Saturday, September 11, 2010

PANDANGAN BUAT LUAHAN FIKIRAN


Salam LF. NG amat tertarik dengan posting terbaru dari LF. Jika dulu LF pernah memberi pandangan dan buah fikiran kepada NG sewaktu NG mula menulis di dalam Nyiurgading maka rasanya tidak salah NG kali ini ingin rasanya mengulas sedikit posting terbaru LF.

Pada mulanya NG juga agak kaget apabila LF telah menerbitkan kembali artikel dari kama tarawis tersebut ( NG juga berfikir panjang apabila kama tarawis telah menulis cerita seorang wanita yang telah khatam Quran ). Sebenarnya, cerita seorang Islam khatam Quran bukanlah suatu cerita yang mempunyai nilai berita yang tinggi. Kata rakan wartawan ia bukanlah sehebat cerita "orang menggigit anjing", sebaliknya ia hanyalah suatu perkhabaran biasa-biasa saja. Ini kerana kisah khatam Quran bagi seorang beragama Islam adalah suatu lumrah dan sepatutnya; sebaliknya yang tidak lumrah ialah orang Islam yang tak pernah baca Quran sepatah harampun. Maka sebab itu NG juga berfikir panjang; apakah unsur nilai yang nak disampaikan oleh sama ada kama tarawis atau LF di sebalik cerita DS Rosmah khatam Quran.

Namun setelah direnung dan difikir dari sudut kata dan ayat yang dipersembahkan maka dapatlah NG buat kesimpulan apa yang sebenarnya tersirat di sebalik cerita tersebut (itupun belum tentu sealiran dengan NIAT sebenar kama tarawis atau LF). Mungkin yang NG buat kesimpulan itu juga sesuatu yang berselisih pendapat dengan LF.

Bagi NG perselisihan pendapat ( yang tidak mudarat ) itu adalah merupakan suatu seni yang berupa variasi di dalam bermuzakarah di dalam apa jua disiplin tetapi dengan syarat di akhirnya kita akan bertemu di satu titik persetujuan yang mutlak. Maka bagi NG, ulasan yang telah dibuat oleh LF adalah suatu ulasan yang adil dan bijaksana. Tidak perlu kita berkomflik di dalam suatu isu yang kabur dari sudut pandangan masing-masing kerana di dalam apa jua keadaan pun akhirnya kita mesti kembali kepada NIAT. ( setiap perbuatan bermula dengan niat ).

Diharap LF dapatlah bertenang dan lapang dada dengan apa jua yang merintang halang; kerana jika kita berjaya mematikan api yang sedang marak hanya dengan hembusan nafas sahaja ia amat akan mematangkan kita. NG juga amat tertarik dan mungkin sependapat dengan LF berhubung dengan kaedah kita menyelesaikan sesuatu masalah. Tak ada gunanya kita tergopoh gapah di dalam membuat keputusan untuk mengambil apa-apa tindakan kerana fikir itu pelita hati. Maka diharap LF boleh bertenang dan anggaplah cabaran yang tiba itu sebagai suatu ketentuan Ilahi yang sudah pasti ada rahmahnya.

Insya Allah NG akan menulis kaedah penyelesaian masalah pada masa yang lain.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment