Wednesday, August 5, 2009

KISAH MOTO DAN LOGO

Salam 1 Malaysia

Kadang-kadang terasa geli dan kadangkala terasa muak dengan semua senario yang berlaku di Malaysia. Tradisi mencipta dan menggubah moto dan logo akan belaku apabila berlaku perubahan di dalam pucuk pimpinan dalam mana-mana organisasi. Ini jelas kita lihat apa yang berlaku di sesebuah sekolah yang baru dapat pengetua/guru besar baru. Apabila pengetua/guru besar baru datang ke sesebuah sekolah lalu dia perkenalkan moto dan logo yang baru. Entah apa yang dia mahu di situ hanya Tuhan yang tahu. Banyak cerita yang kita dengar tentang isu moto dan logo ini di sekolah-sekolah. Ada yang berjaya merubah sama sekali sekolah tersebut dan tidak kurang sebaliknya.

Kita rasa naluri kita lebih berminat untuk melihat tentang kegagalan; kejayaan tak perlu kita bincang kerana semua orang suka kejayaan. Dan tujuan kita berbicara kegagalan di sini dengan niat yang baik iaitu bermuhasabah. Maka diharap semua pihak tak payahlah berkecil atau terasa hati nanti.

Kita banyak mendengar suasana yang kurang enak yang berlaku di dalam pengurusan sesebuah sekolah hasil daripada pengenalan sebuah gagasan baru atau moto baru yang nak dilaksana di sesebuah sekolah. Cerita ini amat kerap kita dengar. Impaknya seluruh sekolah tersebut bergerak bagai sebuah kereta api minyak tanah. Maka sekolah tersebut sudah tentu tidak menjadi sebuah sekolah yang dinamik.

Kita ambil contoh sebuah cerita yang sampai ke telinga saya sendiri (entah benar, entah tidak). Kata empunya cerita pada suatu masa berlakulah pertukaran guru besar. Maka berlakulah sebuah penantian pada seluruh warga sekolah dan seluruh orang kampung kerana sudah menjadi kebiasaan untuk melantik seorang guru besar amat memakan masa (entah ini satu tradisi atau satu polisi). Maka tunggulah mereka dengan penuh harapan. Akhirnya tibalah masa yang ditunggu dengan perasaan sukacita. Maka acara sambutan seadanya telah diadakan bagi menunjukkan betapa warga sekolah gumbira menyambut kedatangan guru besar baru.

Ringkas cerita; selepas beberapa ketika maka guru besar baru ni pun panggillah mesyuarat guru lalu dia memaklumkan moto yang akan dilaksanakan di sekolah tersebut iaitu re branding. Maka bingung binganglah seluruh warga sekolah tersebut mendengar perkataan re branding. Bagi mereka re branding ni amat besar konotasinya; Apakah kami teruk sangat pada pandangan guru besar baru ni? Maka dengan kata lain perkataan re branding telah menjadi pukulan maut pada mereka. Maka bermula hari tersebut bermulalah episod perang dingin antara guru besar dengan seluruh warga sekolah tersebut. Seperti yang kita jangka dan maklum seluruh warga sekolah telah pusing belakang dengan guru besar.

Al kisah guru besar ni pula teruslah dengan cita-cita dan harapannya untuk re branding sekolah tersebut. Pelbagai langkah dan kaedah dilaksanakan demi mencapai re branding. Seperti yang diduga harapan dan cita-cita guru besar ni gagal mencapai hasrat yang akhirnya amat mengecewakan guru besar tersebut. Entah benar ke tidak akhirnya guru besar ni telah minta ditukarkan ke sekolah lain ........

Natijahnya dari pemerhatian kita yang cetek ilmu ni bolehlah kita simpulkan bahawa kegagalan guru besar tersebut disebabkan kegagalan diri dia sendiri. Dia tidak berupaya mempengaruhi orang di bawah pimpinan untuk akur dengan kehendaknya; di samping itu guru besar ini gagal membeli hati orang bawahannya supaya ada rasa hormat dan sayangkan organisasi. Dengan kata lain kegagalan guru besar ni kerana kejahilannya sendiri.

