Sunday, June 21, 2009

Guru ke Pendidik ?

Selamat berjumpa kembali.

Kali ini kita akan melihat siapa pendidik sebenarnya ? Seperti yang saya sebutkan sebelum ini bahawa semua guru yang dilantik oleh kerajaan di sekolah-sekolah adalah secara otomatik menjadi pendidik kerana sebahagian tugas mereka adalah menjadi pendidik. Pendidik yang baik dan berkesan semestinya mempunyai prasyarat tertentu. Pertamanya ialah minat dan kecenderungan untuk memang menjadi seorang pendidik.

Adakah semua kita yang bergelar guru ini memang ingin menjadi arkitek bangsa atau sebaliknya; kata orang nak makan gaji semata-mata. Jika kita berada di kategori yang pertama iaitu memang kita "born to be a teacher" maka bertuahlah anak didiknya. Maka marilah kita bermuhasabah dengan diri kita sendiri secara ikhlas. Kita pastikan kita menjadi guru kerana memang itu yang kita inginkan. Tapi jika guru itu dijadikan hanya sebagai punca rezeki atau hanya sekadar tempat makan gaji maka amat malang sekali orang yang melantiknya apatah lagi anak muridnya. Semoga ini tidak akan pernah terjadi walaupun hanya kepada seorang gurupun di Malaysia. Harapan kita agar seluruh guru yang ada di Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar ingin menjadi arkitek bangsa.

Namun jika selepas kita melihat ke dalam diri kita secara ikhlas dan jujur; terdapat sekelumit rasa tidak ikhlas bahawa aku bukan ingin berkhidmat sebagai guru tapi apa boleh buat ini sudah taqdir (sebenarnya kita cari) maka tidak salah kita kembali ke pangkal jalan. Terimalah taqdir itu seadanya dan terus ambil langkah untuk kita tekadkan hati kita bahawa tidak akan pernah ada profesion lain yang aku akan buat melainkan menjadi seorang pendidik kerana menjadi pendidik adalah tugas yang paling hebat. Pendidik boleh membina sebuah bangsa, pendidik boleh membina sebuah tamaddun dan pendidiklah yang menentukan masa depan sesebuah negara.

Syarat yang kedua kalau kita ingin menjadi seorang guru/pendidik yang baik dan berkesan ialah kita mestilah sentiasa mencari dan menambah ilmu dan kemahiran. Kita sentiasa bersedia untuk "absurd" segala ilmu dan kemahiran yang sentiasa berubah. Kita jangan sekali bangga dan sombong dengan segolong ijazah atau diploma yang telah begitu lama kita terimanya kerana ilmu yang dapat itu telah lama berlalu sedangkan proses perkembangan ilmu amat pantas bergerak; jika kita gagal bergerak bersama perubahan itu nescaya kita akan ketinggalan, maka jadilah kita seorang pendidik yang jumud, statik dan akhirnya kita akan menjadi sekeping sabut di laut lepas; hanyut dibawa gelombang.

Maka kita mestilah sentiasa mencari, menerima dan mengamal segala ilmu dan kemahiran yang amat pantas bergerak. Dengan itu kita akan sentiasa menjadi seorang pendidik yang sentiasa "update" yang akhir akan memberi impak yang tinggi kepada segala kerja buat kita. Percayalah mencari ilmu dan kemahiran itu amat penting kepada semua orang waras. Kita seharusnya istiqamah dengan usaha ini.

No comments:

Post a Comment