Friday, December 31, 2010

SELAMAT JALAN 2010

Hari ini tanggal 31 Disember 2010. Hari ini merupakan hari terakhir kita berada dalam tahun 2010 masehi dan esok 2011 menjelang tiba. Hari ini jugalah hari menghitung pertambahan usia untuk setiap orang daripada kita. Maka esok sudah pasti bertambahlah usia kita untuk satu tahun lagi. Inilah lumrah dunia; yang datang pasti pergi.

Al Hamdulillah. Kita mengucap setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subha nahuataala kerana hingga kini kita masih dianugerahi rezeki yang amat bernilai. Hingga kini kita dianugerahinya nyawa kepada kita; hingga kini kita dianugerahi kesihatan yang berpanjangan; hingga kini kita dianugerahi tidur yang lena; hingga kini, kita dianugerahi selera untuk makan apa saja dan hingga kini pelbagai anugerah dan rezeki yang dilimpahi olehNya kepada kita semua. Ia terlalu banyak untuk kita menghitungnya dengan jari. Syukur.

Kita sepatut dan semestinya bersyukur yang amat sangat kepadaNya kerana tidak diberiNya ujian yang berat kepda kita, kerana kita rata-rata tergolong di kalangan orang yang sederhana dalam semua hal dan suasana. Maka natijahnya ia amat memberi ruang kepada kita untuk sentiasa bermuhasabah diri untuk sedar diri dan jauh sekali untuk kita menjadi manusia yang bongkak dan sombong. Syukur juga kerana kita tidak diberiNya kuasa yang maha besar sehingga ia amat menyukarkan kita untuk melaksanakannya seadil-adilnya. Syukur juga kerana kita tidak diberi kekayaan yang melampau-lampau yang sudah barang tentu amat sukar bagi kita mengenalpasti antara “yang halal dan yang haram”. Maka sepatutnyalah kita amat bersyukur kerana kita tidak diuji olehNya.

Bagi NG tahun 2010 merupakan saat dan ketika yang amat penting di dalam liku-liku hidup sebagai makhluk Allah di muka bumi ini. 2010 adalah tahun terakhir untuk NG menghulur sedikit sumbangan yang mampu dan kalau sempat menabur bakti NG di dalam dunia pendidikan khususnya dan pada negara amnya.

Pada 10 Februari 2011 nanti genaplah usia NG 58 tahun. 10 Februari 2011 merupakan ulangtahun kelahiran NG yang ke 58 tahun. Mengikut undang-undang yang terpakai di Malaysia, NG wajib mengundur diri dari menjadi seorang anggota sektor awam walaupun sebenarnya ada juga usaha ihsan oleh pihak-pihak tertentu agar NG disambung perkhidmatan untuk dua tahun lagi. Atas pertimbangan apa NG ditawarkan untuk menambah perkhidmatan itu NG sendiri tidak tahu. Namun dengan asas-asas yang hanya NG yang tahu; NG mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang memberi laluan kepada NG untuk menambah khidmat NG kepada negara itu. NG faham niat dan tujuan adalah baik tetapi NG rasa sudah tiba masanya untuk NG berundur walaupun pada dua tiga musim lalu NG berhajat benar untuk menerima tawaran tersebut. Buat masa kini cukuplah 37 tahun NG berkhidmat sebagai anggota sektor awam. Sudah terlalu lama NG berada di dalam perkhidmatan awam. Maka lebih baiklah kita beri laluan kepada yang lain untuk meneruskan agenda pembangunan negara.

Dan muktamadlah; NG tetap akan bersara pada 10 Februari 2011 nanti. Insya Allah.

Selama 37 tahun sebagai seorang kakitangan atau anggota sektor awam, ia amat bermakna buat NG. Bagi NG sepanjang perjalanan sebagai seorang pendidik ia terlalu banyak mengajar NG menjadi lebih dewasa. Sepanjang perjalanan ini juga terlalu banyak lemak manisnya menjadi seorang cikgu. Namun tidak kurang juga liku, onak dan duri yang terpaksa NG harungi. Namun semua pengalaman pahit manis itu telah banyak memberi pengajaran erti sebuah kehidupan.

Insya Allah NG akan cuba coretkan di sini secebis kenangan selama 37 tahun memperhambakan diri kepada dunia pendidikan.

Sunday, December 26, 2010

RUPANYA KRISMAS ADALAH HARI BEKERJA???

Pertamanya NG nak ucapkan Selamat Hari Natal kepada semua rakan beragama Kristian di seluruh negara. Juga selamat menyambut tahun baru Masihi tak lama lagi. Ini bererti penggal persekolahan sesi 2011 juga tidak lama lagi akan bermula. Dan selamat menjalankan tugas kepada semua rakan guru di seluruh pelusuk negara. Kita amat bersyukur kerana kita sentiasa dapat menyambut hari-hari kebesaran di dalam keadaan aman damai dan sejahtera berbanding dengan beberapa negara lain. Syukur.

Berbalik kepada kepada hari-hari kebesaran dan hari peristiwa utama di negara kita seperti Hari Raya, Deepavali, Tahun Baru China, Hari Kemerdekaan dan sebagainya yang selalunya seingat NG diisytihar sebagai cuti umum di negara kita. Itupun kalau NG tak lupa. Mungkin NG salah. Maklumlah hari bersara wajib semakin hampir. Mungkin NG nyanyok atau terlupa bahawa Hari Krismas tidak termasuk di dalam cuti umum yang diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia.

Tetapi hari ini (26 Disember ) NG tengok semua pejabat tak ada orang. Itu maknanya di situ orang tidak bekerja. Mudah katanya hari sebenarnya kita masih bercuti sempena Hari Krismas sebagai tanda hormat dan saling menghormati rakan-rakan kita yang beragama Kristian. NG harap NG betul dalam andaian ini bahawa hari ini adalah hari cuti dan kalau NG silap minta maaflah kepada mereka yang 'terlebih rajin' nih kerana hari ini mereka sedia untuk bekerja 'demi negara, bangsa dan agama'. Syabas kepada kumpulan ni yang sanggup bekerja walaupun orang lain sedang bercuti.

NG sebenarnya dah lama muak dan mual dengan kerja-kerja komen 'orang rajin' nih. Lebih 20 tahun NG terlibat dalam kerja-kerja dok kata ke orang yang 'lebih sudu dari kuah' nih. Hajat di hati NG di akhir-akhir perkhidmatan ini NG dah tak mahu kacau dah profesion perguruan nih. Tapi apakan daya terpaksa juga kerana telefon NG sejak semalam hingga hari ni sentiasa berdering memaklumkan ada sekolah yang buka dan hari ini merupakan hari bekerja buat mereka.....kesian Guru Besar/Pengetua sekolah yang terlibat kerana tidak cukup hari untuk bekerja. hingga hari cutipun dikerahnya anak buah mereka untuk bersama dengannya.

Nampknya semua cuti umu ini amat mengganggu kumpulan ini, diharap kerajaan kena berbuat sesuatu.