Maka seperti yang pernah saya sebut sebelum ini bahawa apa saja yang kita nak lakukan mestilah bersandarkan ilmu yang mutlak bukannya ilmu tiruan atau jenis manusia yang syok sendiri. Apa lagi untuk menjadi seorang pemimpin sebuah sekolah yang kita tahu amat mencabar tugasnya. Justeru saya menyeru semua pihak supaya sentiasa update ilmu sentiasa; dunia sekarang bukan lagi seperti 40 tahun dahulu. Sekarang semua orang mempunyai peluang yang luas untuk akses kepada punca ilmu.

Maka sepatutnya seorang pemimpin mestilah sentiasa one step ahead dari orang yang dipimpin. Kita tidak mahu episod kecil tadi berlaku lagi di mana-mana sekolahpun.

Saturday, August 1, 2009

HEBATNYA ORANG KITA !!!!!!!!


Tanggal 1 Ogos 2009 orang kita (OK) telah berjaya buktikan kepada dunia memang OK boleh. OK memang setaraf dan setanding dengan mereka di negara lain yang menjadi idola OK. Dan hari ini OK telah melangkah dengan satu langkah yang berjaya. Berjaya membuktikan kepada dunia bahawa jika negara mereka susah, huruhara, harubiru dan pelbagai kerenah negatif maka OK telah berjaya mensenaraikan Malaysia di senarai negara yang tidak mahu aman. Inilah sifat terpuji OK setelah mulut mereka disuap nasi dan susu selama ini oleh negara Malaysia. Inilah balasan mereka kepada ibu pertiwi.

Hari ini juga OK telah menunjukkan watak, sifat, sikap dan belang sebenar secara jelas kepada kita. Kita harap seluruh rakyat Malaysia kenal siapa OK ni. OK ni sebenarnya adalah terdiri daripada sekumpulan manusia yang sudah cukup kaya dan sejahtera. Pendapatan mereka berjuta-juta sehingga mereka tak tahu ke mana nak dibelanja duit mereka.Sebab itu OK tak fikir sangat kesusahan orang lain kerana OK ingat orang lain senang mcam mereka juga. Bagi OK ni, duit dan rezeki tak penting lagi kerana mereka dah milikinya sehingga melimpah ruah. Yang penting bagi mereka ialah kejayaan mereka untuk menghuru harakan negara dan menyusahkan orang ramai. Inilah percubaan mereka ke sekian kalinya untuk menyusahkan orang ramai. Telah banyak kali mereka melakukan perkara yang sia sia ni dan tidak akan pernah berhasil.

Maka pada OK kami menyeru; cukuplah buat kerja sia-sia tu. Cukuplah menyusahkan orang ramai dan nak jadi jaguh plastik jalanan. Ini bukan masanya kita nak buat kerja macam orang tak cukup akal. Tak payahlah tunjuk kekecewaan kita di jalanan, itu semua tabiat buruk yang ditiru dari negara lain. Malaysia adalah sebuah negara yang bukan berbudaya demonstrasi. Budaya kita adalah budaya harmoni, tolong menolong, kasih sayang dan sejahtera. Usahlah menyusahkan orang ramai, nanti mereka akan menyampah dengan kita sebaliknya OK bolehlah gunakan kesempatan mandat yang diberi oleh rakyat dalam PRU 12 yang lepas. OK mendapat mandat yang begitu besar dalam PRU 12 yang lepas dan sebenarnya hal ini tak pernah berlaku dalam sejarah negara kita. Ambillah kesempatan dan peluang tersebut secara bijaksana dan matang dan janganlah tunjuk perangai macam budak-budak, mudah merajuk. Kalau dah merajuk tu habislah barang mainan dibuangnya dan dirosakkan. Itu perangai budak budak yang belum matang. OK memang manusia yang dah cukup matang dan kita percaya memang dah mukallaf atau akil baligh pun. Tak kan orang yang akil baligh tak tahu yang mana bersih dan yang mana kotor. Kalau masih belum boleh membezakan kotor dan bersih itu dah jadi kes berat. Kena tengok baliklah ......... Kalau tidak kena juga kena bawa pi jumpa tok mudim semula.

