Thursday, April 8, 2010



BEBAN GURU

Salam Blogger dan Salam 1Malaysia

Minggu lepas semua akhbar utama telah memaparkan cerita guru yang terbeban dengan tugas mereka. Ini meyebabkan YAB Tan Sri Mohyidin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran telah mengarahkan ditubuh segera sebuah jawatankuasa untuk mengkaji masalah tersebut. Jawatankuasa tersebut telah diberi tempoh dua bulan untuk melapor dan membuat cadangan bagi menambah baik bidang tugas guru yang didakwa terbeban.

Implikasi dari isu tersebut NG telah mendapat pelbagai reaksi dari ramai sahabat baik bersifat positif atau negatif. Ramai di kalangan ahli masyarakat yang kurang arif dengan bidang tugas guru telah menempelak kaum guru dengan pelbagai kenyataan yang negatif sehingga ada yang berkata bahawa guru yang bersungut itu adalah terdiri daripada guru yang pemalas dan disaran supaya meletak jawatan. Namun NG yang juga seorang guru menerima segala macam tohmahan secara terbuka kerana mereka yang berkata demikian sebenarnya terdiri daripada mereka yang kurang arif dengan bidang tugas guru mutakhir ini.

Disebabkan NG juga sempat berada bersama dengan YAB Menteri Pelajaran di Bangunan Parlimen pada Rabu lepas maka ada baiknya NG ambil kesempatan ini untuk memaklumkan sedikit daripada senario isu sebenarnya. Bukan niat NG untuk menegak benang basah atau hanya untuk membela kaum guru tetapi sekadar untuk pengetahuan seluruh masyarakat Malaysia tentang bidang tugas dan cabaran seorang guru.

"Beban Tugas". Ia bukanlah seperti makna ungkapan tersebut secara kasar dan dasarnya. Sebenarnya apa yang kami maksudkan dengan ungkapan tersebut ialah: "Overload dan Overlap". Inilah yang kami kaum guru maksudkan. Guru tidak pernah mengeluh dengan tugas asasi mereka bahkan kaum guru amat komit dengan tugas dan tanggungjawab mereka. Cuma apabila masa sudah beredar dan waktu sudah berubah maka banyaklah penambahbaikkan yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan demi menyesuaikan kerja guru dengan keadaan sekarang. Banyak perkara yang boleh dibuat demi menjayakan wawasan negara. Inilah yang kaum guru maksudkan sebagai beban.

Untuk makluman semua, mutakhir ini tugas asasi guru sudah mula terhakis. Fokus dan penumpuan guru terhadap kerja-kerja mengajar dan mendidik agak tercabar oleh waktu. Ramai guru tidak cukup waktu untuk membuat penumpuan terhadap tugas di bilik darjah kerana dalam waktu yang sama mereka diberi pelbagai tugas perkeranian yang boleh dianggap "Overload dan Overlap". Hampir setiap hari ramai guru yang diarah membuat pelbagai tugasan perkeranian sama ada yang bersifat regular atau ad hoc. Dan semua kerja ini tidak boleh ditangguh langsung; semuanya mahu cepat dan segera dalam tempuh yang pendek. Maka ramailah guru yang tertekan kerana terpaksa membuat sesuatu kerja dalam jagnka masa yang pendek. Dan kerja ini kadangkala adalah kerja yang berulang dan serupa tetapi terpaksa juga dibuat kerana yang mmegarahnya ramai. Pengarahnya terdiri daripada PPD dan JPN. Tambahan pula sekarang unit di JPN dan PPD semakin hari semakin bertambah. Bayangkan kalau setiap minggu setiap unit di JPN dan PPD keluarkan surat untuk dijawab oleh guru; mana masa yang perlu ditumpukan guru kepada anak muridnya dan mana masa untuk menjawab segala surat tadi. Inilah delima yang dihadapi guru.

Ini baru kerja-kerja perkeranian; bagaimana pula dengan kerja-kerja kokurikulum yang berjalan sepanjang tahun? Untuk kegiatan kokurikulum yang wajib tiga petang seminggu tidaklah menjadi masalah kepada kaum guru. Itu mereka maklum dan sedia melaksanakannya. Tetapi guru terpaksa pula terbeban dengan pelbagai agtiviti dan program yang sebenarnya bukan kerja mereka seperti kerja-kerja ad hoc dari pelbagai NGO dan agensi yang semuanya dibawa ke sekolah.

Dan NG juga ingin menjawab satu e mail yang NG terima yang secara sinisnya berkata guru tak tahu mengurus waktu kerana guru banyak cuti; katanya kalau hari biasa terlalu sibuk, kenapa guru tak guna masa cuti untuk membuat kerja perkeranian? NG agak terkilan kerana yang membuat cadangan amat tidak faham dengan tugas guru. Untuk makluman semua, kerja guru tidak boleh ditangguh; apatah lagi nak tunggu waktu cuti. Bolehkah guru tangguh untuk key in data murid 1200 orang ke dalam komputer yang sepatutnya siap pada minggu ketiga Januari; atau bolehkah guru tangguhkan semua jawapan murid untuk diperiksa di dalam waktu cuti? Jika ini dibenarkan maka tidaklah timbul isu guru tertekan.