Dengan kata lain kita kena minta Kerajaan Malaysia supaya tarik balik semua cuti umum yang diisytihar kerana bersimpati dengan mereka ni yang sudah tak cukup masa dek kerana banyak sangat cuti umum. Diharap CEUPACS segera buat kertas cadangan kepada kerajaan agar dimansuhkan semua cuti umum dan cuti peristiwa yang diberi selama ini. Bawalah dalam mana-mana forum sekalipun dengan pihak JPA agar permintaan ini segera dilaksanakan. Kalau tidak akan bertambah ramailah kumpulan yang 'lebih dari kuah atau lebih lajak dari laju' nih.


Wahai rakan-rakan guru sekalian. Apa tidak cukupkah hari bekerja yang diisytihar oleh kerajaan atau atau zalimkah Tuhan kerana tidak faham dengan kehendak kumpulan ini yang perlukan masa yang lebih panjang untuk bekerja?

Atau mungkin kumpulan ini buta hati kerana tidak faham dengan segala GO dan Pekeliling Kerajaan.

Entahlah.... Sampai bila kita akan begini... Aku dah boring

Monday, December 6, 2010


SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH

Bersama disertakan petikan berkait sambutan Maal Hijrah oleh JAKIM

MAAL HIJRAH: SUNTIKAN UNTUK KEUNGGULAN UMAT

Oleh : Prof. Madya Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin

Panel Penulis JAKIM

Pada awal abad yang ketujuh Masehi, masyarakat dunia berada di pintu kehancuran. Kuasa dunia pada abad tersebut yang terdiri dari Kerajaan Empayar Rom (509SM-453M) dan Kerajaan Empayar Farsi (700SM-641M) telah menjunam jatuh akibat rebutan kuasa dan perpecahan di sana sini. Masyarakat Arab yang menghuni Semenanjung Tanah Arab lebih teruk menghadapi keruntuhan akibat daripada keruntuhan moral dan sifat taksub kepada kabilah dan puak. Dunia dalam bahaya kerana keadaan masyarakatnya tidak stabil lantaran kehilangan tonggak pegangan dan moral.

Allah Maha Adil dan Maha Penyayang kerana tidak membiarkan masyarakat manusia terus hancur dan musnah. Allah s.w.t mengutuskan seorang rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam mengimbau kembali peristiwa tersebut, Allah s.w.t menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

'Dan berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (melalui Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya'

(Ali ‘Imran:103)

Ayat tersebut antara lain menjelaskan bahawa keadaan manusia yang hampir-hampir rosak binasa dan akan menerima akibat yang lebih buruk di akhirat telah diselamatkan menerusi pengutusan rasul untuk memandu mereka ke jalan yang benar dan akhirnya mereka terselamat.

Bagi mengubah masyarakat supaya berada dalam keadaan selamat, Rasulullah s.a.w telah berhempas pulas mengorbankan segala apa yang ada dan ini diikuti pula oleh sahabat-sahabat baginda yang setia. Dalam tempoh 23 tahun, usaha tersebut dicurahkan oleh baginda dan akhirnya mencapai matlamat iaitu berjaya mengubah dan menyelamatkan masyarakat dunia dari kehancuran dan kerosakan.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w membuat perbandingan tentang usahanya itu yang bermaksud:

'Antara aku dan kamu diumpamakan seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Maka datanglah segala unggas dan binatang-binatang kecil yang berterbangan lalu jatuh ke dalamnya, sedangkan lelaki itu berusaha untuk menahan benda-benda tersebut dari jatuh ke dalamnya. Aku memegang dengan kuat ikatan pinggang kamu supaya tidak jatuh ke dalam api, sedangkan kamu terlepas dari peganganku.'

Hadith ini menggambarkan keadaan manusia yang menuju kepada kebinasaan sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Manakala Rasulullah s.a.w pula berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka agar terlepas dari kebinasaan itu. Akhirnya masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah dapat mencabar kuasa dunia iaitu Rom dan Farsi seterusnya muncul selepas itu sebagai sebuah masyarakat yang mengambil alih kuasa dunia.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a berjaya mengubah masyarakat dari sudut kepercayaan, sikap, moral, cara berfikir dan segala-galanya, termasuk perubahan pengorbanan daripada tertumpu kepada sesama manusia kepada tertumpu kepada Allah. Masyarakat manusia berjaya dipindahkan dari dua keadaan yang perbezaannya sangat jauh.

Dalam menyusuri perkembangan sejarah, selepas kejayaan kali pertama maka masyarakat Islam mengharungi jatuh bangun dalam pentas pergolakan dunia dan ia berkait rapat dengan komitmen mereka terhadap agama Islam yang suci. Era kemalapan umat Islam kali terakhir berlaku pada awal abad ke-20. Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki pada tahun 1924, masyarakat Islam semakin terumbang-ambing di gelanggang dunia. Kini masyarakat Islam masuk ke era kelemahan dan keruntuhan yang menyeluruh. Masyarakat Islam yang berpecah-pecah berdasarkan kawasan dan negara, menjadi sebuah masyarakat yang sentiasa dicabar dan dihina di mana-mana. Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam diganyang di merata-rata seperti di Yugoslavia, Iraq, Palestin, Kosovo dan di seluruh pelosok dunia. Apa yang berlaku sekarang jelas sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud:

'Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.' Ada yang bertanya, 'Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi s.a.w menjawab: 'Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya: 'Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan bencikan mati.'

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa sampai suatu masa orang-orang Islam samalah seperti satu hidangan yang dikelilingi oleh sekumpulan orang yang lapar lagi gelojoh makan. Tiada sedikitpun perasaan bimbang dalam hati orang bukan Islam untuk melakukan apa sahaja yang disukai terhadap orang-orang Islam kerana mereka sangat lemah.

Ada bermacam-macam jawapan apabila ditanya sebab kelemahan masyarakat Islam sekarang. Ada yang berpendapat ia berpunca dari kelemahan politik dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Ada yang berpendapat kerana kelemahan ekonomi, kelemahan pendidikan dan pencapaian ilmu ataupun kerana kelemahan dalam pencapaian sains dan teknologi. Ada yang memberikan alasan kerana kelemahan iman atau kerana tidak mengikut arahan agama dan bermacam-macam lagi.

Namun berdasarkan hadith itu tadi, jelas menunjukkan bahawa sebab kelemahan masyarakat Islam ialah hilangnya semangat berkorban dari dalam diri mereka. Umat Islam sudah tidak sanggup berkorban untuk tidak cintakan dunia atau berkorban untuk tidak takut mati. Mereka cintakan dunia sehingga sanggup memilihnya dengan membelakangkan kepentingan agama. Mereka juga takutkan mati apabila dituntut oleh agama bangun memperjuangkan sesuatu kebenaran. Inilah sifat-sifat negatif yang menjangkiti umat Islam.

Roh Ma’al Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada bentuk-bentuk positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa masyarakat Islam sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap.

Masyarakat Islam kini agak jauh terpesong dari landasan agamanya. Sebagai contoh, sungguhpun agama menuntut agar umatnya menuntut ilmu, tetapi kenyataan yang ada, sehingga kini sebahagian besar masyarakat Islam adalah buta huruf. Islam juga menuntut umatnya bersatu padu. Namun realiti masa kini umat Islamlah yang paling ramai berpecah belah. Demikianlah juga, Islam menuntut umatnya supaya rajin, berdisiplin dan menjaga masa tetapi orang Islamlah yang kurang berusaha, tidak berperaturan dan suka membuang masa.

