Wednesday, June 23, 2010

SELAMAT BERTEMU KEMBALI

Salam 1Malaysia. Salam blogger.

Hampir dua puluh hari NG tidak membuat posting di Nyiurgading. Maka ramailah sahabat yang sms dan e mail kepada NG bertanya khabar kepada NG. Ada juga berasa bimbang dan risau dengan status kesihatan NG yang menyebabkan NG telah menyepi begitu lama.

Sesungguhnya NG amat berterima kasih kepada semua sahabat yang sentiasa bertanya khabar, mengambil berat dan mengirim salam kepada NG. Semoga Allah jua membalas segala niat dan amalan baik para sahabat sekalian.

Sebenarnya NG tidak ada sebarang masalah; sama ada daripada segi fizikal apatah lagi mental. Untuk makluman bersama, pada minggu lepas NG telah berjumpa pakar kesihatan di Kuala Lumpur untuk membuat "medical check up". Jangan risau, ini merupakan amalan biasa NG kerana setiap tahun NG mesti membuat MC untuk mengetahui status kesihatan NG. Ini sudah lama NG amalkan kerana Pekeliling berkaitan sebenarnya telah lama dikeluarkan oleh pihak JPA. Biarlah kita belanja sedikit wang untuk mempastikan status kesihatan kita sentiasa berada pada tahap yang baik. Dan hasil pemeriksaan tersebut, NG amat bersyukur kerana Allah masih menganugerahkan status kesihatan yang amat baik kepada NG. Kedudukan taraf metabolisma NG berada tiga tahun lebih muda daripada umur sebenar NG. Kata pakar tersebut, ini jarang berlaku kerana yang selalu berlaku ialah sebaliknya. Begitu juga dengan taraf organ penting seperti jantung, buah pinggang, hati dan lain-lainnya masih sihat wal afiat. Selain itu kandungan gula dan lemak di dalam darah masih lagi terkawal. Al hamddulillah.

Sekali lagi NG nak tegaskan pemeriksaan kesihatan yang NG buat itu tidak ada kena mengena dengan sebarang isu atau peristiwa yang berlaku sebaliknya ia adalah amalan biasa NG sejak berpulluh tahun lagi. Ini kerana NG berpegang kepada mencegah lebih baik daripada mengubat apatah lagi kalau sudah parah. Maka NG mengambil kesempatan ini menyeru kepada semua sahabat agar sentiasa menjaga tahap kesihatan diri masing-masing kerana sekali kita terkena sebarang penyakit kronik; amat sukar diubati dan sudah barang tentu memakan belanja yang sangat tinggi.

NG tidaklah berhajat membawa sebarang isu atau mengupas sebarang topik di dalam posting kali ini. Cukuplah sekadar menyampaikan rasa terhutang budi NG kepada semua rakan dan sahabat yang sentiasa memberi sokongan kepada NG walau di dalam keadaan apa sekalipun. Terima kasih sekali lagi dari NG. Inlah harapan NG kepada semua agar kita sentiasa bersatu padu baik di dalam apa jua situasi. Janganlah kita bersikap seperti enau di dalam belukar yang sentiasa memijak kepala kawan untuk mendapatkan habuan yang lebih untuk diri sendiri. Sebaliknya marilah kita menjadi seperti aur dengan tebing yang sentiasa saling membantu walau di dalam apa situasipun. Dan kita jangan lupa pesanan orang tua; lidi kalau sebatang memang mudah diperkotak katikkan tetapi jika ia diberkas erat banyak tugas dan fungsinya.

Insya Allah di dalam posting yang akan datang NG akan menyentuh beberapa isu atau topik penting yang berkait dengan PENDIDIKAN di Malaysia. Bagi NG, Dunia Pendidikan Negara sekarang amat memerlukan para guru yang sanggup berjuang untuk kepentingan Agama, Bangsa dan Negara bukannya guru yang hanya mementingkan kedudukan dan pangkat semata-mata kerana guru adalah ARKITEK BANGSA.

