Friday, December 31, 2010

SELAMAT JALAN 2010

Hari ini tanggal 31 Disember 2010. Hari ini merupakan hari terakhir kita berada dalam tahun 2010 masehi dan esok 2011 menjelang tiba. Hari ini jugalah hari menghitung pertambahan usia untuk setiap orang daripada kita. Maka esok sudah pasti bertambahlah usia kita untuk satu tahun lagi. Inilah lumrah dunia; yang datang pasti pergi.

Al Hamdulillah. Kita mengucap setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subha nahuataala kerana hingga kini kita masih dianugerahi rezeki yang amat bernilai. Hingga kini kita dianugerahinya nyawa kepada kita; hingga kini kita dianugerahi kesihatan yang berpanjangan; hingga kini kita dianugerahi tidur yang lena; hingga kini, kita dianugerahi selera untuk makan apa saja dan hingga kini pelbagai anugerah dan rezeki yang dilimpahi olehNya kepada kita semua. Ia terlalu banyak untuk kita menghitungnya dengan jari. Syukur.

Kita sepatut dan semestinya bersyukur yang amat sangat kepadaNya kerana tidak diberiNya ujian yang berat kepda kita, kerana kita rata-rata tergolong di kalangan orang yang sederhana dalam semua hal dan suasana. Maka natijahnya ia amat memberi ruang kepada kita untuk sentiasa bermuhasabah diri untuk sedar diri dan jauh sekali untuk kita menjadi manusia yang bongkak dan sombong. Syukur juga kerana kita tidak diberiNya kuasa yang maha besar sehingga ia amat menyukarkan kita untuk melaksanakannya seadil-adilnya. Syukur juga kerana kita tidak diberi kekayaan yang melampau-lampau yang sudah barang tentu amat sukar bagi kita mengenalpasti antara “yang halal dan yang haram”. Maka sepatutnyalah kita amat bersyukur kerana kita tidak diuji olehNya.

Bagi NG tahun 2010 merupakan saat dan ketika yang amat penting di dalam liku-liku hidup sebagai makhluk Allah di muka bumi ini. 2010 adalah tahun terakhir untuk NG menghulur sedikit sumbangan yang mampu dan kalau sempat menabur bakti NG di dalam dunia pendidikan khususnya dan pada negara amnya.

Pada 10 Februari 2011 nanti genaplah usia NG 58 tahun. 10 Februari 2011 merupakan ulangtahun kelahiran NG yang ke 58 tahun. Mengikut undang-undang yang terpakai di Malaysia, NG wajib mengundur diri dari menjadi seorang anggota sektor awam walaupun sebenarnya ada juga usaha ihsan oleh pihak-pihak tertentu agar NG disambung perkhidmatan untuk dua tahun lagi. Atas pertimbangan apa NG ditawarkan untuk menambah perkhidmatan itu NG sendiri tidak tahu. Namun dengan asas-asas yang hanya NG yang tahu; NG mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang memberi laluan kepada NG untuk menambah khidmat NG kepada negara itu. NG faham niat dan tujuan adalah baik tetapi NG rasa sudah tiba masanya untuk NG berundur walaupun pada dua tiga musim lalu NG berhajat benar untuk menerima tawaran tersebut. Buat masa kini cukuplah 37 tahun NG berkhidmat sebagai anggota sektor awam. Sudah terlalu lama NG berada di dalam perkhidmatan awam. Maka lebih baiklah kita beri laluan kepada yang lain untuk meneruskan agenda pembangunan negara.

Dan muktamadlah; NG tetap akan bersara pada 10 Februari 2011 nanti. Insya Allah.

Selama 37 tahun sebagai seorang kakitangan atau anggota sektor awam, ia amat bermakna buat NG. Bagi NG sepanjang perjalanan sebagai seorang pendidik ia terlalu banyak mengajar NG menjadi lebih dewasa. Sepanjang perjalanan ini juga terlalu banyak lemak manisnya menjadi seorang cikgu. Namun tidak kurang juga liku, onak dan duri yang terpaksa NG harungi. Namun semua pengalaman pahit manis itu telah banyak memberi pengajaran erti sebuah kehidupan.

Insya Allah NG akan cuba coretkan di sini secebis kenangan selama 37 tahun memperhambakan diri kepada dunia pendidikan.

1 comment:

  1. Mohon promosikan blog kami untuk PRK Tenang.

    http://tenangprk.blogspot.com/

    Terima kasih.

    ReplyDelete