Sunday, August 30, 2009

MBMMBI

Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya.
Salam 1Malaysia

Dah lama kita tak bersua. Maklumlah kekadang untuk mencatat ni moodnya, kadang rasa teruja nak menulis kadangkala disebabkan pelbagai kekangan yang dihadapi, maka kekangan itu yang telah mengalahkan kita.

Namun hari ini kita telah menang. Dan saya mencuba untuk menjawab dan meleraikan banyak persoalan yang ditimbulkan oleh rakan wartawan di dalam e mail saya berkait langkah KPM untuk Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Ramai rakan yang telah bertanyakan saya apa itu MBMMBI? Bagaimana nak dilaksanakan? dan pelbagai persoalan yang mereka timbulkan. Persoalan ini juga banyak ditimbulkan oleh rakan-rakan guru sendiri.

Apabila mereka ini telah menghubungi saya dengan pelbagai cara untuk menyelesaikan kekusutan mereka, maka saya kira ia rupanya telah menjadi suatu isu besar yang menyebabkan mereka sentiasa berfikir tanpa penghujungnya. Dan akhirnya disebabkan mereka tidak faham maka kita lihat isu pendidikan sudah tidak menjadi bahan kebangsaan yang dibincang dimana-mana. Senyap sunyi.

Maka bagi saya sebagai seorang pendidik turut terpanggil untuk masuk sama berfikir kenapa jadi demikian lakunya. Apa dah jadi dengan pendidikan sekarang? Tidak seperti dua tiga tahun lepas. Cerita pendidikan telah menjadi sangat laris seperti ayam percik di pasar Ramadhan. Apakah semua orang sudah sangat berpuas hati dengan segala langkah yang telah diambil oleh pihak kerajaan atau masyarakat sudah bosan dengan isu pendidikan yang tak berkesudahan atau mungkin ini adalah kerana kebijaksanaan dan kebitaraan KPM sekarang ini. Biarlah Luncai terjun dengan labunya. Biarkan. Namun kita harap kemungkinan yang ketiga itu yang menjadi faktornya.

Cuma di sini saya ambil kesempatan untuk berkongsi sedikit idea saya (mungkin salah) sepanjang saya menjadi pendidik berkait dengan masalah Bahasa Inggeris (BI).

Hari ini kita ingin melihat isu utama yang berkait dengan BI. Isu asas yang dihadapi oleh kita ialah kekurangan guru BI. Masalah kekurangan guru BI telah berlaku sejak belum merdeka lagi terutama di kawasan luar bandar dan ia telah berlarutan hingga kini. Inilah yang menimbulkan banyak persoalan di kalangan kita. Ini belum lagi kita menyemak senarai guru BI yang benar-benar berkelayakan mengajar BI kerana amat kurang guru kita yang mengajar BI lulusan Teaching English as a Second Language (TESL). Sebenarnya guru sedang mengajar BI di sekolah-sekolah terutama di kawasan luar bandar hanyalah di kalangan guru yang telah dilatih untuk mengajar BI dan mereka bunkannya pengkhususan di bidang ini. Namun kita amat berterima kasih kerana mereka rela dan reda mendidik anak-anak kita kerana tanpa kesanggupan mereka kita rasa penguasaan BI di kalangan pelajar sudah tentu akan menjadi .........

Apakah kita khususnya KPM akan terus berpeluk tubuh dan berdiam diri membiarkan isu yang berlarutan ini dibiar begitu sahaja. Sebab itulah KPM telah melancarkan suatu gerakan MBMMBI. Namun yang menjadi persoalan sekarang ialah ramai orang masih tertanya-tanya apa itu MBMMBI. Mereka tidak faham dan tidak tahu langsung apa itu MBMMBI. Mereka mula bimbang dan takut ia juga akan menjadi seperti PPSMI. Maka kita amat berharap biarlah langkah KPM ini dikongsi bersama seluruh warga Malaysia agar mereka faham dan hayatinya. Kita juga berharap MBMMBI ini diwacanakan secara telus dan terbuka agar ia tidak lagi menjadi alat untuk diputarbelitkan oleh mana-mana pihak. Bagi kita untuk memastikan bahtera itu tiba ke destinasinya biarlah seluruh anak kapal atau kelasinya faham, tahu, hayati dan berusaha bersama memastikan bahtera mereka selamat berlabuh di destinasi yang dituju. Jika hanya nakhoda dan orang kiri kanannya sahaja yang tahu dan yang lain menjadi sebagai pak kayuh sahaja ia tidak akan memberi makna apa-apa.

Maka adalah diharapkan KPM janganlah begitu kikir untuk berkongsi MBMMBI dengan seluruh rakyat jelata, kerana kalau tak kenal maka tak cinta dan saya amat percaya kepada kata kunci "sharing" dan ia amat sesuai dengan gagasan 1Malaysia yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri kita; Rakyat Didahulukan. Kita tidak mahu apa yang terjadi kepada PPSMI, bila tiba di penghujungnya barulah kita kembali kepada rakyat untuk diambil pendapat. Oleh itu kami amatlah berharap KPM gunalah ruang yang ada untuk mendengar pandangan rakyat jelata dan biarlah MBMMBI ini akan menjadi sebuah gagasan baru yang berasaskan konsensus dari rakyat. Jika rakyat sendiri sudah memberi persetujuan dan sokongan nanti ia akan menjadi lebih bermakna yang sudah tentu natijahnya amat besar.

No comments:

Post a Comment