Sunday, June 6, 2010

KUPOHON POLIMIK INI DITAMATKAN

Salam 1Malaysia dan Salam Blogger.

Semoga seluruh warga guru di Terengganu khasnya dan di Malaysia amnya sentiasa dirahmati. Semoga kita semua akan diberkatiNya sentiasa.

Setelah lebih sebulan Nyiurgading memaparkan sebuah insiden yang berlaku di SMKKN pada 18 April 2010 dan menjadi medan rakan taulan memberi pendapat dan buah fikiran, NG merasa tibalah masanya kita selesaikan episod ini secara jujur dan baik dengan menghulur tangan sesama kita untuk bermaaf-maafan. Bagi NG ia adalah sesuatu tindakan yang sangat mulia dan baik.

NG dengan ini dengan rasa yang kesal dan rendah diri ingin memohon ampun dan maaf daripada semua pihak khususnya Tuan Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu. NG berharap Tuan Timbalan sudi memaafkan NG namun dalam apa keadaan pun keputusannya terpulang kepada Tuan Timbalan sendiri. Sementara kepada semua sahabat yang telah memberi segala sokongan, simpati dan empathy kepada NG dan seluruh warga SMKKN di dalam menghadapi cubaan dan dugaan yang maha berat ini, NG junjung tinggi dan NG ingin merakamkan jutaan terima kasih dan NG anat berasa terhutang budi dengan anda semua. Jasa dan budi anda semua akan NG kenang sampai bila-bila dan akan kami sematkan di dalam lipatan sejarah. Terlalu banyak racun dan madu yang kami lalui di sini. Di sini kami cuba menapak dan mengatur langkah tetapi yang menjadi harapan rupanya sebuah fatamorgana. Maka .......

Sekali lagi, NG menyusun sepuluh jari memohon maaf dari Tuan Timbalan. Jika di laman ini dikatakan NG telah menjatuhkan reputasi TP maka di sini jugalah NG memohon maaf dari Tuan Timbalan.

Untuk makluman semua, selama seminggu NG tidak menulis posting kerana NG ingin melihat perkembangan pendapat para sahabat sekalian. Maka banyaklah komen dan pendapat yang NG terima sama ada yang menyokong NG atau sebaliknya. Syukur, kerana dari sinilah NG dapat membuat kesimpulan dan akhirnya membuat keputusan untuk memohon agar ditamatkan polimik ini sehingga di sini sahaja sebab jika jika kita panjangkan, bagi NG ia akan lebih mudarat dari yang sihat. Maka sekali lagi NG ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kerana hasil daripada komentar ini dapatlah ia memberi ilham kepada NG untuk membuat keputusan yang mengejutkan para sahabat sekalian.

Bagi NG, keputusan ini adalah satu langkah yang terbaik yang NG boleh ambil setelah melihat perkembangan komentar dan pendapat mutakhir ini kerana Ng rasa tidak sanggup lagi menjadi punca perselisehan sesama kita. NG juga berasa amat terkilan dengan segala luahan yyang sudah melibatkan seluruh emosi yang akhirnya NG bimbang ia sukar dikawal. NG amat sedar akan perkara ini, sebab itu dah mula berfikir lantas mencari jalan terbaik dapat NG lakukan. Selain itu, NG juga telah berbincang dengan beberapa orang yang paling rapat dengan NG bagi mendapatkan pandangan dan buah fikiran mereka. Setelah difikir dan dibincang masak-masak, maka NG telah membuat keputusan untuk menamatkan polimik ini bermula dari sekarang. NG harap semua pihak boleh menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Percayalah keputusan yang NG buat ini dengan rasa yang amat sedar dan langsung tidak ada tekanan atau desakan dari mana-mana pihak. Sekali NG ingin tegaskan keputusan ini bukan dibuat kerana arahan dari atas atau sebagainya. Ia dibuat atas kesedaran dan rasa tanggungjawab.