Jika dilihat kepada dasar-dasar ajaran Islam itu sendiri, peluang orang Islam untuk maju dan mulia dalam dunia masa kini amatlah cerah. Ini kerana orang Islam mempunyai aset yang mencukupi dalam rangka untuk menempah kemajuan iaitu dorongan dari ajaran Islam dan aset material.

Aset galakan dan dorongan agama ini dapat dilihat dengan jelas di mana Islam sangat mementingkan ilmu dan mewajibkan ke atas setiap umatnya menuntut ilmu. Agama juga menuntut orang Islam sentiasa membina kekuatan dan kemuliaan. Kewajipan ini mendorong kuat umat Islam berusaha mencapai kekuatan dan kemuliaan pada setiap masa dan ketika. Ajaran Islam juga sangat mementingkan pegangan hidup yang mantap dan akhlak mulia. Islam juga mewajipkan umatnya menjalankan aktiviti kehidupan dengan bersih, ikhlas dan amanah.

Oleh itu, galakan-galakan seperti ini sangat penting dan menjadi modal yang besar kepada masyarakat Islam dalam mengembalikan keagungan dan kegemilangan zaman emas umat Islam.

Di samping itu, umat Islam memiliki aset material yang besar dan utama yang tidak dimiliki oleh kuasa kuffar. Petroleum, gas asli, bahan galian, sumber air, hasil hutan, bahan makanan, bilangan penganut dan banyak lagi adalah sumber kekuatan umat yang sentiasa menjadi bahan rebutan dan eksploitasi oleh golongan kuffar. Dengan adanya aset-aset tersebut dan manfaat secukupnya maka tidak mustahil masyarakat Islam menjadi satu masyarakat yang kuat dan maju sebagaimana yang pernah ditempa pada suatu ketika dahulu.

Perpindahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dari kota Mekah ke Madinah dan sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke Habsyah, merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.

Untuk terus maju dan mencapai kemuliaan, masyarakat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya menyerah kepada takdir. Umat Islam dahulu telah berjihad secara habis-habisan, maka sebab itulah mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang dan dihormati. Sesungguhnya bumi ini dan segala apa yang ada padanya adalah hak kepunyaan umat Islam. Di tangan orang Islamlah selayaknya ia harus ditadbirkan. Firman Allah s.w.t yang maksudnya:

'Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz, bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh'

(al-Anbiya’:105)

Ayat tersebut menjelaskan kepada orang Islam tentang hak mereka mewarisi pentadbiran bumi ini, tetapi dengan syarat bahawa mereka terdiri dari golongan orang-orang yang soleh. Jika syarat tersebut luput, maka mereka tidak berhak apatah lagi layak mendapatkannya.

Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka umat Islam perlu melihat hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan di dunia dan di akhirat. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas dan gerak kerja yang teratur dan betul.

Perubahan ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan pengisian kefahaman bahawa Islam adalah agama yang agung dan mulia maka umatnya juga jelas adalah umat yang agung dan mulia. Namun ia hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Masyarakat Islam juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang baik dan berfaedah kepada manusia adalah termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Oleh itu, menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu kewajipan dan dikira berdosa mereka yang mengabaikannya. Masyarakat juga perlu memahami bahawa mereka merupakan pewaris yang sah kepada kepimpinan bumi ini. Tanpa pertunjuk dan panduan hidup dari Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi yang diciptakan-Nya.

Di samping kefahaman, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh masyarakat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat daripada masyarakat lain, asalkan ianya berfaedah dan tidak bercanggah dengan batas-batas syarak. Masyarakat Islam juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka tanpa terikat dengan kongkongan pemikiran yang sempit dan merugikan. Dan juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan berkorban dalam mencapai cita-cita murni yang bertepatan dengan Islam. Umat Islam tidak dapat tidak mesti memperkukuhkan tonggak kekuatan yang terdiri dari kekuatan akidah, fizikal dan material. Mereka juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi syarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini.

Masyarakat Islam yang kian pudar dan kian hilang kekuatan tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Masyarakat Islam pada hakikatnya mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh. Sesungguhnya Ma’al Hijrah merupakan titik tolak yang paling sesuai ke arah itu.


Tarikh : 01 Disember 2000
[Ruzita Binti Mokhtar]
Editor : PRO JAKIM [Zakaria Bin Othman]
Hits : 13172

Sunday, November 7, 2010

TIME BASED

Apa itu Time Based (TB)?

TB merupakan suatu proses naik pangkat yang dianugerah kepada semua guru kerajaan (DG) di Malaysia.

Adakah sektor lain ada TB?

Ditekankan di sini, bahawa hanya DG sahaja yang diberi keistimewaan kenaikan pangkat secara TB. Tidak ada mana-mana sektor lain di dalam negara ini yang diberi kenaikan pangkat secara TB. Namun sebelum Tun Abdullah bersara beliau telah anugerahkan TB ini kepada semua kakitangan kumpulan sokongan tetapi tempohnya ialah 15 tahun.

Kenapa DG diberi TB?

Pada era 80an dan awal 90an profesion perguruan telah dilanda krisis yang amat kritikal. Profesion perguruan telah dipandang amat rendah oleh semua pihak. Profesion perguruan dilihat sebagai kumpulan yang tidak memberi banyak faedah kepada pembangunan negara. Ini berbanding dengan kumpulan koperat yang baru muncul di dalam sistem masyarakat kita. Kumpulan ini mula mendomenasi negara. Kumpulan inilah yang dianggap sebagai agen pembangunan negara. Kesannya DG dianggap sebagai sampah. Tiada siapa yang mempedulikan kebajikan DG. Kumpulan DG dihina dan dibiarkan begitu sahaja tanpa ada pembelaan yang bersungguh dari mana-mana pihak. Skim perkhidmatan DG dibiarkan begitu sahaja tanpa ada usaha untuk membuat penambahbaikan. Peluang naik pangkat untuk DG langsung tidak wujud. Ketika itu hanya Guru Besar/Pengetua sahaja jawatan naik pangkat. Jawatan-jawatan lain hanyalah jawatan kuli sahaja. Sebab itulah kami yang berjuang di dalam kesatuan sekerja berkata : Kerja guru bermula dengan perebet muda dan berakhir dengan perebet tua, kerana langsung tidak ada peluang untuk naik pangkat.