Kami doa juga agar OK dapat muhasabah diri dan buat penilaian secra paling ikhlas. Apakah langkah dan keputusan yang diambil tu menguntungkan OK ke tidak. Kalau dulu orang ramai telah bagi mandat yang amat besar kerana menaruh harapan mereka pada OK kerana waktu berkempen OK telah berbuat janji yang amat rasional dan praktikal. Mereka percaya OK adalah kumpulan pemimpin terbaik yang dapat menyelesaikan masalah mereka. Atas janji dan manifesto itu di PRU 12 rakyat memberi OK peluang yang terbaik untuk membuktikan OK adalah orang yang paling matang dan bijaksana. Itulah harapan mereka. Mereka tak suka lihat OK masih lagi bertindak macam budak tak cukup umur. Kalau budak tak cukup umur buang atau rosakkan mainannya janganlah kita rosakkan dan buang amanah rakyat pada OK. Dan janganlah suka merajuk dan merosak harta benda apabila kecewa kerana itu tabiat budak tak cukup umur dan jika OK adalah orang bijaksana dan dah cukup umur, tolong kumpulkan segala kudrat dan kemahiran OK di parlimen tempat untuk kita merobah segalanya. Jangan sekali-kali mudah kecewa, Tuhan telah berjanji akan memberi kejayaan kepada mereka yang tidak putus asa. Sebalinya rakyat amat berharap melihat OK ambil kesempatan yang diberi sebagai bukti untuk akan ramai lagi bersama OK dalam PRU 13 nanti.

Soal ISA janganlah kita besarkan sangat. Kalau kerana ISA kita dicop sebagai budak tak cukup umur maka amat rugilah OK. Kalau kita selalu menyusahkan rakyat hanya kerana isu ISA je rakyat akan melebel bahawa OK ni pengecut dan penakut; hati kecil dan berjiwa kecil. Takut apa dengan ISA? Rakyat biasa tak kisah, tak tahu dan tak fahampun ISA, tapi mereka boleh hidup aman damai. Dan bagi mereka yang minta dihapuskan ISA bermakna mereka takut kepada ISA kerana mereka berniat untuk melakukan kesalahan kerana buatlah ISA ke ISB ke atau ISC ke orang biasa tak ada apa-apa. Tak jadi kudis gatal kerana ISA tak pernah diguna pada mereka yang tak bersalah dan yang kena tu memang buat salah. Maka kita harap OK tak payahlah buang masa nak buang ISA kerana OK orang baik dan orang bijak. Yang kena ISA dan kena gantung bawah 39B tu memang orang jahat tak macam OK. Kesimpulannya kalau kita tak akan buat salah tak payahlah pusing kepala dok fikir benda yang tak ada faedah sebab banyak lagi kerja kebajikan yang boleh OK fikir dan buat.

Sayugia kita menyeru agar OK hentikan semua tabiat kanak-kanak yang suka merajuk dan suka merosak harta benda sebaliknya gembelingkan segala tenaga yang ada untuk memenangi hati rakyat dengan menunjukkan bahawa OK orang baik, OK orang pandai dan OK adalah manusia yang tisak suka kepada pembaziran kerana hari ini kita lihat KL dan lumpuh, penjual pasar malam Jalan TAR rugi dan segala logistik polis terpaksa dibuang begitu saja dan segala belanja tadi untuk berkawal dan sebagainya telah menggunakan wang rakyat. Jelaslah kepada kta inilah akibat daripada keputusan yang kurang cerdik yang diambil oleh OK hari ini. Percayalah rakyat Malaysia sekarang bukan mudah digula gula dengan lakonan hero plastik yang penuh dengan sifat hipokrit. Rakyat sekarang mahu hidup senang dan aman apatah lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tak puluh-pulih ni.

Akhirnya saya ingin pulangkan keputusan dan kesimpulan natijah demonstrasi ISA ni kepada rakyat jelata: Adakah kita mahu dan mampu untuk hidup dalam negara yang huru hara dan haru biru atau kita ingin meneruskan dan mamantapkan suasana yang penuh lumayan hingga ke anak cucu. Membunuh anak ayam kesayangan jauh lebih mudah daripada kita nak mempastikan anak ayam itu membesar dengan sihat dan bugar.

Tuesday, July 14, 2009

SYOKNYA JADI SEKOLAH PRIMIER

Salam blogger.