Kepada Tuan Timbalan, NG harap penamatan polimik ini bukanlah menjadi kemenangan kepada mana-mana pihak kerana yang salah tetap salah dan benar tetap benar kerana setiap yang berlaku mustahil ditarik balik. Biarlah Yang Maha Adil yang menentukannya. Marilah sama-sama sentiasa beristighfar kepadaNya, semoga Dia akan menerima segala amal baik kita selama ini dan menolak segala kesalahan itu sebagai satu kesilapan atas kejahilan kita. Maka sekali lagi jika NG yang dikatakan bersalah ; maafkanlah NG. NG berharap Tuan Timbalan akan tenang dan lapang dada menerima keputusan ini dan teruskanlah usaha Tuan Timbalan untuk mempastikan pendidikan Terengganu akan terbilang hendaknya.

Kepada semua sahabat, sama ada yang menyokong atau menyanggah NG, janganlah terkejut dan kaget dengan keputusan NG ini. Bukan niat NG untuk menafikan hak anda semua untuk meluahkan pendapat tetapi sekadar untuk mengelak nasi menjadi bubur. Sebenarnya hal ini telah lama NG fikirkan bersama dengan beberapa orang yang terapat dengan NG. Mereka banyak membimbing dan membantu NG membuat keputusan ini. Sekali lagi NG ucapkan terima kasih. NG harap kita tidak akan pernah berasa kecewa dengan keputusan ini. Orang yang berjiwa besar tidak malu untuk mundur setapak ke belakang dan memohon maaf untuk mengaku kesilapannya. Sebenarnya NG berbuat begini setelah orang yang paling rapat dengan NG mensihatkan NG agar berhenti dari menulis kerana katanya: tidak akan ada orang yang menang di dalam sebuah pergaduhan. Katanya pepatah Melayu ada menyebut; yang kalah menjadi abu yang menang menjadi arang. Dan yang paling menyentuh hati NG ialah sebuah komentar dari seorang sahabat: Ambe Cikgu Biasa. Beliau telah berjaya menyentuh hati kecil NG yang kerdil ini dengan sebuah kisah perjuangan yang paling luhur. Di situ tergambar bahawa tidak semua orang akan bersama kita di dalam sesebuah perjuangan apatah lagi yang melibatkan sebuah pengorbanan yang besar. Pada zaman meterialistik dan pemujaan pada darjat ini amat sukar mencari sebuah kejujuran melainkan semua gerak kerja akan dialuti dengan pura-pura dan hipokrit. Dengan membaca tulisan beliau NG terasa diri ini terlalu kecil dan terlalu kerdil. Dengan membaca tulisannya itu rasa insaf yang sebenarnya terus menusuk di hati ini. Terima kasih banyak Sdr Ambe Cikgu Biasa. Walaupun NG tidak mengenali Sdr, NG harap kalau Sdr sudi hubungilah NG dengan apa cara sekalipun kerana banyak benar NG ingin belajar dari Sdr. Dengan tulisan Sdr juga membuatkan NG insaf bahawa titik perjuangan kita yang paling hujung ialah mengadap Rabbul Jalil di mana pada ketika itu, sehebat mana kita, sekuat mana kita, sebangsawan mana kita dan setinggi manapun pangkat dan darjat kita; pada masa itu segalanya tidak berguna kecualilah niat yang ikhlas dan jujur di dalam menjalankan tugas di dunia ini akan menentukan segalanya. Di sinilah "turning point" yang besar keputusan NG. Sesungguhnya NG terasa amat hiba dan sayu apabila merenung kata-kata Sdr. Lantas NG berpaling kepada beberapa orang yang terapat dengan NG bagi mendapatkan pandangan dan buah fikiran. Di sinilah NG terasa amat rendah dan keil diri ini dan akhirnya mengaku kalah kepada Kebesaran Yang Maha Esa.

Kepada semua sahabat, itulah natijah keputusan yang NG buat. Tidak ada sebab lain kenapa NG berpaling jalan. Keinsafan itulah yang telah menjentik hati ini untuk NG menoleh ke belakang untuk NG meneruskan sisa-sisa hidup untuk terus membantu rakan-rakan, itupun jika masih sudi menerima NG.