Maka ringkas cerita kami (NUTP/KPPK) telah membuat keputusan untuk mengadap YB Dato’ Najib ( ketika itu Menteri Pelajaran Malaysia ) di rumahnya di Pekan. Syukur permohonan kami beliau terima dan kedatangan kami ( Melayu, Cina, India ) telah disambut mesra. Di dalam perbincangan tersebut kami amat bertuah kerana dapat berbicang “eye to eye” dengan YB Dato’ Najib. Setelah dua kali perbincangan YB Dato’ Najib bersetuju dengan cadangan NUTP/KPPK agar DG diberi TB. Isu ini telah dibawa oleh beliau ke dalam mesyuarat kabinet. Dan al hamdulillah kabinet bersetuju dengan cadangan tersebut dan satu kertas kabinet dikeluarkan bagi pelaksanaan TB kepada semua DG. Maka kesan pelaksanaan TB ini amat besar sekali kepada semua DG khususnya mereka yang berada di mata gaji akhir. Lalu mereka yang tua-tua tapi tak naik pangkat ini akhirnya telah berjaya menjadi Pengetua kerana mendapat DG 48 KUP hasil perjuangan kita. Syukur.

Bagaimana ia dianugerah?

TB dianugerah kepada semua DG mengikut tempoh waktu bertugas. Buat masa ini tempoh bertugas yang diambilkira ialah setiap sepuluh tahun. Dengan kata lain setiap DG akan dipertimbang dan dianugerah kenaikan pangkat ke grde yang lebih tinggi apabila telah mencapai tempoh bertugas lebih sepuluh tahun. Dan kenaikan pangkat ini dipanggil kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP).

Siapa yang kena urus kenaikan pangkat secara KUP ini?

Setiap majikan – Guru Besar / Pengetua hendaklah menguruskan kenaikan pangkat secara KUP ini. Mana-mana Guru Besar/Pengetua yang gagal atau terlepas pandang urusan ini adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Ini bererti setiap DG hendaklah sentiasa peka dengan tempoh bertugas mereka agar tidak berlaku keciciran proses naik pangkat. DG tidak berhak mengarah Guru Besar/Pengetua untuk mengurus kenaikan pangkat mereka.

Ada isu lain berkait dengan TB?

Ada banyak isu lain tetapi untuk kali ini cukup sekadar di sini sahaja. Kita akan berjumpa lagi.


SELAMAT BERSARA YG BHG TAN SRI DATO' ALIMUDDIN

Kami seluruh warga pendidikan Kementerian Pelajaran Pelajaran Malaysia
mengucapkan Selamat Bersara kepada Yg Bhg Tan Sri sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM). Segala sumbangan dan jasa bakti Tan Sri terhadap sistem pendidikan di Malaysia kami sanjung tinggi. Semoga segala budi yang ditabur sepanjang khidmat Tan Sri di persada negara akan diberkati jua olehNya.

Kami doakan agar Tan Sri dan keluarga akan dirahmat jua olehNya dan sentiasa diberi sihat wal afiat adanya.

Wassalam

Sunday, September 12, 2010


Sah !!!! Sosilawati Dibunuh

Sah. Dato Sosilawati mati dibunuh dan abu mayatnya dan tiga yang lain"dihambur" ke laut Morib. NG dan seluruh sahabat merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga yang terbabit. Semoga dapat bersabar dan tenang dalam menghadapi suasana yang sedih dan pilu ini. Kita faham ini merupakan suatu tragedi yang amat malang dan ia melibatkan kes yang boleh dianggap jenayah berprofail tinggi. Sekali lagi diucapkan takziah kepada semua yang terlibat.

Misteri kehilangan jutawan kejelitaan Dato Sosilawati sudah terjawab. Bagi NG, banyak pengajaran dan iktibar yang boleh kita fikirkan dan buat sempadan atau teladan daripada kejadian ini kerana ia bukan hanya sekadar sebuah kes kematian "ops sikap". Ia merupakan suatu insiden yang amat malang, yang memang sepatutnya tidak akan pernah berlaku di dalam sebuah masyarakat Islam yang sudah amat bertamadun.

Pertamanya, ingin NG ucapkan setinggi tahniah kepada semua pegawai Polis Diraja Malaysia yang telah berusaha dan bekerja keras bagi mempastikan misteri ini terbongkar. Sekali lagi NG ucapkan tahniah kepada polis kita. Terima kasih juga diucapkan kepada pihak yang menjaga keselamatan kerana telah menjalankan tugas dengan baik dan berkesan. Bagi NG sikap kita suka menuding jari dan selalu menyalahkan pihak polis harus kita kaji semula. Sebaliknya kita mestilah sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada pihak berwajib bagi mempastikan keamanan dan keselamatan kita sentiasa terjamin. Sepatutnya kejayaan yang ditemapa ini kita iringi dengan merit dan janganlah kita sentiasa mencari kelemahan semata-mata. Memang kita akui polis juga ada melakukan kesilapan, maklumlah mereka juga manusia biasa yang sudah tentu kadangkala dikuasai oleh nafsu dan emosi. Mereka juga tidak sunyi sentiasa dihasut oleh nafsu dan syaitan yang sentiasa menggoda mereka. Namun kesilapan yang dilakukan ini boleh kita anggap sebagai isu terpencil dan hendaklan kita tangani bersama secara amat bijaksana. Tetapi dalam masa yang sama terlalu banyak sumbangan dan kecemerlangan yang telah pihak polis sumbangkan, tetapi kita tidak suka memberi merit dan respon yang baik kepada mereka. Maka marilah kita ubah sedikit persepsi dan pandangan kita agar kita sentiasa positif di dalam membuat andaian dan penilaian. Tahniah kepada semua pegawai keselamatan.

Perkara kedua yang boleh kita ambil iktibar dan pandangan dari tragedi malang ini ialah: inilah dunia sekarang. Kita tidak boleh alpa dan percaya kepada sesiapapun kecuali diri sendiri dan Agama Islam. Diri kita dan agama kita tidak akan pernah sama sekali menipu kita. Seperti yang disebut tadi, ini merupakan kes jenayah yang berprofail tinggi yang mungkin boleh kita samakan dengan yang pernah terjadi di Ulu Dong, Raub satu ketika dulu (itupun jika berita ini benar). Ia melibatkan orang-orang yang amat tinggi status dan kedudukannya. Mereka yang telah terlibat, sama ada mangsa atau pemangsa sebenarnya telah diiktiraf oleh negara. Mereka telah diberi gelaran dan darjat kedudukan yang tinggi oleh DYMM Raja atau Yang Dipertuan Agong. Mereka ini telah dinobat sebagai orang bergelar di dalam masyarakat dan negara. Dan mereka ini sepatutnya mestilah amat mengetahui kedudukan dan peranan yang perlu mereka mainkan selaras dengan pengiktirafan yang disandang. Selain itu mereka yang terlibat ini bukanlah calang-calang ilmu pengetahuan dan pengalamannya. Taraf ilmu yang mereka miliki dan pengalaman yang mereka lalui amat sukar dicabar oleh orang biasa. Pendek kata mereka yang terlibat ini merupakan antah di dalam beras; bukan senang untuk kita cari. Kehadiran merekan di dalam msyarakat, merupakan suatu kebanggaan kepada kita semua yang mungkin akan menjadi mercu tanda kalaupun bukan sebagai idola. Itulah ciri dan sifat yang ada pada mereka yang terlibat ini.

Namun kenapakah insiden dan tragedi ini boleh terjadi? Sama-samalah kita renung dan fikirkan.