Kali ni saya ingin menulis sedikit berkait dengan status dan kedudukan sekolah premier atau apa sajalah namanya asalkan ia sebuah sekolah yang "dianak emaskan".

Banyak rakan mengeluh dan berbisik pada saya kononya; seronok kalau kita duduk di sekolah premier. Terlalu banyak keistimewaan yang mereka dapat. Pengetuanya dinaikkan pangkat ke DG52 atau DG54, diberi pula sebuah atau dua buah bas sekolah oleh KPM, peruntukan kewangan pembangunannya tiada hadnya, peruntukan peralatan pembelajaran yang tiada batasnya, murid yang masuk ke sekolah tersebut boleh dipilih dan ditapis dan setiap kali ada majlis di peringkat daerah dan negeri pengetua ni le yang turun naik pentas menerima pelbagai anugerah.

Sekali fikir betul juga rungutan rakan-rakan ni. Memang ketara sangat keistimewaan yang ada pada sekolah ni. Sedih juga bila kita kenang dan dengar rintihan rakan-rakan tadi. Memang nasib mereka malang; dahlah sekolah jauh dari bandar, bukan bergelar premier pula dan tidak diberi kemewahan tersebut pula. Sedangkan mereka kata status dan kebolehan mereka sama saja dengan guru yang ada di sekolah premier. Lalu mereka terasa mereka telah dianaktirikan.

Jelas sekali rungutan tersebut ada asasnya. Rata-rata kita lihat sekolah sebegini berada di bandar atau bandar besar dan rata-rata pengetuanya adalah yang dah dinaikkan grednya kerana kebetulan berada di situ. Dengan segala kemudahan yang ada dan kebetulan pula anak muridnya adalah pelajar terpilih (5A UPSR- yang kurang akan direject) maka mudah sekolah ini mencapai kecemerlangan kerana bahan mentahnya adalah kelas satu. Maka atas kecemerlangan yang terancang ini maka pengurus sekolah ini telah dipandang sebagai amat berjaya. Maka sekolah ini sudah tentu akan dianugerahi pelbagai anugerah dan penghargaan setiap kali apa jua majlis yang diadakan. Dan sekolah lain yang hadir di setiap majlis itu hanyalah menjadi penonton dan tukang tepuk tangan. Dengan kata lain, sekolah bukan premier yang dikerah ke majlis itu putihlah matanya kerana setiap kali anugerah diumumkan maka bergilir kakilah pengetua sekolah premier ini naik turun pentas; dengan senyum lebar dan bangga pula tuh.

Sebab itulah ada rakan-rakan berbisik ke telinga saya, "malaslah aku nak pergi majlis tu, asyik dia saja yang terima anugerah; kita habuk pun tadak." Tapi kerana akur dengan arahan mereka sampai juga ke majlis tersebut walau dengan hati yang berat.

Pelajar sekolah premier akan datang dan hadir ke pesta dan mana-mana pertandingan dengan gahnya dengan bas yang mereka miliki. Sekali lagi sekolah yang bukan premier akan terasa sinis dan terguris kerana mereka juga wajib mengambil bahagian di dalam sebarang pertandingan yang dianjurkan tetapi terpaksa pening kepala mencari wang untuk isi minyak kereta guru yang akan mengangkut pelajarnya ke satu-satu destinasi. Ini jauh berbeda dengan sekolah premier yang hanya petik jari, pemandu basnya akan hantarkan pelajarnya ke mana sahaja. Sedangkan sekolah yang bukan premier terpaksa menanggung risiko yang besar apabila terpaksa menggunakan kereta guru untuk mengangkut pelajar yang memang salah di bawah akta jalanraya.

Inilah sedikit cebisan rasa hati guru-guru di sekolah bukan premier.

