Sunday, February 14, 2010

Kuasa Guru Besar / Pengetua ????

Salam 1Malaysia dan Salam Persahabatan

Semalam sewaktu menonton berita TV1 tertulis " Semua Guru Besar atau Pengetua akan diberi insentif jika sekolahnya melakukan lonjakan kejayaan." Dan baru-baru ini apabila KPM melancarkan Program Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sekali lagi Guru Besar atau Pengetuanya akan diberi pelbagai insentif dan ganjaran. Kedua-dua pengumuman ini amat sedap didengar dan ia terlalu lunak dialun.

NG mengucapkan setinggi tahniah kepada KPM kerana berani melaksanakan pelbagai pembaharuan walaupun Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) masih belum selesai dan sudah hampir selesai. Kita sedar semua orang sedang menggelabah terutama KPM apabila memikirkan cabaran yang mendatang. Maka pelbagai buah fikiran diutarakan bagi dilaksanakan. Sebab itulah satu demi satu program dilancar di dalam sistem pendidikan kita.

NG bukan nak campur tangan atau sengaja nak ajar itik berenang tetapi sekadar ingin melontar idea, itupu jika ada orang yang ingin berkongsi sama. Adalah menjadi harapan NG agar ramai di antara kita yang terpanggil untuk berbicara tentang sistem pendidikan kita. Kita harus ingat bahawa jatuh bangunnya sesuatu bangsa dan tamaddun amat bergantung rapat kepada sistem pendidikan itu sendiri. Sistem pendidikan merupakan satu senjata yang paling ampuh untuk mempertahankan jati diri sesuatu bangsa dan sesuatu peradaban.

Nampaknya KPM sekarang sudah mula berkayuh bahtera besarnya. KPM juga dah mula mengorak langkah kononya ingin menuju kejayaan yang berganda. Salah satu strateginya ialah pelaksanaan SBT dan proses mengautonomikan kuasa Guru Besar dan Pengetua. Pelbagai ganjaran dan insentif telah dijanjikan kepada semua GB dan Pengetua yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing. Ini merupakan suatu arena pertandingan yang maha luas yang telah disediakan oleh KPM. Inilah peluang yang MESTI direbut oleh semua GB dan Pengetua. Dan tidak peliklah mulai sekarang semua GB dan Pengetua sudah berada di garisan permulaan masing-masing dan menunggu pistol ditembak sahaja.

Tetapi cuba kita renung dan fikir; siapakah yang akan melaksanakan semua tugas ini di sekolah? Siapakah yang akan menanggung segala tugas yang sudah pasti beratnya luar biasa sifatnya? Tak perlu dijawab sekarang kerana semua orang tahu. NG rasa pertandingan ini sudah pasti akan sangat membebankan para guru kita yang sememangnya terbeban dari dulu hingga sekarang.

Ramai yang sudah pasti tidak bersetuju dengan pendapat NG; katanya apakah menjalankan tugas mengajar sebagai seorang guru boleh dianggap sebagai beban? Apakah masuk dan keluar keluar kelas untuk membimbing anak murid boleh dianggap sebagai beban? Inilah yang sentiasa bermain di benak kita yang bukan warga guru kerana bagi kita yang bukan guru; tugas guru adalah mengajar anak muridnya menjadi pandai. Maka amat janggal jika ada guru yang merungut kerja mengajar itu sebagai beban.

Untuk pengetahuan kita bersama sepanjang lebih 36 tahun NG berkecimpung sebagai guru tak pernah terdengar rakan guru merungut kerana hanya untuk mengajar malah mereka amat suka melaksanakan tugas tersebut. Sebab mereka tahu itu adalah profesion mereka dan itu adalah amanah yang diberi kepada mereka. Mereka amat bersedia untuk mempastikan anak muridnya berjaya.

Dan untuk pengetahuan kita bersama juga, ramai di kalangan guru mengeluh bukan kerana mereka disuruh mengajar tetapi mereka amat tertekan dengan segala macam tugas yang sebenarnya bukan tugas mereka. Mereka diminta membuat pelbagai tugasan yang amat membuang masa mereka. Dengan kata lain kerana arahan yang luar biasa ini amat menjejaskan tugas asasi mereka di dalam kelas. Maka jika betul-betul ikhlas NG menyeru tolonglah buat satu kajian penggunaan waktu mengajar (P&P) dan segalam macam persediaan dan menyemak kerja murid dengan masa yang diguna untuk kerja-kerja sampingan yang terpaksa guru tanggung.

Maka dengan terlaksananya proram KPM yang baru ini; nescaya ramailah GB dan Pengetua menaruh hajat untuk mencapai segala macam kerja extra ordinary yang akan melonjakkan nama mereka untuk mencapai tahap untuk dianugerahi pelbagai hadiah lumayan. Maka siapa sekali terbeban? GB dan Pengetua tak buat tapi ..... yang buat bagi mempastikan bosnya mendapat anugerah.

Inilah yang dikata: lembu punya susu tapi sapi dapat nama dan kuda yang letih berlari tetapi joki yang naik podium.

Fikir-fikirkanlah wahai para budiman....

1 comment:

  1. Apa yang NG utarakan itu amat betul. Saya sudah berkhidmat lebih 19 tahun dan tahun ini tahun ke-20. Yang saya nampak, sistem kita memberi motivasi kepada guru ibarat meletakkan baja urea di atas kepala lutut. Sepatutnya baja urea ditabur di sekeliling pokok tanaman. Langkah KPM beri insentif kepada guru besar dan pengetua jika sekolah mereka cemerlang seolah-olah sekolah itu hak guru besar dan pengetua, dan gurunya pula bertaraf BURUH PAKSA JEPUN. KPM yang budiman, fikirlah sikit... Memberi baja itu bagus, tapi kalau yang dibajai itu bukan pokok, nanti orang akan kata KPM sebagai 'Kepala Pi Mana?'. Maknanya, di mana otak (fikiran/ akal) diletakkan?. Langsung tak logik apa yang KPM buat sekarang. Fikirlah dengan cerdik sikit...
    Apa pandangan rakan-rakan yang lain? Silakanlah sekarang...
    -Celik Minda-

    ReplyDelete