertib Kakitangan Awam dan bagaimana pula kuasa dan tugas SPP dan Lembaga Tatatertib dan bagaimana pula kedudukan hak seorang anggota sektor awam di dalam Perlembagaan Malaysia? Inilah yang mereka suarakan kepada NG.

Pabila difikir, direnung dan ditilik memang ada benar juga suara dari rakan-rakan guru tersebut. Takkanlah semudah itu prosedur yang diguna untuk membuang dan mengambil guru di sebuah sekolah. Kalau itu caranya bolehlah dipanggil ia sebagai sistem sekolah prebet atau swasta. Itupun masih lagi tertakluk di bawah Akta Boroh yang mengatakan semua majikan tidak boleh mengambil, menggaji dan membuang pekerja sewang-wenang. Ada syarat-syarat yang perlu dipatuhi kalau tidak penjaralah sudahnya.

Maka dalam masa dok luah rasa hati itu adalah juga yang memberi pandangan. Antaranya ialah mencadangkan agar semua guru besar dan pengetua diajar tentang Human Management kerana pada pendapat rakan-rakan ramai antara guru besar dan pengetua ini yang jahil tentang ilmu ini sebab itulah mereka gagal mengurus sumber manusia di bawah bidang kuasanya. Kalau mereka mahir di dalam bidang ini mereka boleh pulihkan guru di bawahnya tanpa membuang atau menukarkan guru yang dianggap bermasalah itu ke sekolah lain. Kalau nak lihat sekarang ini pun amalan membuang guru dari sekolah memang sudah berjalan dan diamalkan (kerana guru besar mencari jalan singkat). Mana-mana guru yang dianggap bermasalah (padahal tak sebulu sahaja bukannya bermasalah) akan ditukar ke sekolah lain. Maka setiap masa pihak PPD sentiasa akan melakukan pertukaran guru atas kehendak guru besar/pengetua. Mengikut kata rakan-rakan; kalau semua guru besar/pengetua ada ilmu yang lengkap sudah tentu sebagai seorang yang mengurus manusia meraka akan urus stafnya walau apapun masalah yang timbul bukan dengan mencari jalan singkat; tukar saja guru tersebut. Pada guru, amalan ini tak akan menyelesaikan masalah kerana guru yang tidak dipulihkan ini akan membawa masalah di tempat baru pula. Maka sekali lagi ia akan ditukar yang akhirnya ia memberi stigma yang mendalam kepada seluruh kaum guru bahawa pertukaran itu adalah sebuah hukuman yang memblack lebel guru itu sendiri. Maka tujuan sebenar pertukaran atas sifat profesional sudah tidak wujud lagi kerana pertukaran yang dibuat adalah untuk menghukum.

Maka NG juga terfikir; apa benarkah ramai guru yang bermasalah? atau guru besar dan pengetua yang bermasalah? Maka sekali lagi benar kata orang tua: kalau sesat di hujung jalan baiklah kita kembali ke pangkal jalan. Maka NG harap apa-apa masalah yang wujud di dalam rumahtangga kita hendaklah diselesaikan secara lebih profesional. Seorang doktor pun sebelum membuat keputusan untuk memotong sesuatu organ pesakit beliau akan membuat rujukan kepada semua prosedur dan rakan-rakan pakar yang lain; bukan membuat keputusan bersifat nafsu nafsi. Oleh itu NG harap kepada semua pihak jangan segan dan malu kalau kita sesat tanyalah kepada orang tahu jalan walaupun ia hanya seorang penyiram pokok bunga. Kita harap sikap ego dan riak tidak pernah wujud di dalam bidang pendidikan negara sebab semua orang ada kekuatan; barulah dikatakan RAKYAT DIDAHULUKAN.

Rakan-raka guru juga berharap semua tindakan yang diambil hendaklah ada rasional dan telus sifatnya. Semua langkah ini diharap tidak akan menimbulkan prasangka dan prajudis sesama sendiri sebab sehingga sekarang pun soal memberi prestasi gurupun nampaknya masih menjadi isu. Ramai rakan guru yang merungut tentang penilaian pretasi mereka kerana guru menganggap mereka lebih tahu prestasi rakan-rakan mereka. Dan kalau diberi pula kuasa membuang guru; guru-guru bimbang tidak ada guru nak mengajar di sekolah kerana mereka asyik boleh dibuang bila-bila masa sahaja.