Ini hanyalah sedikit sahaja yang NG sempat sebutkan. Sebenarnya kalau nak dibincangkan dengan panjang lebar, banyak aspek yang harus NG sentuh dan sudah tentu ramai yang akan tersentuh.

Kesimpulannya, kaum amat faham dengan tugas mereka iaitu untuk mengajar dan mendidik anak bangsanya di dalam bilik darjah. Ini mereka tahu benar. Tetapi jika setiap hari ia sentiasa diarah buat itu dan ini dengan kadar yang amat segera; sudah tentu anak didiknya akan sedikit terabai. Dan ia memberi kesan yang amat buruk kepada anak-anak kita dan masa depan negara.

Tuesday, April 6, 2010



Salam 1Malaysia. Salam blogger.

Pertama NG ingin memohon maaf kerana sudah lama tak "update" posting. Insya Allah hari ini NG akan kemukakan lagi isu dan cerita lama yang menghantui majoriti kaum guru di Malaysia. Entah akan berakhir atau tidak terpulanglah kepada yang menjadi pengurus pendidikan di negara kita. Tugas NG hanya bercerita sahaja. Kalau ada yang respon sama ada positif atau negatif itu NG fikir sudah cukup baik.

Ceritanya begini. Kata sahibul hikayat; maka pada setiap tahun musim sukan dan olahraga akan tiba dan tetap akan berjalan, maka guru terlibat tiada pilihan lain melainkan akur sahaja arahan dan perintah dari yang atas. Demi anak bangsa yanng dididik para guru pun berkorban apa sahaja hatta nyawanya.

Dan,,,,,, cerita yang sama berlaku lagi musim ini. Al hamdulillah syukur semua selamat dan Insya Allah selamat selamanya.

Arakian, sejak awal tahun ( bulan Januari la tuh ) para guru dah mula terlibat dengan segala macam pesta permainan; ada bolasepak, ada bolajaring, ada sepaktakraw dan macam-macam lagi. Lepas tuh peringkat pertandingan banyak pulak tuh. Mula dengan peringkat sekolah; peringkat zon, peringkat daerah dan seterusnya ke peringkat negeri. Peringkat Guru Besar dan Pengetua pulak lain pula cerita; kalau pasukan sekolah menang sampai peringkat atas; senyumnya tak sudah-sudah ( maklumlah itu semua adalah merupakan meritnya untuk naik gred ) tapi kalau pasukan sekolahnya kalah .... tak payah cerita bahana guru akan terima. Dengan kata lain semua dia mahu johan .... sebab kalau johan namanya akan dipuji oleh PPD dan JPN.

Maka sekarang kita kembali kepada nasib guru. Kita percaya seluruh guru amat bersemangat dan amat komit dengan tugas mereka. Siang malam mereka latih pasukan mereka tak kira masa dan jam. Belanja murid untuk makan dan minum usah dicerita lagi kerana mereka amat gumbira jika penat lelahnya terbalas dengan sebuah kemenangan. Itu yang menjadi kepuasan mereka.

Namun isunya; yang NG dah sebut berulangkali sejak dulu lagi ialah risiko yang ditanggung oleh guru yang diberi tanggung jawab sebagai jurulatih, pengurus dan pak supir pasukan sekolah. GB/Pengetua kata kita tak ada wang nak sewa bas sekolah yang permit; maklumlah program kokurikulum di luar sekolah berjalan sepanjang tahun. Maka para guru inilah yang bertukar profesion menjadi pak supir kepada pelajarnya. Turun pangkat ni pun cikgu kita tak kisah lagi sebab itulah kita lihat semua program masih berjalan. Mereka anggup guna kereta mereka untuk mengangkut pelajar ke hulu ke hilir demi kepentingan pelajarnya. Namun apa yang guru ini akan dapat jika peristiwa di Kota Tinggi, Johro dan Di Pos Dipang berulang. Naauzubillah. Namun malang tak berbau. Lebih baik mengelak daripada kita menyesal tak sudah.

Inilah yang para guru takuti. Malang dan musibah tak boleh dijangka. Para guru yang menjadi pak supir ini sebenarnya terdiri daripada manusia yang paling berani mengambil risiko. Ini kerana kalau berlaku kemalangan di dalam pagar sekolah tak apa tetapi jika di atas jalan raya mereka akan berhadapan dengan undang-undang jalan raya. Apabila berlaku insiden di jalanraya; undang-undang yang akan dibaca ialah undang-undang jalanraya; mereka tak melepaskan kita kalau kita kata kita tolong pelajar. Risikonya amat tinggi. Maka NG berharap pihak yang menjadi pengurus pendidikan negara kita tolonglah ambil ini sebagai perkara paling utama dan segera untuk diselesaikan.

Dan NG harap untuk dalam masa terdekat ni ambillah langkah untuk mengumpul semua bas dan koster yang ada di setiap daerah untuk diletakkan di bawah urusan PPD. NG rasa jika bas dan koster ini di bawah seliaan PPD maka ini sedikit sebanyak boleh mengatasi masalah ini secara insitu.