Saturday, September 11, 2010

PANDANGAN BUAT LUAHAN FIKIRAN


Salam LF. NG amat tertarik dengan posting terbaru dari LF. Jika dulu LF pernah memberi pandangan dan buah fikiran kepada NG sewaktu NG mula menulis di dalam Nyiurgading maka rasanya tidak salah NG kali ini ingin rasanya mengulas sedikit posting terbaru LF.

Pada mulanya NG juga agak kaget apabila LF telah menerbitkan kembali artikel dari kama tarawis tersebut ( NG juga berfikir panjang apabila kama tarawis telah menulis cerita seorang wanita yang telah khatam Quran ). Sebenarnya, cerita seorang Islam khatam Quran bukanlah suatu cerita yang mempunyai nilai berita yang tinggi. Kata rakan wartawan ia bukanlah sehebat cerita "orang menggigit anjing", sebaliknya ia hanyalah suatu perkhabaran biasa-biasa saja. Ini kerana kisah khatam Quran bagi seorang beragama Islam adalah suatu lumrah dan sepatutnya; sebaliknya yang tidak lumrah ialah orang Islam yang tak pernah baca Quran sepatah harampun. Maka sebab itu NG juga berfikir panjang; apakah unsur nilai yang nak disampaikan oleh sama ada kama tarawis atau LF di sebalik cerita DS Rosmah khatam Quran.

Namun setelah direnung dan difikir dari sudut kata dan ayat yang dipersembahkan maka dapatlah NG buat kesimpulan apa yang sebenarnya tersirat di sebalik cerita tersebut (itupun belum tentu sealiran dengan NIAT sebenar kama tarawis atau LF). Mungkin yang NG buat kesimpulan itu juga sesuatu yang berselisih pendapat dengan LF.

Bagi NG perselisihan pendapat ( yang tidak mudarat ) itu adalah merupakan suatu seni yang berupa variasi di dalam bermuzakarah di dalam apa jua disiplin tetapi dengan syarat di akhirnya kita akan bertemu di satu titik persetujuan yang mutlak. Maka bagi NG, ulasan yang telah dibuat oleh LF adalah suatu ulasan yang adil dan bijaksana. Tidak perlu kita berkomflik di dalam suatu isu yang kabur dari sudut pandangan masing-masing kerana di dalam apa jua keadaan pun akhirnya kita mesti kembali kepada NIAT. ( setiap perbuatan bermula dengan niat ).

Diharap LF dapatlah bertenang dan lapang dada dengan apa jua yang merintang halang; kerana jika kita berjaya mematikan api yang sedang marak hanya dengan hembusan nafas sahaja ia amat akan mematangkan kita. NG juga amat tertarik dan mungkin sependapat dengan LF berhubung dengan kaedah kita menyelesaikan sesuatu masalah. Tak ada gunanya kita tergopoh gapah di dalam membuat keputusan untuk mengambil apa-apa tindakan kerana fikir itu pelita hati. Maka diharap LF boleh bertenang dan anggaplah cabaran yang tiba itu sebagai suatu ketentuan Ilahi yang sudah pasti ada rahmahnya.

Insya Allah NG akan menulis kaedah penyelesaian masalah pada masa yang lain.

Wassalam.
Jom Kita Puasa 6

Salam 1Malaysia. Salam persahabatan.

Ini adalah petikan yang NG buat dari "piewahid ulu kumbang"

Diharap ia akan memberi sedikit ilmu kepada kita bersama.

"Nabi saw memberi galakan menyusuli puasa Ramadhan dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, Abu Ayyub al-Ansori meriwayatkan:

Maksudnya: “Siapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti dengan (puasa) 6 hari dalam bulan Syawal, maka seoleh-olah dia berpuasa setahun penuh.” (HR Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Yang dimaksudkan dengan al-Dahr (الدهر) ialah al-Sanah (السنة = setahun) yakni seolah-olah dia berpuasa setahun penuh, maka jika sentiasa menunaikannya sepanjang tahun, dia seolah-olah berpuasa seumur hidupnya.

Penerangan ini tardapat di dalam hadith yang lain:
Maksudnya : “Puasa sebulan (Ramadhan) menyamai dengan 10 bulan, dan puasa 6 hari dalam bulan Syawal menyamai 2 bulan, maka jadilah puasa itu penuh setahun.”

Persoalan: Apakah dituntut puasa 6 itu disambung terus dengan Ramadhan, dalam erti kata dimulakannya pada hari kedua hari raya, seperti yang dinyatakan dalam lafaz (menyusuli Ramadhan), atau apakah memadai dilakukannya pada bila-bila dalam bulan Syawal, kerana hari-hari dalam bulan Syawal itu semuanya menyusuli/menuruti Ramadhan?

Permasaalan ini para ulama berbeza pendapat, akan tetapi aku (al-Qaradhawi) lebih cenderung kepada pandangan yang kedua, sama juga puasa 6 itu tidak semestinya dilaksanakan berturut-turut (harinya), jika ia dipisah-pisahkan tidak mengapa, insya-Allah. (Sumber: Islamonline.net)"

Wassalam.

Friday, September 10, 2010


Selamat Hari Raya Idilfitri

Salam 1Malaysia. Salam Idilfitri.

Sangat lama kita tidak bersua. NG minta maaf banyak-banyak kepada semua pengunjung yang gagal untuk bertemu dengan NG akhir-akhir ini. Maka sempena hari baik dan bulan baik ini NG ingin menyusun sepuluh jari; memohon ampun dan maaf dari semua rakan dan sahabat. Dan NG harapa mulai hari ini kita akan tetap bersua seperti dahulu.

Kepada semua sahabat NG harap janganlan jemu untuk berkunjung ke Nyiurgading kerana selepas ini NG akan banyak menulis berkait dengan isu-isu pendidikan yang Insya Allah dapatlah kita kongsi bersama. Semoga dari posting NG nanati dapatlah kita sedikit mencambah minda untuk kita bermuzakarah dan bermuhasabah sesama kita untuk kebaikan pendidikan di negara kita.

Insya Allah kita berjumpa lagi.

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.

Wassalam


Wednesday, June 23, 2010

SELAMAT BERTEMU KEMBALI

Salam 1Malaysia. Salam blogger.

Hampir dua puluh hari NG tidak membuat posting di Nyiurgading. Maka ramailah sahabat yang sms dan e mail kepada NG bertanya khabar kepada NG. Ada juga berasa bimbang dan risau dengan status kesihatan NG yang menyebabkan NG telah menyepi begitu lama.

Sesungguhnya NG amat berterima kasih kepada semua sahabat yang sentiasa bertanya khabar, mengambil berat dan mengirim salam kepada NG. Semoga Allah jua membalas segala niat dan amalan baik para sahabat sekalian.