NG berharap semua sahabat janganlah berpaling muka daripada NG pada hari depan. Marilah kita bersama pautkan silaturrahim dan kukuhkan ukhuwah atas dasar Islam dan rakan sejagat. Janganlah kita berpecah-belah dan berpuak-puak kelak akibatnya buruk sekali. NG harap mulai sekarang kita buangkanlah yang keruh dan ambillah yang jernih. NG menyeru dan berharap janganlah jemu-jemu untuk mengunjungi Nyiurgading dan NG mengalu-alukan cadangan agar Nyiurgading dijadikan medan atau forun untuk kita menyelesaikan masalah kita secara berhemah. NG bersedia sepanjang masa untuk membincangkan soal-soal keguruan seperti skim perkhidmatan, syarat perkhidmatan dan peluang kenaikan pangkat serta segala macam yang berkait dengannya. Kita sebagai apapun mestilah tahu dan maklum siapa dan apa diri kita. Jangan sesekali membiarkan orang lain mengurus diri kita. Dengan sedikit sebanyak pengalaman yang NG ada, bolehlah kita berkongsinya. Bagi NG, masih terlalu banyak isu keguruan yang perlu diperjuangkan, begitu juga dengan sistem pendidikan yang kita lalui ini. Kita sebagai guru mestilah mengambil maklum dan mengambil tahu apa yang telah, sedang dan akan terjadi kepada sistem pendidikan kita. Kita sama sekali tidak boleh berpeluk tubuh dan berpuas hati sambil menyerah kepada taqdir. Maka sekali lagi NG memohon marilah kita makmurkan Nyiurgading untuk manfaat bangsa dan negara kita.

NG harap semua sahabat terimalah kenayataan ini dengan hati yang terbuka. Tidak ada gunannya kita meneruskan polimik ini kerana NG bimbang hubungan kita akan menjadi renggang dan akhirnya terputus hubungan. Jangan sekali-kali kecewa dengan keputusan yang NG ambil. NG faham sangat, bukan niat semua sahabat untuk menghentam sesiapa atau mana-mana pihak pun di dalam blog ini tetapi disebabkan perasaan tidak puas hati, kecewa, dan rasa tertekan itu sudah terlalu lama disimpan, ibarat "time bomb" yang begitu lama terpemdam maka apabila dicucuh sudah pasti ia akan meletup dan pasti sekali ia tidak mengenal mangsanya; siapa yang dekat pasti disasar dengan letupan itu. Maka dapatlah kita simpulkan, bahawa hasil sebulan lebih kita bersama ini masih terdapat banyak isu yang terbuku di hati majoriti guru. Ia mesti diselesaik segera dan dengan jalan yang terbaik kerana ia amat berbahaya. Ia amat berbahaya kepada negara dan kerajaan kerana akhirnya kesan ini juga akan melibatkan kestabilan politik negara. Oleh itu sekali lagi NG harap marilah kita gunakan Blog ini untuk kita sama-sama perbetulkan keadaan. Insya Allah hingga kini masih ramai pemimpin utama kita di KPM dan JPA termasuk Tan Sri KPPM, Tan Sri KSU, Tan Sri KPPA dan Datuk Timbalan KPPA boleh kita hubungi secara "direct". Jangan bimbang, kalau kita bersatu maka mudahlah kita selesaikan sebarang isu. Dan bagi mereka yang merasa diri mereka sudah cukup hebat dan penuh dengan amanah kuasa, biarkanlah mereka dengan keegoannya. Kita doakan mereka ini akan diberi petunjuk oleh Ilahi. Tinggal kita guru biasa ini janganlah sekali-kali kita berpecah belah dan membiarkan diri kita teraniya, maka masrilah kita bersatu. Kita bersatu menentang segala kemungkaran dengan cara yang bijaksana.

Akhirnya sekali lagi NG memohon maaf dari semua pihak.