Maka mereka berbisik kepada saya; mereka ada satu cadangan yang besar yang minta saya sampaikan kepada orang atas:

1. Selepas beberapa ketika mereka mencadangkan supaya semua pengetua DG52/54/JUSA (pengetua cemerlang) yang ada di sekolah premier ni kita alih ke sekolah di pendalaman yang amat daif dan pencapaian mereka lemah dalam semua bidang. Kita minta pengetua cemerlang ni gunakan segala kecemerlangan dan kepakaran mereka bagi membantu sekolah-sekolah yang daif di pendalaman itu. Kita percaya mereka boleh lakukan. Janganlah kita bazirkan bakat kebolehan dan kepakaran mereka di sekolah yang memang sudah cemerlang.
2. Mereka juga berbisik ke telinga saya agar semua bas KPM yang ada di setiap daerah diletak di PPD, janganlah dijadikan milik sekolah-sekolah premier kerana kalau diletak di bawah PPD dapatlah sekolah lain tumpang syafaatnya. Jika ini dapat dilaksanakan maka beban kewangan dan beban risiko jalan raya dapat dihindarkan.
3. Selain itu, mereka berharap supaya KPM/JPN/PPD janganlah tandingkan gajah dengan semut. Tak guna SMK Anderson kita lagakan dengan SMK Ulu Sat, Ulu Tembeling atau SMK Sultan Sulaiman dengan SMK Kuala Jengai. Jika kaedah pertandingan berat sebelah ini kita teruskan ia amat inmotivate semua yang terlibat. Sekolah yang terkenal kemunduran semulajadi ini dari awal lagi sudah mengaku kalah; mereka kata, takpelah kita hadir di majlis sebagai pak pacak je lah. Maka mereka cadangkan supaya pertandingan dan anugerah yang diwujudkan biarlah adil iaitu, biarlah sekolah itu bertanding dengan diri sendiri. Dengan kata lain jika sekolah boleh menunjukkan peningkatan yang hebat dari masa lepas maka kita anugerahkannya. Ini baru adil kata mereka. Selagi kita dok tandingkan pasukan bolasepak liga kita lawan pasukan liga England, memang belum bertanding kita dah kalah.

Kesimpulannya saya rasa memang isu ini adalah besar dari segi keadilannya. Kita mesti melihat semua sekolah di Malaysia secara keseluruhan; yang daif perlu dibantu yang hebat perlu diperkasa. Ini amat sesuai dengan gagasan 1Malysia, Rakyat Diutamakan. Jangannlah nanti ada hati yang terguris yang mungkin tidak akan sembuh yang kesannya amat mendalam.

Friday, July 10, 2009

PPSMI

Enam tahun lepas Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah diperkenalkan di dalam sistem pendidikan kita. Maka pelbagai perubahan yang baru lagi drastik telah dilaku dan berlaku di dalam sistem pendidikan kita. Pelaksanaan PPSMI ini telah banyak merobah sistem pendidikan kita yang pada masa yang sama sebenarnya kita masih bermazhab Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Enam tahun lepas; ramai yang terpinga-pinga apabila Perdana Menteri pada ketika itu mengumumkan bahawa pengajaran matapelajaran sains dan matematik akan menggunakan Bahasa Inggeris. Para guru mula bertanya sesama sendiri dan para pejuang bahasa berbisik sesama mereka. Akhirnya PPSMI telah diisytiharkan dengan resminya. Maka ramailah rakan rakan guru yang telah di"modified" dengan pelbagai cara dan gaya yang akhirnya mereka terpaksa mengajar sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris walaupun kata mereka, mereka masih belum bersedia. Di samping itu, seperti kita tahu kerajaan telah menghabiskan wang begitu banyak demi menjayakan PPSMI ini seperti untuk menukar buku yang pada ketika msih di dalam Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris, menyediakan peralatan dan prasarana yang canggih lagi update, sewa hotel untuk kursus para guru dan sebagainya. Kita bangga kerajaan amat tidak kedekut dengan pelajaran anak-anak kita. Maka berjalanlah PPSMI selama satu pusingan - enam tahun. Maka semua anak kita yang berada di sekolah telah melalui PPSMI dalam satu kitaran dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam.

Jom kita tengok senario kontra pula. ( Kebetulan semasa saya menulis ni saya ada di Utara ) Sejak tiga tahun lepas mulalah kedengaran sumbang dari pelbagai pihak. Mereka dah mula minta kerajaan kembali ke pangkal jalan. Mereka kata PPSMI gagal mencapai cita-cita dan matlamat. PPSMI pula dituduh telah menjarakkan lagi anak-anak kita antara bandar dan luar bandar walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan yang tidak ada di negara yang sewaktu dengan kita. Tentangan demi tentangan telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuklah pelbagai NGO dan parti politik. Akhirnya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengadakan pelbagai siri perbincangan meja bulat bagi mendapatkan buah fikiran dari pelbagai pihak bagi KPM sendiri membuat kesimpulan berkait PPSMI.

