Thursday, April 8, 2010



BEBAN GURU

Salam Blogger dan Salam 1Malaysia

Minggu lepas semua akhbar utama telah memaparkan cerita guru yang terbeban dengan tugas mereka. Ini meyebabkan YAB Tan Sri Mohyidin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran telah mengarahkan ditubuh segera sebuah jawatankuasa untuk mengkaji masalah tersebut. Jawatankuasa tersebut telah diberi tempoh dua bulan untuk melapor dan membuat cadangan bagi menambah baik bidang tugas guru yang didakwa terbeban.

Implikasi dari isu tersebut NG telah mendapat pelbagai reaksi dari ramai sahabat baik bersifat positif atau negatif. Ramai di kalangan ahli masyarakat yang kurang arif dengan bidang tugas guru telah menempelak kaum guru dengan pelbagai kenyataan yang negatif sehingga ada yang berkata bahawa guru yang bersungut itu adalah terdiri daripada guru yang pemalas dan disaran supaya meletak jawatan. Namun NG yang juga seorang guru menerima segala macam tohmahan secara terbuka kerana mereka yang berkata demikian sebenarnya terdiri daripada mereka yang kurang arif dengan bidang tugas guru mutakhir ini.

Disebabkan NG juga sempat berada bersama dengan YAB Menteri Pelajaran di Bangunan Parlimen pada Rabu lepas maka ada baiknya NG ambil kesempatan ini untuk memaklumkan sedikit daripada senario isu sebenarnya. Bukan niat NG untuk menegak benang basah atau hanya untuk membela kaum guru tetapi sekadar untuk pengetahuan seluruh masyarakat Malaysia tentang bidang tugas dan cabaran seorang guru.

"Beban Tugas". Ia bukanlah seperti makna ungkapan tersebut secara kasar dan dasarnya. Sebenarnya apa yang kami maksudkan dengan ungkapan tersebut ialah: "Overload dan Overlap". Inilah yang kami kaum guru maksudkan. Guru tidak pernah mengeluh dengan tugas asasi mereka bahkan kaum guru amat komit dengan tugas dan tanggungjawab mereka. Cuma apabila masa sudah beredar dan waktu sudah berubah maka banyaklah penambahbaikkan yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan demi menyesuaikan kerja guru dengan keadaan sekarang. Banyak perkara yang boleh dibuat demi menjayakan wawasan negara. Inilah yang kaum guru maksudkan sebagai beban.

Untuk makluman semua, mutakhir ini tugas asasi guru sudah mula terhakis. Fokus dan penumpuan guru terhadap kerja-kerja mengajar dan mendidik agak tercabar oleh waktu. Ramai guru tidak cukup waktu untuk membuat penumpuan terhadap tugas di bilik darjah kerana dalam waktu yang sama mereka diberi pelbagai tugas perkeranian yang boleh dianggap "Overload dan Overlap". Hampir setiap hari ramai guru yang diarah membuat pelbagai tugasan perkeranian sama ada yang bersifat regular atau ad hoc. Dan semua kerja ini tidak boleh ditangguh langsung; semuanya mahu cepat dan segera dalam tempuh yang pendek. Maka ramailah guru yang tertekan kerana terpaksa membuat sesuatu kerja dalam jagnka masa yang pendek. Dan kerja ini kadangkala adalah kerja yang berulang dan serupa tetapi terpaksa juga dibuat kerana yang mmegarahnya ramai. Pengarahnya terdiri daripada PPD dan JPN. Tambahan pula sekarang unit di JPN dan PPD semakin hari semakin bertambah. Bayangkan kalau setiap minggu setiap unit di JPN dan PPD keluarkan surat untuk dijawab oleh guru; mana masa yang perlu ditumpukan guru kepada anak muridnya dan mana masa untuk menjawab segala surat tadi. Inilah delima yang dihadapi guru.

Ini baru kerja-kerja perkeranian; bagaimana pula dengan kerja-kerja kokurikulum yang berjalan sepanjang tahun? Untuk kegiatan kokurikulum yang wajib tiga petang seminggu tidaklah menjadi masalah kepada kaum guru. Itu mereka maklum dan sedia melaksanakannya. Tetapi guru terpaksa pula terbeban dengan pelbagai agtiviti dan program yang sebenarnya bukan kerja mereka seperti kerja-kerja ad hoc dari pelbagai NGO dan agensi yang semuanya dibawa ke sekolah.

