Thursday, January 20, 2011

Sistem Naik Pangkat Untuk DG

(Anuar Ibrahim)

Bermula tahun 2007 proses menaik taraf dan penambaikan sistem kenaikan pangkat untuk kaum guru telah dimulakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) khususnya oleh Bahagian Sumber Manusia (BSM). Usaha ini telah bermula dari pertengahan tahun 2007 sehingga pelaksanaannya telah dibuat pada tahun 2010. Secara sedar atau tidak sebenarnya sistem kenaikan pangkat guru telah banyak berubah hasil daripada desakan dan permintaan kesatuan guru yang telah diberi laluan yang begitu selesa oleh pihak KPM khususnya oleh menteri pelajaran ketika itu; YB Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn. Beliau telah memberi kerjasama dan bantuan yang bukan sedikit terhadap kebajikan kaum guru di Malaysia. Semua ini terjadi juga amat berkait rapat dengan sikap dan sifat kedua-dua pihak pada ketika itu yang telah meletakkan kepentingan kebajikan guru mengatasi segala-segalanya. Natijahnya banyak isu kenaikan pangkat guru yang dapat diselesaikan terutama apabila Yg Bhg Dato’ Kamaruzaman telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) di KPM. Beliau telah menggerakkan seluruh jentera BSM dengan bersungguh-sungguh untuk cuba menyelesaikan segala isu tertunggak dan isu baru atas urusan kenaikan pangkat bagi kaum guru.

Mesyuarat demi mesyuarat telah diadakan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan dari pihak kesatuan guru. Kami amat berbangga dan amat berpuas hati atas sikap terbuka yang diambil oleh pihak KPM berkait isu kenaikan pangkat kaum guru.

Akhirnya, pada tahun 2010 proses kenaikan pangkat untuk kaum guru telah dilaksanakan sepenuhnya.

Seluruh kaum guru seharusnya bersyukur kerana sistem kenaikan pangkat telah jelas dan telus dengan terhasilnya sebuah buku “Laluan Kerjaya Guru” yang diterbitkan oleh pihak BSM dan telah diedar kepada semua sekolah pada tahun 2009. Diharap semua guru membaca buku tersebut dengan teliti agar kita dapat melihat perkembangan laluan kerjaya masing-masing.

Untuk makluman kita bersama kaum guru telah diberi dua laluan kenaikan pangkat yang tidak ada di dalam sektor lain. Laluan pertama ialah Sistem Naik Pangkat Hakiki.

Bagi guru yang memilih laluan hakiki ini ia boleh bermula dari DGA29 hingga DGA34 atau bagi PPPS mereka boleh bergerak dari DG41 hingga JUSA C atau hingga jawatan tertinggi bagi seorang guru iaitu TURUS iaitu Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM). Bagi PPPLD jawatan hakiki untuk mereka ialah GPK untuk DGA32 dan GB untuk DGA34. Dan bagi PPPS jawatan hakiki yang tersedia untuk mereka ialah GPK untuk DG44, Pengetua untuk DG48, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah (TPPD) untuk DG48, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) untuk DG52, Ketua Sektor untuk DG52/DG54 dan Pengarah Pelajaran JUSA C. Selain itu ada beberapa jawatan sebagai ketua unit di JPN telah dihakikikan sebagai DG48. Inilah peluang yang telah diberi oleh kerajaan sebagai laluan kerjaya kepada seorang guru. Pilih saja mana satu laluan kenaikan yang kita kehendaki dan terus berusaha untuk berjaya.

Dan untuk berjaya melalui proses ini semua guru harus tahu laluan dan pra syarat yang mesti dilepasi. Jawatan-jawatan kenaikan pangkat hakiki telah disediakan dan laluan telah dijelaskan; tinggal lagi semua guru haruslah berusaha ke arah itu. Maka untuk pertamanya kita mesti faham dahulu apa itu kenaikan pangkat?

Naik pangkat ialah pergerakan angka DG dari yang kecil ke angka yang lebih besar; misalnya dari DGA29 ke DGA32 atau DGA34. Inilah yang dikatakan naik pangkat. Kalau sekadar diarah memegang “post” atau “arahan menjalankan tugas” tanpa perubahan pada angka DG; itu bukannya naik pangkat, itu hanyalah sekadar menjalankan tugas orang lain yang sepatutnya ada di situ dan apabila orang yang berhak itu datang maka kita kena beri laluan kepada dia. Dengan kata lain kenaikan pangkat ialah pertambahan angka pada DG yang sudah pasti akan menambah gaji kita di samping beberapa elaun yang diperuntukkan.

Mari pula kita lihat bagaimanakah proses naik pangkat untuk jawatan hakiki di dalam sistem kenaikan pangkat kaum guru. Mulai 2010 proses kenaikan pangkat hakiki telah dilaksanakan sepenuhnya mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Naik Pangkat di KPM atau di BSM. Proses kenaikan pangkat ini dipanggil Kenaikan Pangkat Melalui Urusan Pemangkuan. Diharap semua guru faham benar-benar dengan istilah “pemangkuan” kerana inilah pertama kali dan julung kali urusan kenaikan pangkat seperti ini dilaksanakan di kalangan kaum guru. Pemangkuan bukanlah bermakna seseorang guru memangku tugas orang lain seperti yang ramai memahaminya, tetapi “pemangkuan” di sini bermakna seseorang itu akan diletakkan di susana pemangkuan pada satu-satu jawatan sebelum ia disahkan pada keudukan itu. Sebenarnya proses ini telah lama berjalan di dalam sektor lain dan baru sekarang ia dilaksana di dalam sistem perguruan.