Dan dua hari lepas sebaik saja Kabinet Malaysia ditaklimatkan oleh YAB Tan Sri Mohyidin, Menteri Pelajaran Malaysia berkait PPSMI beliau terus membuat pengumuman status PPSMI. Maka riwayat PPSMI telah berakhir. Tamatlah sebuah episod teka teki dan sebuah kekeliruan itu.

Memang kita rasa terharu dengan pengumuman itu, maklumlah kita dah lama bersama. Tidur bangun; makan minum; susah senang kita bersama, alih-alih PPSMI ditamatkan. Memang ia amat menhgarukan.

Maka hari sebuah episod baru menjelma pula yang sudah tentu menjadi sebuah kekeliruan dan teka teki baru di kalangan masyarakat khasnya masyarakat guru. Mereka tertanya-tanya ke mana pula bahtera pendidikan akan di tala? Bagaimana pula perjalanan bahtera ini nak meneruskan pengembaraan? Jenis apakah badai dan ombak yang para guru akan harungi?

Pelbagai suara dan idea baru telah mula terbisik ke telinga rakyat jelata. Suara ini sebenarnya suara besar yang kalau tak ditangani dengan baik dah tentu akan menjadi sebuah projek mimpi yang akhirnya kita akan mengigau bersama.

Maka adalah amat diharapkan, janganlah anak-anak kita yang suci bersih itu dijadikan tikus putih yang dibela untuk dibuat pelbagai ujian; kerana kita bimbang jika terlalu banyak dibuat ujian anak-anak akan tempang selepas mereka keluar persekolahan nanti.

Kalau kita nak bagi penawar kepada anak-anak kita biarlah ia sejenis ubat yang memang sudah eshtablish dan dah tanggung diuji; jangan pakai tangkap muat. Dan janganlah amalkan pepatah Sekali Air Bah maka Pantainya Juga Kena Ikut Berubah. Kalau nak berubahpun rancang dan ujilah dulu; jika ia memang sesuatu yang mantap dan tak kalah diuji barulah kita laksanakan.

Satu lagi hal yang nak saya lontarkan di sini; amat jarang mungkin tak ada langsung seekor ayam boleh membela seekor itik yang akan menjadi itik seitik-itiknya. Yang lazimnya jika ayam yang menjaga itik sudah tentu sedikit sebanyak perangai ayam itu terpalik kepada itik yang dijaganya. Kesimpulannya kalau nak urus ayam biarlah ayam yang mengurusnya dan kalau nak urus itik biarlah itik yang mengurusnya. Maksudnya hanya jauhari yang kenal manikan. Harapan kita ambillah pendapat semua pihak khasnya yang pakar di dalam pendidikan jika kita ingin berjaya kerana seperti kata YAB Dato' Sri Najib sekarang bukanya zaman goverment knows everything. Turunlah ke bawah, tanyalah pada yang hak dan jangan berandai di dalam semua hal. Maka janganlah teori try and erorr kita gunakan jika kita ingin bangunkan sebuah negara bangsa.

Tuesday, June 30, 2009

ISU GURU TINGKATAN VI

Salam Hormat.

Hari ini saya terpaksa tinggalkan turutan esei saya berkait dengan "pendidik" kerana ada isu yang urgent untuk makluman semua guru khususnya guru tingkatan VI.

Guru Tingkatan VI telah mula dilaksana mulai 1 Januari 2008. Kebanyakan penempatan telah dibuat oleh pihak Bahagian Sumber Manusia (BSM) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Kita ucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana isu guru tingkatan VI telah selesai dan menjadi kenyataan.