Sebenarnya NG tidak ada sebarang masalah; sama ada daripada segi fizikal apatah lagi mental. Untuk makluman bersama, pada minggu lepas NG telah berjumpa pakar kesihatan di Kuala Lumpur untuk membuat "medical check up". Jangan risau, ini merupakan amalan biasa NG kerana setiap tahun NG mesti membuat MC untuk mengetahui status kesihatan NG. Ini sudah lama NG amalkan kerana Pekeliling berkaitan sebenarnya telah lama dikeluarkan oleh pihak JPA. Biarlah kita belanja sedikit wang untuk mempastikan status kesihatan kita sentiasa berada pada tahap yang baik. Dan hasil pemeriksaan tersebut, NG amat bersyukur kerana Allah masih menganugerahkan status kesihatan yang amat baik kepada NG. Kedudukan taraf metabolisma NG berada tiga tahun lebih muda daripada umur sebenar NG. Kata pakar tersebut, ini jarang berlaku kerana yang selalu berlaku ialah sebaliknya. Begitu juga dengan taraf organ penting seperti jantung, buah pinggang, hati dan lain-lainnya masih sihat wal afiat. Selain itu kandungan gula dan lemak di dalam darah masih lagi terkawal. Al hamddulillah.

Sekali lagi NG nak tegaskan pemeriksaan kesihatan yang NG buat itu tidak ada kena mengena dengan sebarang isu atau peristiwa yang berlaku sebaliknya ia adalah amalan biasa NG sejak berpulluh tahun lagi. Ini kerana NG berpegang kepada mencegah lebih baik daripada mengubat apatah lagi kalau sudah parah. Maka NG mengambil kesempatan ini menyeru kepada semua sahabat agar sentiasa menjaga tahap kesihatan diri masing-masing kerana sekali kita terkena sebarang penyakit kronik; amat sukar diubati dan sudah barang tentu memakan belanja yang sangat tinggi.

NG tidaklah berhajat membawa sebarang isu atau mengupas sebarang topik di dalam posting kali ini. Cukuplah sekadar menyampaikan rasa terhutang budi NG kepada semua rakan dan sahabat yang sentiasa memberi sokongan kepada NG walau di dalam keadaan apa sekalipun. Terima kasih sekali lagi dari NG. Inlah harapan NG kepada semua agar kita sentiasa bersatu padu baik di dalam apa jua situasi. Janganlah kita bersikap seperti enau di dalam belukar yang sentiasa memijak kepala kawan untuk mendapatkan habuan yang lebih untuk diri sendiri. Sebaliknya marilah kita menjadi seperti aur dengan tebing yang sentiasa saling membantu walau di dalam apa situasipun. Dan kita jangan lupa pesanan orang tua; lidi kalau sebatang memang mudah diperkotak katikkan tetapi jika ia diberkas erat banyak tugas dan fungsinya.

Insya Allah di dalam posting yang akan datang NG akan menyentuh beberapa isu atau topik penting yang berkait dengan PENDIDIKAN di Malaysia. Bagi NG, Dunia Pendidikan Negara sekarang amat memerlukan para guru yang sanggup berjuang untuk kepentingan Agama, Bangsa dan Negara bukannya guru yang hanya mementingkan kedudukan dan pangkat semata-mata kerana guru adalah ARKITEK BANGSA.

Sunday, June 6, 2010

KUPOHON POLIMIK INI DITAMATKAN

Salam 1Malaysia dan Salam Blogger.

Semoga seluruh warga guru di Terengganu khasnya dan di Malaysia amnya sentiasa dirahmati. Semoga kita semua akan diberkatiNya sentiasa.

Setelah lebih sebulan Nyiurgading memaparkan sebuah insiden yang berlaku di SMKKN pada 18 April 2010 dan menjadi medan rakan taulan memberi pendapat dan buah fikiran, NG merasa tibalah masanya kita selesaikan episod ini secara jujur dan baik dengan menghulur tangan sesama kita untuk bermaaf-maafan. Bagi NG ia adalah sesuatu tindakan yang sangat mulia dan baik.

NG dengan ini dengan rasa yang kesal dan rendah diri ingin memohon ampun dan maaf daripada semua pihak khususnya Tuan Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu. NG berharap Tuan Timbalan sudi memaafkan NG namun dalam apa keadaan pun keputusannya terpulang kepada Tuan Timbalan sendiri. Sementara kepada semua sahabat yang telah memberi segala sokongan, simpati dan empathy kepada NG dan seluruh warga SMKKN di dalam menghadapi cubaan dan dugaan yang maha berat ini, NG junjung tinggi dan NG ingin merakamkan jutaan terima kasih dan NG anat berasa terhutang budi dengan anda semua. Jasa dan budi anda semua akan NG kenang sampai bila-bila dan akan kami sematkan di dalam lipatan sejarah. Terlalu banyak racun dan madu yang kami lalui di sini. Di sini kami cuba menapak dan mengatur langkah tetapi yang menjadi harapan rupanya sebuah fatamorgana. Maka .......

Sekali lagi, NG menyusun sepuluh jari memohon maaf dari Tuan Timbalan. Jika di laman ini dikatakan NG telah menjatuhkan reputasi TP maka di sini jugalah NG memohon maaf dari Tuan Timbalan.

Untuk makluman semua, selama seminggu NG tidak menulis posting kerana NG ingin melihat perkembangan pendapat para sahabat sekalian. Maka banyaklah komen dan pendapat yang NG terima sama ada yang menyokong NG atau sebaliknya. Syukur, kerana dari sinilah NG dapat membuat kesimpulan dan akhirnya membuat keputusan untuk memohon agar ditamatkan polimik ini sehingga di sini sahaja sebab jika jika kita panjangkan, bagi NG ia akan lebih mudarat dari yang sihat. Maka sekali lagi NG ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kerana hasil daripada komentar ini dapatlah ia memberi ilham kepada NG untuk membuat keputusan yang mengejutkan para sahabat sekalian.

Bagi NG, keputusan ini adalah satu langkah yang terbaik yang NG boleh ambil setelah melihat perkembangan komentar dan pendapat mutakhir ini kerana Ng rasa tidak sanggup lagi menjadi punca perselisehan sesama kita. NG juga berasa amat terkilan dengan segala luahan yyang sudah melibatkan seluruh emosi yang akhirnya NG bimbang ia sukar dikawal. NG amat sedar akan perkara ini, sebab itu dah mula berfikir lantas mencari jalan terbaik dapat NG lakukan. Selain itu, NG juga telah berbincang dengan beberapa orang yang paling rapat dengan NG bagi mendapatkan pandangan dan buah fikiran mereka. Setelah difikir dan dibincang masak-masak, maka NG telah membuat keputusan untuk menamatkan polimik ini bermula dari sekarang. NG harap semua pihak boleh menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Percayalah keputusan yang NG buat ini dengan rasa yang amat sedar dan langsung tidak ada tekanan atau desakan dari mana-mana pihak. Sekali NG ingin tegaskan keputusan ini bukan dibuat kerana arahan dari atas atau sebagainya. Ia dibuat atas kesedaran dan rasa tanggungjawab.

