Tuesday, August 11, 2009

BAHASA INGGERIS

Salam blogger dan Salam 1Malaysia,

Hari ini saya rasa amat terpanggil untuk berbincang tentang satu tajuk yang pada suatu ketika dahulu amat laris dibincang oleh pelbagai pihak. Ini adalah kerana masih terlalu ramai hingga sekarang rakan wartawan yang menghubungi saya ingin mendapatkan temuramah dengan saya berkait dengan isu Pengajaran Bahasa Inggeris (PBI) di sekolah-sekolah di Malaysia. Disebabkan saya sudah tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan akhbar maka saya harap rakan-rakan wartawan dapatlah melihat dan menilai pandangan saya berkait dengan isu PBI di blog ini.

Sebenarnya sejak enam tahun lalu sewaktu Sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilancarkan terlalu ramai ahli masyarakat yang keliru dan ada yang tidak faham langsung objektif PPSMI ini dilaksanakan. Masyarakat hanya tahu dan diberitahu bahawa Bahasa Inggeris (BI) itu penting kerana ia dianggap dan diiktiraf sebagai bahasa ilmu. Pendek kata siapa yang tidak menguasai BI dia akan ketinggalan, maknanya bangsa yang tidak tahu BI maka bangsa itu akan juga ketinggalan. Itulah yang sebahagian besar ahli masyarakat kita diberitahu.

Maka Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pun berusahalah sekeras-kerasnya dengan menggembeling segala daya dan usaha dengan melibatkan segala sumber yang ada bagi mencapai objektif PPSMI. Pelbagai langkah telah diambil dan pelbagai kaedah telah digunakan tanpa jemu siang dan malam. Pemantauan, penilaian, perbincangan dan pelbagai kaedah penambahbaikan telah dibuat oleh KPM sepanjang masa sepanjang enam tahun yang lalu. Namun yang peliknya sekolah-sekolah jenis kebangsaan dibenarkan kekal mengajar Matematik dan Sains di dalam bahasa ibunda. Maka berlakulah duo language di sekolah-sekolah di Malaysia. Ini juga telah mengelirukan rakyat. Sudah tentu yang keliru inilah mudah dipesongkan. Maka terpesonglah mereka ini dengan pelbagai dakyah oleh mereka yang berkepentingan.

Yang menjadi tanda tanya dan yang paling ajaib ialah dari aspek objektifnya. Katanya tujuan PPSMI adalah untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar tetapi yang menjaadi soal tanya ialah kenapa pula digunakan matematik dan sains sebagai mediumnya? Ini samalah seperti inginkan hasil getah kerana getah harganya mahal tetapi ditanamnya kelapa sawit. Sama juga inginkan buah kelapa yang dipanjatnya pokok petai. Maka kalau petai yang kita mahu maka tanamlah pokok petai jangan tanam pokok lain.

Satu lagi aspek yang kita rasa (entah nak kata apa tak tahu) ialah pemberian elaun khas kepada guru yang mengajar BI/Sains/Matematik (BISP). Semua guru yang mengajar BI/Sains/Matematik telah dibayar sejumlah elaun bulanan sebagai imbuhan. Untuk makluman kita bersama pemberian elaun ini juga telah banyak menimbulkan suasana yang kurang menyenangkan di kalangan guru-guru itu sendiri. Disebabkan elaun BISP itu semangat setiakawan guru telah mula terungkai dan luntur. Yang dapat BISP tersenyum sementara yang tidak dibayar elaun dah mula berkira dari segi kerja. Kalau ada kerja banyak mereka kata berilah pada orang yang ada BISP, kami tak ada elaun, maka kami tak perlu kerja lebih, buatlah yang wajib. Walau ini sikap yang buruk tetapi hakikatnya inilah yang berlaku. Dengan kata lain, sikap dengki berdengki sudah wujud di kalangan guru kesan pemberian BISP.

Dan akhirnya PPSMI telah diumumkan akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012. Sama ada penghapusan ini disebabkan desakan banyak pihak atau kerana memang PPSMI tidak mencapai objektif kita tidak peduli tetapi PPSMI akan berkubur sama seperti pelbagai program yang lain yang pernah kita maklum.

Dengan penghapusan PPSMI ini pelbagai pula program dan rancangan telah diutarakan pleh pihak KPM demi meningkatkan BI. Macam-macam kaedah yang nak digunakan di sekolah-sekolah di Malaysia untuk meningkatkan BI. Cuma sekarang kita mesti sama-sama berhati-hati kali ini. Janganlah ada lagi program yang akan kita hapuskan pada suatu ketika nanti apabila didapati ia tidak mencapai objektif. Yang paling penting sekarang kita mesti duduk semeja, kita bincang, kita fikir dan kita buat keputusan bersama. Dan yang paling penting ialah ambil pendapat jauhari di dalam bidang pendidikan. Kata orang hanya jauhari yang mengenal manikam. Untuk melaksanakan dasar pendidikan janganlah kita main-main kerana jika terseilap membuat keputusan buruk akibatnya.

No comments:

Post a Comment