Untuk makluman semua rakan guru, semua guru tingkatan VI yang dibuat penempatan pada tahun 2008 dan 2009 adalah telah diperakukan oleh pihak pengetua mengikut surat KPM pada Bulan November 2007. Pihak BSM telah meminta semua pengetua, PPD dan JPN menghantar semua nama guru yang sedang mengajar di tingkatan VI ke KPM untuk diambil tindakan oleh pihak KPM. Maka pihak yang berkenaan telah menghantar nama-nama guru yang sedang mengajar tingkatan VI namun apabila urusan penempatan dibuat terdapat pelbagai rungutan negatif di kalangan guru khususnya guru tingkatan VI.

Pada 30 Jun 2009 jam 9.00 pagi semua setiausaha cawangan NUTP telah dijemput ke KPM untuk diberi taklimat dan dibuat perbincangan. Kita ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak BSM yang telah memberi kerjasama yang amat baik kepada kita. Inilah maklumat yang kami nak sampaikan kepada semua guru khususnya guru tingkatan VI.

1. Pada akhir tahun 2007 semua nama guru yang mengajar tingkatan VI dihantar ke KPM
2. Pihak BSM mengambil masa hampir setahun untuk membuat urusan ini.
3. Pada awal tahun 2009 surat penempatan dan surat pemangkuan guru tingkatan VI telah
dikeluarkan.
4. Ramai guru merungut kerana merasakan mereka layak tetapi tidak dibuat penempatan

Maka pada mesyuarat dengan BSM hari ini kita telah membuat persetujuan agar: MANA-MANA GURU YANG MERASA DIRI MEREKA TERCICIR ATAU TIDAK DIHANTAR NAMA KE KPM MELAPORKAN DENGAN SEGERA KEPADA PIHAK NUTP UNTUK DIPANJANGKAN KE BSM DENGAN SEGERA.

MAKA SAYA BERHARAP SEMUA GURU BOLEHLAH MENGHANTAR BUTIR DIRI MENGIKUT FORMAT DI BAWAH KEPADA IBUPRJABAT NUTP DAN DISALIN KE NUTP CAWANGAN SEBELUM ATAU PADA 3 JULAI 2009.

Format Maklumat Diri:

1. Nama / No KP / TARIKH LAHIR / GELARAN JAWATAN
2. GRED HAKIKI PENYANDANG (DG41 /DG44 / DG48 )(KUP)
3. TARIKH LANTIK PPPS DG41
4. GRED JAWATAN YANG DISANDANG (DG41 / DG44 /DG48 )
5. TEMPOH MENGAJAR TINGKATAN ENAM ( TERMASUK TAHUN 2008 DAN 2008 )
6. TARIKH MULA MENGAJAR TINGJAR ENAM
7. MATA PELAJARAN TINGKATAN ENAM YANG DIAJAR
8. OPSYEN MATA PELAJARAN
9. KEPUTUSAN PTK ( ARAS DAN TARIKH LULUS )

Seterusnya pihak NUTP juga amat berharap maklumat yang betul dan benar dari semua guru jika ada guru tingkatan enam yang telah dibuat penempatan atau pemangkuan sedangkan mereka tidak mengajar pada tahun 2007 dan 2008 kerana YANG LAYAK DIURUS UNTUK PENEMPATAN DAN PEMANGKUAN GURU TINGKATAN ENAM HANYA GURU GURU YANG MEMANG MENGAJAR PADA TAHUN 2007 DAN 2008. Jika ada berlaku kesilapan lantikan hendaklah dilapor segera kepada pihak NUTP untuk diambil tindakan.

Terima kasih, harap sebarkan maklumat ini segera kepada semua rakan.

Sebarang kemusykilan sila tel: 019 915 3077


Anuar Ibrahim
Setiauha Kehormat,
NUTP Cawangan Terengganu

Wednesday, June 24, 2009

Sedia Berubah ....

Sekali air bah sekali pantai berubah. Itulah kata-kata orang tua yang banyak ertinya bagi kita seorang pendidik.

Bagi seorang pendidik, kita tidaklah boleh menjadi sebuah pantai yang hanya menunggu air untuk mengubahnya. Sebaliknya kita mesti menjadi seorang yang proaktif dan ditambah pula dengan semangat ingin berubah berlandaskan perubahan masa dan zaman. Kita mesti mengamalkan semangat ingin belajar demi menambah kemahiran kita. Di sana terbentang ruang dan peluang untuk kita gali dan terokai. Ayuh kita mulakan sekarang, jangan kita bertangguh lagi dan buangkan sikap ego kita yang lalu kerana seperti yang saya pernah sebut pada sesi lepas jika kita gagal mendepani masa dan perubahan maka pada ketika itu kewujudan kita sudah tidak lagi relevan. Akhirnya kita akan menjadi seorang yang jumud dan statik yang ketinggalan dalam segala hal.