Kepada Tuan Timbalan, NG harap penamatan polimik ini bukanlah menjadi kemenangan kepada mana-mana pihak kerana yang salah tetap salah dan benar tetap benar kerana setiap yang berlaku mustahil ditarik balik. Biarlah Yang Maha Adil yang menentukannya. Marilah sama-sama sentiasa beristighfar kepadaNya, semoga Dia akan menerima segala amal baik kita selama ini dan menolak segala kesalahan itu sebagai satu kesilapan atas kejahilan kita. Maka sekali lagi jika NG yang dikatakan bersalah ; maafkanlah NG. NG berharap Tuan Timbalan akan tenang dan lapang dada menerima keputusan ini dan teruskanlah usaha Tuan Timbalan untuk mempastikan pendidikan Terengganu akan terbilang hendaknya.

Kepada semua sahabat, sama ada yang menyokong atau menyanggah NG, janganlah terkejut dan kaget dengan keputusan NG ini. Bukan niat NG untuk menafikan hak anda semua untuk meluahkan pendapat tetapi sekadar untuk mengelak nasi menjadi bubur. Sebenarnya hal ini telah lama NG fikirkan bersama dengan beberapa orang yang terapat dengan NG. Mereka banyak membimbing dan membantu NG membuat keputusan ini. Sekali lagi NG ucapkan terima kasih. NG harap kita tidak akan pernah berasa kecewa dengan keputusan ini. Orang yang berjiwa besar tidak malu untuk mundur setapak ke belakang dan memohon maaf untuk mengaku kesilapannya. Sebenarnya NG berbuat begini setelah orang yang paling rapat dengan NG mensihatkan NG agar berhenti dari menulis kerana katanya: tidak akan ada orang yang menang di dalam sebuah pergaduhan. Katanya pepatah Melayu ada menyebut; yang kalah menjadi abu yang menang menjadi arang. Dan yang paling menyentuh hati NG ialah sebuah komentar dari seorang sahabat: Ambe Cikgu Biasa. Beliau telah berjaya menyentuh hati kecil NG yang kerdil ini dengan sebuah kisah perjuangan yang paling luhur. Di situ tergambar bahawa tidak semua orang akan bersama kita di dalam sesebuah perjuangan apatah lagi yang melibatkan sebuah pengorbanan yang besar. Pada zaman meterialistik dan pemujaan pada darjat ini amat sukar mencari sebuah kejujuran melainkan semua gerak kerja akan dialuti dengan pura-pura dan hipokrit. Dengan membaca tulisan beliau NG terasa diri ini terlalu kecil dan terlalu kerdil. Dengan membaca tulisannya itu rasa insaf yang sebenarnya terus menusuk di hati ini. Terima kasih banyak Sdr Ambe Cikgu Biasa. Walaupun NG tidak mengenali Sdr, NG harap kalau Sdr sudi hubungilah NG dengan apa cara sekalipun kerana banyak benar NG ingin belajar dari Sdr. Dengan tulisan Sdr juga membuatkan NG insaf bahawa titik perjuangan kita yang paling hujung ialah mengadap Rabbul Jalil di mana pada ketika itu, sehebat mana kita, sekuat mana kita, sebangsawan mana kita dan setinggi manapun pangkat dan darjat kita; pada masa itu segalanya tidak berguna kecualilah niat yang ikhlas dan jujur di dalam menjalankan tugas di dunia ini akan menentukan segalanya. Di sinilah "turning point" yang besar keputusan NG. Sesungguhnya NG terasa amat hiba dan sayu apabila merenung kata-kata Sdr. Lantas NG berpaling kepada beberapa orang yang terapat dengan NG bagi mendapatkan pandangan dan buah fikiran. Di sinilah NG terasa amat rendah dan keil diri ini dan akhirnya mengaku kalah kepada Kebesaran Yang Maha Esa.

Kepada semua sahabat, itulah natijah keputusan yang NG buat. Tidak ada sebab lain kenapa NG berpaling jalan. Keinsafan itulah yang telah menjentik hati ini untuk NG menoleh ke belakang untuk NG meneruskan sisa-sisa hidup untuk terus membantu rakan-rakan, itupun jika masih sudi menerima NG.

NG berharap semua sahabat janganlah berpaling muka daripada NG pada hari depan. Marilah kita bersama pautkan silaturrahim dan kukuhkan ukhuwah atas dasar Islam dan rakan sejagat. Janganlah kita berpecah-belah dan berpuak-puak kelak akibatnya buruk sekali. NG harap mulai sekarang kita buangkanlah yang keruh dan ambillah yang jernih. NG menyeru dan berharap janganlah jemu-jemu untuk mengunjungi Nyiurgading dan NG mengalu-alukan cadangan agar Nyiurgading dijadikan medan atau forun untuk kita menyelesaikan masalah kita secara berhemah. NG bersedia sepanjang masa untuk membincangkan soal-soal keguruan seperti skim perkhidmatan, syarat perkhidmatan dan peluang kenaikan pangkat serta segala macam yang berkait dengannya. Kita sebagai apapun mestilah tahu dan maklum siapa dan apa diri kita. Jangan sesekali membiarkan orang lain mengurus diri kita. Dengan sedikit sebanyak pengalaman yang NG ada, bolehlah kita berkongsinya. Bagi NG, masih terlalu banyak isu keguruan yang perlu diperjuangkan, begitu juga dengan sistem pendidikan yang kita lalui ini. Kita sebagai guru mestilah mengambil maklum dan mengambil tahu apa yang telah, sedang dan akan terjadi kepada sistem pendidikan kita. Kita sama sekali tidak boleh berpeluk tubuh dan berpuas hati sambil menyerah kepada taqdir. Maka sekali lagi NG memohon marilah kita makmurkan Nyiurgading untuk manfaat bangsa dan negara kita.

NG harap semua sahabat terimalah kenayataan ini dengan hati yang terbuka. Tidak ada gunannya kita meneruskan polimik ini kerana NG bimbang hubungan kita akan menjadi renggang dan akhirnya terputus hubungan. Jangan sekali-kali kecewa dengan keputusan yang NG ambil. NG faham sangat, bukan niat semua sahabat untuk menghentam sesiapa atau mana-mana pihak pun di dalam blog ini tetapi disebabkan perasaan tidak puas hati, kecewa, dan rasa tertekan itu sudah terlalu lama disimpan, ibarat "time bomb" yang begitu lama terpemdam maka apabila dicucuh sudah pasti ia akan meletup dan pasti sekali ia tidak mengenal mangsanya; siapa yang dekat pasti disasar dengan letupan itu. Maka dapatlah kita simpulkan, bahawa hasil sebulan lebih kita bersama ini masih terdapat banyak isu yang terbuku di hati majoriti guru. Ia mesti diselesaik segera dan dengan jalan yang terbaik kerana ia amat berbahaya. Ia amat berbahaya kepada negara dan kerajaan kerana akhirnya kesan ini juga akan melibatkan kestabilan politik negara. Oleh itu sekali lagi NG harap marilah kita gunakan Blog ini untuk kita sama-sama perbetulkan keadaan. Insya Allah hingga kini masih ramai pemimpin utama kita di KPM dan JPA termasuk Tan Sri KPPM, Tan Sri KSU, Tan Sri KPPA dan Datuk Timbalan KPPA boleh kita hubungi secara "direct". Jangan bimbang, kalau kita bersatu maka mudahlah kita selesaikan sebarang isu. Dan bagi mereka yang merasa diri mereka sudah cukup hebat dan penuh dengan amanah kuasa, biarkanlah mereka dengan keegoannya. Kita doakan mereka ini akan diberi petunjuk oleh Ilahi. Tinggal kita guru biasa ini janganlah sekali-kali kita berpecah belah dan membiarkan diri kita teraniya, maka masrilah kita bersatu. Kita bersatu menentang segala kemungkaran dengan cara yang bijaksana.