Dan NG juga ingin menjawab satu e mail yang NG terima yang secara sinisnya berkata guru tak tahu mengurus waktu kerana guru banyak cuti; katanya kalau hari biasa terlalu sibuk, kenapa guru tak guna masa cuti untuk membuat kerja perkeranian? NG agak terkilan kerana yang membuat cadangan amat tidak faham dengan tugas guru. Untuk makluman semua, kerja guru tidak boleh ditangguh; apatah lagi nak tunggu waktu cuti. Bolehkah guru tangguh untuk key in data murid 1200 orang ke dalam komputer yang sepatutnya siap pada minggu ketiga Januari; atau bolehkah guru tangguhkan semua jawapan murid untuk diperiksa di dalam waktu cuti? Jika ini dibenarkan maka tidaklah timbul isu guru tertekan.

Ini hanyalah sedikit sahaja yang NG sempat sebutkan. Sebenarnya kalau nak dibincangkan dengan panjang lebar, banyak aspek yang harus NG sentuh dan sudah tentu ramai yang akan tersentuh.

Kesimpulannya, kaum amat faham dengan tugas mereka iaitu untuk mengajar dan mendidik anak bangsanya di dalam bilik darjah. Ini mereka tahu benar. Tetapi jika setiap hari ia sentiasa diarah buat itu dan ini dengan kadar yang amat segera; sudah tentu anak didiknya akan sedikit terabai. Dan ia memberi kesan yang amat buruk kepada anak-anak kita dan masa depan negara.

2 comments:

  1. Salam, nak tambah sikit lagi berkaitan beban guru ini. Dah menjadi kegilaan sekolah-sekolah di Trg Darul Iman ini memasuki pelbagai pertandingan yang diadakan oleh pihak JPNT. Sekolah yang dipilih oleh PPD terpaksa akur dengan arahan memasuki pertandingan ini. Kalau pertandingan yang melibatkan kemahiran pelajar seperti pertandingan bahas, pidato, rekacipta,coral speaking, drama dan yang seumpamanya, ini dikira pertandingan sihat sebab ianya boleh menambah value added kepada pelajar terbabit. Tetapi jika pertandingan yang melibatkan prasarana seperti pertandingan 3K misalnya, ini memang menambahkan beban guru dan menyebabkan guru terpaksa melebihkan tumpuan kepada pertandingan dan bukan lagi kepada tugas hakiki iaitu mengajar ilmu dan mendidik para pelajar. Ditambah pula dengan keadaan ekonomi kini yang segalanya dicatu, para guru terpaksa mengeluarkan belanja sendiri semata-mata untuk memenangi pertandingan demi untuk menjaga nama baik pengetua. Apatah lagi jika pengetua mereka memang jenis yang gila nama,kejar DG kerana jika menang,ini merupakan merit bagi mereka beregu pula dengan ketua bidang pengampu, alamatnya hingga ketitisan peluh terakhir dikerahnya guru memerah tenaga dan poket guru untuk mencapai matlamat mereka. Akhirnya tumpuan guru bukan lagi kepada P & P kerana kepala dah serabut memikirkan tarikh hakim akan datang memantau, masuk ke kelas pun hanya jasad sahaja tetapi jiwa mereka tetap kepada pertandingan berkaitan. Inilah yang menyebabkan guru-guru terlibat makin tension lantaran rasa berdosa mengabaikan pelajar hanya kerana menjunjung titah paduka yang bertakhta. Akhir kata saya ingin menyeru.. WAHAI MEREKA YANG BERTAKHTA, KEMBALILAH KEPADA FITRAH PEKERJAAN YANG MULIA INI...MENYAMPAIKAN ILMU DAN MENDIDIK KERANA KELAK KITA SEMUA AKAN DITANYA OLEH YANG MAHA TINGGI RABBUL ALAMIN....

    ReplyDelete
  2. Senang aje... jangang jadi guru

    ReplyDelete