Sebagai seorang pendidik kita juga mesti tahu serba serbi di sekeliling profesionnya. Janganlah kita syik syok dengan segala maklumat lama dan ketinggalan zaman atau dok sibuk dengan segala maklumat di dalam bilik darjah sahaja sebaliknya kita mesti menjadi seorang yang "update" agar kita tidak mudah "ditipu" atau dipermainkan oleh orang lain terutamanya rakan-rakan kita di sekitar kita. Kita harus kenal siapa big-big boss kita Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya (KPM) dan begitu juga siapa pentadbir kita di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Kita semestinya mengenali semua personel ini demi memudahkan kita berurusan.

Di samping itu kita juga mesti mengambil tahu siapa yang membuat perlantikan/ pengesahan kita dan siapa yang membayar gaji dan semua elaun kita.

Selain itu, kita juga mesti tahu dengan setahu-tahunya segala peraturan dan undang-undang yang melingkari kita agar kita tidak mudah diperkotak-katik oleh sesiapapun termasuk guru besar atau pengetua kita. Dan yang paling penting kita mesti hak-hak yang mesti kita dapat sebagai seorang pendidik.

Wahai rakan-rakan pendidik; amat malang sekali jika seorang pendidik yang sepatutnya menjadi sumber segala ilmu tetapi begitu mudah dipermainkan oleh sebarang orang kearana kejahilan kita. Maka ambillah sikap ingin belajar dan mendalami ilmu pengetahuan yang akhirnya akan memberi impak yang maha besar kepada kita.

Dengan kata lain jika kita menjadi orang "yang tahu" maka sudah tentu kita tak mudah ditipu kerana kata rang tua "sibodoh makan sicerdik"

Monday, June 22, 2009

Pendidik ????

Hari ini kita bersua lagi.

Kata orang cakap lebih senang dari buat. Melihat lebih senang dari memikul. Inilah ibarat pepatah-pepatih kepada seorang guru/pendidik. Maka untuk menjadi seorang pendidik yang efektif ada bayak syaratnya.

Pendidik juga mestilah menjadi seorang yang berani menerima perubahan. Dia tak boleh cerewet dengan perubahan yang berlaku sebaliknya haruslah menjadi seorang yang amat suka menyahut cabaran dan perubahan. Inilah ciri yang mesti ada pada seorang pendidik.

Kita tahu, kita menerima skrol ijazah atau diploma sudah sekian lama, kita tahu kita sudah dilatih secara formal untuk menjadi guru sudah begitu lama dan kita juga tahu bahawa semua ilmu kemahiran yang kita terima ketika itu sudah ketinggalan zaman. Maka sebagai pendidik yang baik maka kita harus sentiasa mencari ilmu-ilmu baru berkait dengan bidang tugas kita khasnya dan ilmu lain amnya. Kita juga seharusnya tidak mempunyai rasa malu dan segan untuk menggali segala khazanah ilmu yang sentiasa terbentang di depan mata. Ambillah peluang yang tersedia itu dengan rasa sedar dan bersungguh kerana jika kita asyik berbangga dengan ilmu dan kemahiran masa lampau kita bimbang kita akan menjadi loncai yang akan hanyut dengan labu-labunya. Ingatlah jika kita asyik berbangga dengan apa yang kita ada sedangkan kita tidak bergerak bersama arus ilmu yang ada maka kemungkinan besar kewujudan kita pada sekarang dan masa depan sudah tidak relevan lagi. Dan pada ketika itu tidak hairanlah profesion kita akan dipertikai oleh banyak pihak.

Maa marilah kita menjadi seorang pendidik yang sentiasa menyahut cabaran semasa dengan gah dan berani. Mari kita buktikan bahawa dunia akan hambar tanpa kewujudan manusia yang bergelar guru/pendidik.