Sunday, February 27, 2011






SELAMAT TINGGAL DUNIA PENDIDIKAN

Hari ini 27 Feb 2011. Telah 17 hari NG bersara wajib. Dan hari ini NG sedikit berpeluang untuk meluahkan perasaan amat berbesar hati dan amat terhutang budi dengan semua pihak yang telah membantu NG sepanjang lebih 36 tahun NG sebagai seorang pendidik. Amat ramai orang dan pihak tertentu yang telah membantu NG sepanjang karier sebagai seorang pendidik. Hanya Dia yang akan membalas segala jasa dan budi semua pihak.

Untuk makluman, pada 10 Februari yang lalu iaitu pada hari ulang tahun NG ke 58 satu majlis telah dianjur oleh seluruh warga SMKKN. Pada hari itu, suasananya sungguh meriah. NG telah dirai sebegitu rupa. Ikhlas NG nyatakan bahawa tidak pernah terlintas di benak ini bahawa NG akan dirai di dalam suatu majlis yang gilang gemilang. Bagi NG, ini adalah suatu majlis yang amat luar biasa dan ia merupakan suatu majlis pertama dan terakhir. NG memang tergamam dan terkedu pada hari tersebut. Tidak pernah terlintas di fikiran ini bahawa NG akan diraikan sampai begitu sekali.

Dari pagi lagi rumah NG telah dihias indah dengan pelbagai hiasan yang boleh mengalahkan pesta atau majlis khenduri kahwin. Malamnya pula seekor lembu telah disembelih untuk khenduri di rumah NG esoknya. Bunga rampai, bunga telur dan pelbagai cenderahati disediakan kepada para jemputan. Sungguh luar biasa dan “bersungguh” sekali para warga SMKKN menyediakan majlis tersebut.

NG telah diarak dengan kenderaan khas ke SMKKN pada hari tersebut. Tiba di SMKKN NG disambut pula dengan taburan beras kunyit dan doa selamat. Kemudiannya NG diarak berbeca ke arena diiringi paluan kompang oleh para anak didik NG. Akhirnya NG disambut pula di arena yang kemudiannya disemayamkan di astakona yang gemerlapan sifatnya. Sesungguhnya NG amat terharu dengan sambutan seluruh anak pelajar, para rakan serta ibubapa yang hadir. Tiada bahasa yang dapat NG lontarkan bagi menggambarkan rasa terharu NG kepada semua sahabat di SMKKN.

Di sini NG telah dipersembahkan dengan bunyian gamelan yang gemersik serta persembahan yang beranika rupa dari para pelajar dan guru. Sesungguhnya tidak pernah NG lihat dan alami selama ini. Akhirnya NG telah dihadiahkan dengan pelbagai rupa cenderahati dari sekecil-kecil hadiah hinggalah ke sebesar besar hadiah. Sungguh banyak hadiah yang diberikan kepada NG pada hari tersebut. Tidak terbalas segala budimu tuan.

Selesai acara, seluruh palajar berbaris panjang dari anjung SMKKN hingga di luar pintu pagar sekolah. Tidak ada yang terkecuali. NG berjalan sambil bersalam dengan semua pelajar sambil mengucapkan selamat tinggal. Mereka pula ada yang meminta maaf atas segala kesilapan sambil ada yang tidak dapat menahan hiba dan sebak dengan salam terakhir dari NG. Tidak kurang ada yang berlinang air mata. Sungguh sayu dan sebak hati NG hendak meninggalkan pelajar tersayang.

NG telah dibawa keluar dari perkarangan SMKKN dengan kenderaan khas sambil menerima lambaian terakhir dari semua. Sungguh sayu dan berat hati ini meninggalkan anak-anak yang sungguh manja dan mesra dengan NG.

Namun apakan daya. Yang datang tetap akan pergi. Begitulah NG.

Setibanya di rumah, ramai sudah tetamu dan para jemputan yang datang. Ada yang bersalam dan mengucapkan “selamat bersara” kepada NG. Acara di rumah pula tidak kurang meriahnya. Sungguh ramai para jemputan yang hadir walaupun pada hari tersebut ada dua acara resmi yang melibatkan rakan guru di Daerah Dungun.

Seluruh acara telah bersurai hampir jam 6.30 petang walaupun mengikut rancangannya semua program akan tamat jam 4.30 petang. Al Hamdulillah, segalanya berjalan lancar.

Di sini NG bagi pihak seluruh keluarga ingin merakamkan jutaan terima kasih dan rasa amat terhutang budi kepada semua pihak khususnya semua rakan di SMKKN. Sesungguhnya hemat dan prihatin kalian kepada NG amat tinggi, setinggi langit. NG tidak pernah mengharapkan setinggi itu kalian menilai sebuah persahabatan antara kita kerana apa yang NG adalah amat kecil berbanding sambutan yang kalian beri. Bagi NG cukuplah sekadar berkirim salam dan bertanya khabar. Apapun NG berdoa kehadrat Allah agar kalian akan sentiasa dilindungi dan diberkati jua. Semoga persahabatan yang terjalin akan kekal sampai bila-bila.

Sesungguhnya budi baik semua rakan akan kusematkan dilubuk hati dan akan kukenang sampai bila-bila. Akhirnya ingin NG menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf dari semua jika ada kekhilafan NG selama kita bersama. Wassalam.