Akhirnya sekali lagi NG memohon maaf dari semua pihak.

Saturday, May 1, 2010



SALAM 1MALAYSIA. SALAM 1MALAYSIA. SALAM 1MALAYSIA

SELAMAT HARI PEKERJA

SELAMAT HARI PEKERJA NG UCAPKAN KEPADA SELURUH WARGA PEKERJA DI MALAYSIA KHUSUSNYA. NG HARAP SEMUAA PEKERJA DI MALAYSIA AKAN TERUS MENYUMBANG TENAGA DENGAN RASA AMAT TERUJA, IKHLAS, JUJUR, BERPAKSI YANG BENAR DAN JAUHI DARIPADA MELETAKKAN AGENDA PERSONAL MENGATASI AGENDA ORGANISASI DAN AGENDA NEGARA. SEKIAN

SELAMAT HARI PEKERA

Thursday, April 8, 2010



BEBAN GURU

Salam Blogger dan Salam 1Malaysia

Minggu lepas semua akhbar utama telah memaparkan cerita guru yang terbeban dengan tugas mereka. Ini meyebabkan YAB Tan Sri Mohyidin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran telah mengarahkan ditubuh segera sebuah jawatankuasa untuk mengkaji masalah tersebut. Jawatankuasa tersebut telah diberi tempoh dua bulan untuk melapor dan membuat cadangan bagi menambah baik bidang tugas guru yang didakwa terbeban.

Implikasi dari isu tersebut NG telah mendapat pelbagai reaksi dari ramai sahabat baik bersifat positif atau negatif. Ramai di kalangan ahli masyarakat yang kurang arif dengan bidang tugas guru telah menempelak kaum guru dengan pelbagai kenyataan yang negatif sehingga ada yang berkata bahawa guru yang bersungut itu adalah terdiri daripada guru yang pemalas dan disaran supaya meletak jawatan. Namun NG yang juga seorang guru menerima segala macam tohmahan secara terbuka kerana mereka yang berkata demikian sebenarnya terdiri daripada mereka yang kurang arif dengan bidang tugas guru mutakhir ini.

Disebabkan NG juga sempat berada bersama dengan YAB Menteri Pelajaran di Bangunan Parlimen pada Rabu lepas maka ada baiknya NG ambil kesempatan ini untuk memaklumkan sedikit daripada senario isu sebenarnya. Bukan niat NG untuk menegak benang basah atau hanya untuk membela kaum guru tetapi sekadar untuk pengetahuan seluruh masyarakat Malaysia tentang bidang tugas dan cabaran seorang guru.

"Beban Tugas". Ia bukanlah seperti makna ungkapan tersebut secara kasar dan dasarnya. Sebenarnya apa yang kami maksudkan dengan ungkapan tersebut ialah: "Overload dan Overlap". Inilah yang kami kaum guru maksudkan. Guru tidak pernah mengeluh dengan tugas asasi mereka bahkan kaum guru amat komit dengan tugas dan tanggungjawab mereka. Cuma apabila masa sudah beredar dan waktu sudah berubah maka banyaklah penambahbaikkan yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan demi menyesuaikan kerja guru dengan keadaan sekarang. Banyak perkara yang boleh dibuat demi menjayakan wawasan negara. Inilah yang kaum guru maksudkan sebagai beban.

Untuk makluman semua, mutakhir ini tugas asasi guru sudah mula terhakis. Fokus dan penumpuan guru terhadap kerja-kerja mengajar dan mendidik agak tercabar oleh waktu. Ramai guru tidak cukup waktu untuk membuat penumpuan terhadap tugas di bilik darjah kerana dalam waktu yang sama mereka diberi pelbagai tugas perkeranian yang boleh dianggap "Overload dan Overlap". Hampir setiap hari ramai guru yang diarah membuat pelbagai tugasan perkeranian sama ada yang bersifat regular atau ad hoc. Dan semua kerja ini tidak boleh ditangguh langsung; semuanya mahu cepat dan segera dalam tempuh yang pendek. Maka ramailah guru yang tertekan kerana terpaksa membuat sesuatu kerja dalam jagnka masa yang pendek. Dan kerja ini kadangkala adalah kerja yang berulang dan serupa tetapi terpaksa juga dibuat kerana yang mmegarahnya ramai. Pengarahnya terdiri daripada PPD dan JPN. Tambahan pula sekarang unit di JPN dan PPD semakin hari semakin bertambah. Bayangkan kalau setiap minggu setiap unit di JPN dan PPD keluarkan surat untuk dijawab oleh guru; mana masa yang perlu ditumpukan guru kepada anak muridnya dan mana masa untuk menjawab segala surat tadi. Inilah delima yang dihadapi guru.

Ini baru kerja-kerja perkeranian; bagaimana pula dengan kerja-kerja kokurikulum yang berjalan sepanjang tahun? Untuk kegiatan kokurikulum yang wajib tiga petang seminggu tidaklah menjadi masalah kepada kaum guru. Itu mereka maklum dan sedia melaksanakannya. Tetapi guru terpaksa pula terbeban dengan pelbagai agtiviti dan program yang sebenarnya bukan kerja mereka seperti kerja-kerja ad hoc dari pelbagai NGO dan agensi yang semuanya dibawa ke sekolah.

Dan NG juga ingin menjawab satu e mail yang NG terima yang secara sinisnya berkata guru tak tahu mengurus waktu kerana guru banyak cuti; katanya kalau hari biasa terlalu sibuk, kenapa guru tak guna masa cuti untuk membuat kerja perkeranian? NG agak terkilan kerana yang membuat cadangan amat tidak faham dengan tugas guru. Untuk makluman semua, kerja guru tidak boleh ditangguh; apatah lagi nak tunggu waktu cuti. Bolehkah guru tangguh untuk key in data murid 1200 orang ke dalam komputer yang sepatutnya siap pada minggu ketiga Januari; atau bolehkah guru tangguhkan semua jawapan murid untuk diperiksa di dalam waktu cuti? Jika ini dibenarkan maka tidaklah timbul isu guru tertekan.

Ini hanyalah sedikit sahaja yang NG sempat sebutkan. Sebenarnya kalau nak dibincangkan dengan panjang lebar, banyak aspek yang harus NG sentuh dan sudah tentu ramai yang akan tersentuh.

Kesimpulannya, kaum amat faham dengan tugas mereka iaitu untuk mengajar dan mendidik anak bangsanya di dalam bilik darjah. Ini mereka tahu benar. Tetapi jika setiap hari ia sentiasa diarah buat itu dan ini dengan kadar yang amat segera; sudah tentu anak didiknya akan sedikit terabai. Dan ia memberi kesan yang amat buruk kepada anak-anak kita dan masa depan negara.