Wednesday, January 6, 2010

ALLAH DAN ISLAM SIRI 2



YB Datuk Dr Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor juga sependapat dengan Dato' Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS. Datuk Hassan Ali juga tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah. Seterusnya beliau meminta semua penyokong dan pimpinan PAS agar bertenang dan berhati-hati membuat tindakan berhubung isu ini. Jika semalam Tok Guru Nik Aziz dan Dato Taib Azamuddin membuat kenyataan yang sama dan hari ini diikuti dengan Datuk Hassan; NG berharap ramai lagi kepimpinan PAS atau PKR mengeluarkan pendapat dan pendiriannya berkait dengan isu ini. NG amat bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Taib Azamuddin dalam isu ini kita hendaklah mengenepikan dulu pegangan politik kepartian kita. Di bawah petikan kenyataan yang dibuat oleh Datuk Dr Hassan Ali di dalam Sinar Harian Rabu - 6 Januari 2010:
SHAH ALAM - Pas Selangor bertegas penggunaan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain bagi mengelak salah faham umat Islam, kata Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Dr Hasan Ali.

Menurutnya, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam memberi tamparan hebat kepada umat Islam.

Beliau memberi amaran kepada pihak yang cuba mengeksploitasi isu itu supaya menghentikan niat mereka.

Enakmen dan fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa juga tidak mengizinkannya.

“Jika perkataan Allah ini dibenarkan, ia akan mengundang salah tafsir, khususnya dalam kalangan bukan ahli agama, Pas Selangor memberi amaran kepada pihak yang ingin mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi isu ini supaya menghentikan niat mereka,” katanya dalam kenyataan kepada :Sinar Harian,: semalam.

Beliau menyeru supaya semua ahli Pas bertenang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru.

“Pimpinan parti di semua peringkat, ahli dan penyokong diminta tidak mengambil tindakan yang boleh merugikan perjuangan jemaah. Sila rujuk kepada pimpinan negeri sekiranya wujud keraguan terhadap tindakan yang akan diambil,” katanya.

Beliau mencadangkan semua pihak berdoa supaya tindakan yang boleh merugikan umat Islam tidak berjaya.

No comments:

Post a Comment