Bagaimana pula proses naik pangkat hakiki ini berjalan? Sebenarnya pihak BSM pada setiap tahun akan keluarkan iklan kenaikan pangkat secara hakiki kepada semua guru untuk semua peringkat. Diharap semua guru peka dan sentiasa mengambil berat dengan semua surat pekeliling dari JPA atau KPM.

Apabila Pekeliling Kenaikan Pengkat Secara Hakiki ini dikeluarkan mana-mana guru yang berminat untuk naik pangkat secara hakiki hendaklah mengambil tindakan segera kerana selalunya tempoh masa yang diberikan untuk urusan ini agak singkat. Ikutlah segala arahan dan syarat yang diberi oleh KPM dan hantarkan segera permohonan tersebut dengan memenuhi semua syarat yang diminta oelh BSM.

Ramai di kalangan kita selalu gagal apabila kita memohon untuk jawatan hakiki? Syarat yang paling utama selain dari syarat-syarat seperti isytihar harta, lulus PTK, senioriti dan masuk zon ialah “prestasi” tiga tahun. Inilah syarat yang banyak menggagalkan guru untuk naik pangkat secara hakiki kerana semua guru yang memohon kebanyakan telah melepasi syarat biasa seperti yang disebut di atas tetapi apabila tiba kepada prestasi tiga tahun mereka gagal. Mudah kata hanya mereka yang mendapat prestasi yang “terbaik” yang akan dipertimbang untuk naik pangkat secara hakiki kerana BSM hanya akan membuat “ranking” di kalangan pemohon itu sepenuhnya pada markah tersebut. Jika kita memiliki markah prestasi purata sekitar 97-99% sudah pasti kita berpeluang cerah untuk berjaya. Dan jika markah prestasi kita lebih rendah dari itu ia amat sukar untuk berjaya.

Diharap semua guru faham dengan kaedah perjalanan kenaikan pangkat secara hakiki kerana ia sebenarnya jauh lebih telus dari sistem yang diamalkan selama ini. Diharap tuduhan ‘pilih kasih’ dan ‘orang kita’ di dalam perlantikan pengetua, guru besar, PPD dan sebgainya akan hapus pabila sistem ini berjalan sepenuhnya.

Sistem kenaikan pangkat kedua yang diberi kepada kaum guru ialah Kenaikan Pangkat Secara KUP atau Khas Untuk Penyandang. Sistem kenaikan pangkat secara KUP ini hanya diamalkan di dalam perguruan. Di dalam sektor lain tidak diamalkan kenaikan pangkat secara KUP khususnya “Timebased”. Namun pada dua tahun lepas kerajaan telah bersetuju melaksanakan urusan KUP ini kepada seluruh kakitangan awam kumpulan sokongan yang telah bertugas selepas lima belas tahun.

Apa perbezaan kenaikan secara hakiki dan kenaikan pangkat secara KUP? Kenaikan pangkat secara hakiki ialah seseorang guru itu naik pangkat kerana ia diarah untuk memegang jawatan atau “post” di mana jawatan itu adalah jawatan naik pangkat. Dengan kata lain, “kerusi” yang diduduki itu adalah kerusi naik pangkat, misal jawatan GB, Pengetua, PPD atau sebagainya. Mana-mana guru yang diarah menduduki kersui itu, maka dia akan menikmati kenaikan pangkat kerana sekarang dia duduk di atas kerusi yang naik pangkat. Sementara kenaikan pangkat secara KUP pula adalah dalam keadaan sebaliknya; seseorang guru yang dinaikkan pangkat secara KUP sebenarnya guru itu yang naik pangkat bukan jawatan yang dipegang. Misalnya seorang guru yang dinaikkan pangkat ke DGA32 dia akaaan kekal dengan jawatan itu walau di mana ia ditempatkan.

Mudah kata kenaikan secara hakiki ialah; guru akan naik pangkat kalau dia duduk atas kerusi yang diiktiraf sebagaai jawatan naik pangkat tetapi kenaikana secara KUP ialah guru itu sendiri yang naik paangkat. Ia tidak perlu duduk atas mana-mana kerusi yang naik pangkat.

KUP merupakan anugerah kenaikan pangkat yang kekal; bukan sementara seperti banyak dakwaan yang kita terima. Mana-mana guru yang telah dilantik KUP 32, KUP 34, KUP 38 atau sebagainya tetap akan memegang pangkat itu hingga ia bersara. Matagaji untuk pengiraan pencen dan ganjaran adalah matagaji yang diterimanya pada akhir perkhidmatan bukannya akan kembali kepada gaji asal pada DG sebelum mendapat KUP tersebut.

Di dalam kenaikan pangkat secara KUP ini ada banyak peluang yang diberikan. Ia adalah terdiri KUP Timebased, KUP Guru Cemerlang, KUP Guru Besar Cemerlang, KUP Penyelia Cemerlang, KUP Pengetua Cemerlang, KUP Nazir Cemerlang dan KUP Guru Bimbingan Cemerlang. Sambil itu kerajaan juga telah mewujudkan satu lagi kenaikan pangkat secara KUP iaitu untuk guru yang mengajar dan mengurus pelajar Tingkatan Enam.

Semoga semua guru akan maklum dan faham dengan proses kenaikan pangkat yang tersedia untuk mereka. Namun berjaya atau tidak usaha kita untuk bergerak DG itu amat bergantung kepada prestasi kerja kita dan .......

No comments:

Post a Comment