Oleh itu bagi mencari jalan tengah ada baiknya semua pemimpin guru yang berada di puncak pentadbiran memikir bagaimana kita nak memperkasa sistem pendidikan kita agar ia benar-benar menjadi suatu alat untuk membentuk seorang manusia yang perfect yang tidak jahat, yang tahu bersyukur dan berterima kasih, yang tidak mementingkan diri sendiri, yang tidak bersifat materialistik dan tidak derhaka kepada Allah.

Akhirnya marilah kita muhasabah diri; jangan sekali-kali menyalahkan mana-mana pihak dan dengan secara sedar; cuba kita bertanya kenapa rakyat Malaysia semakin KURANG AJAR sedangkan majoritinya mendapat didikan di Malaysia; di bawah sistem yang wujudkan sendiri? Adakah salah ibu mengandung?

Wednesday, December 9, 2009

SATU FITNAH ATAU KENYATAAN???


Salam 1Malaysia. Salam blogger.

Syukur hari ini dapatlah NG memuatkan satu post yang ada kaitan dengan post yang lepas.

Jika pada posting lepas NG ada menyentuh tentang perubahan yang berlaku kepada rakyat Malaysia khasnya orang Melayu maka pada hari ini NG ingin kaitkan sedikit peristiwa yang pada hemat NG ada hubungan dengan posting yang lepas.

Kononnya Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mendesak YAB Dato Seri Najib, Perdana Menteri Malaysia agar menggantung tugas Setiausaha Ploitiknya Datuk Shafie Abdullah dari menjalankan tugas kerana beliau telah dituduh menyalahguna kuasa. Pada pendapat DPPWP Datuk Shafie wajar digantung daripada menjalankan tugas sejajar apa yang telah dilakukan oleh YAB Tan Sri Khalid Menteri Besar Selangor.

Dan mengikut dakwaan YB Wee Choo Keong Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju bahawa beliau mempunyai maklumat lengkap berkait dengan isu ini. Lalu parlimen bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi menyiasat tuduhan terhadap Datuk Shafie.

Natijahnya, inilah yang NG tulis pada minggu lepas. Inilah suasana dan inilah keadaan yang kita takut melanda UMNO. Jika selama ini kita dianggap berandai dengan hal-hal sebegini tetapi hari ini kita disajikan dengan berita yang amat tidak patut berlaku (jika ini benar).

Inilah yang banyak dibisikkan ke telinga NG. Orang UMNO memang pelahap. Orang UMNO memang tamak dan pelbagai lagi tuduhan yang amat tidak enak didengar.

Walaupun Datuk Shafie masih belum ditahan, dibicara atau disabitkan di mahkamah namun cerita begini amat tidak sihat untuk UMNO. Cerita Datuk Shafie ini sudah tentu akan diheret panjang-panjang dan ditambah dan diadun dengan pelbagai ulam yang sudah tentu akan bertambah ramailah yang akan mereka cerita menjadi ia lebih sensasi. Semua dunia rekaan ini akan berpaksikan kepada kerja untuk memburuk dan menjatuhkan reputasi UMNO/BN.

Sekarang NG pun tidak tahu nak kata apa. Datuk Shafie bukan calang-calang orang. Beliau adalah Setpol kepada Perdana Menteri Malaysia. Beliau merupakan orang kanan dan orang kiri Perdana Menteri. Maka hal sebegini amat tidak patut berlaku. Sepatutnya beliaulah orang yang paling banyak berkorban untuk rakyat kerana setiap denyut nadi dan nafas PM beliau dapat mendengar. Sepatutnya beliaulah orang yang pertama menyahut dan melaksana seala wawasan PM bukan sebaliknya.

Maka NG berdoa agar hal ini tidak benar sama sekali. Biarlah ia menjadi sebuah dusta semata-mata. Namun UMNO/BN mesti menjadi sangat gentlemen dalam hal ini. Tolong siasat segala tuduhan yang dibuat; jika ada sedikit sahaja kesilapan yang dibuat oleh Datuk Shafie, beliau selayaknya dihukum 10000 kali ganda dari orang biasa. Dan jika beliau tidak bersalah hukum pula yang membuat fitnah dan tuduhan palsu.

Tetapi kata rang tua tiada angin takkan pokok boleh bergoyang....