Wednesday, September 23, 2009

KALUNG SELIPAR

Salam Blogger.. Salam 1Malaysia

Selamat Hari Raya Idil Fitri

Hari ini saya amat tergerak hati dan nurani untuk sama-sama memberi pendapat berkait satu insiden (kalau boleh diistilahkan) yang terjadi di dalam konvensyen MIC baru-baru ini. Seluruh rakyat Malaysia terkejut dan terkedu dengan sebuah suara yang meminta dijadikan seutas kalung selipar untuk dianugerahkan kepada Yg Bhg Tun Dr Mahadhir, mantan Perdana Menteri Malaysia (imposible prime minister). Kata empunya cerita, Presiden MIC Dato' Seri Samy Velu terus mengarahkan perwakilan tersebut supaya duduk dan berhenti berucap (entah itupun sebuah sandiwara). Maka perwakilan itupun duduklah. Entah apa respon dan tindak balas seluruh warga dewan kepada perwakilan tersebut selepas dia duduk kita tidak tahu kerana kita tidak berada di situ kerana sampai sekarang kita tidak tahu apa tindakan yang telah dikenakan kepada perwakilan tersebut. Walau bagaimana pun biarlah MIC sendiri yang uruskan rumahtangga mereka, kita tak perlu susah payah berfikir untuk mereka. Kita takut nanti tak cukup selipar di kedai kerana nak buat kalung untuk kita.

Apa yang nak saya perkatakan di sini ialah natijah dari insiden tersebut. Sebagai manusia yang waras dan sampai akal kita janganlah kaget dan gundah gulana dengan kejadian itu. Apatah lagi sebagai orang yang menganut agama Islam yang suci kita jangan sekali-kali mudah melenting atau melatah dengan apa isu sekalipun. Kalau nak selamat dan lambat kena stroke kita mesti jadi orang yang penuh sabar seperti Dr Mahathir yang amat tenang dan amat sukar untuk menggelabah. Dengan kata lain kita jangan sekali-kali mudah diprovok oleh mana-mana keadaan sekalipun. Atau dengan kata yang paling mudah ialah janganlah mudah nak menari apabila orang palu gendang; kalau kita jadi orang seperti ini nescaya kita akan mudah letih dan akhirnya kita akan jatuh sendiri sedangkan yang palu gendang ramai dan sudah tentu mereka akan bertepuk tangan. Sebab itu kita mesti sentiasa menjadi orang yang sentiasa waras, rasional, tenang dan praktikal dalam mana-mana keadaan sekalipun. Dan kalau kita hilang sabar sekalipun Islam ada mengajar kita; ambillah wudhuk dan buatlah solat sunat, Insya Allah kita akan menjadi orang yang paling tenang kerana tenang itu amat penting kerana segala keputusan dan tindakan yang dibuat di dalam keadaan tenang dan rasional adalah merupakan sebuah keputusan yang indah dan direstui.

Berbalik kepada peristiwa pokok yang nak saya ulas; apabila hal ini berlaku kita dapati banyak sangat pihak yang telah melenting dengan pelbagai ulasan yang sudah pasti negatif. Pelbagai cadangan tindakan diajukan kepada MIC untuk dikenakan kepada ahlinya itu namun semua itu berlalu seperti angin lalu. Masuk angin keluar asap kerana itu adalah tradisi kita: hangat-hangat tahi ayam. Saya juga banyak membaca blog yang anti isu ini dan mereka telah membuat pelbagai ulasan sama ada yang yang berkait dengan norma atau budaya kita. Saya juga banyak mengikuti pelbagai pendapat dan ada juga yang munasabah. Namun disebabkan isu ini adalah isu besar yang merupakan rentetan kepada terlalu banyak insiden yang berlaku sebelum ini menyebabkan saya juga ingin memberi pendapat kerana saya berpendapat ia amat berkait rapat dengan isu pendidikan kita.

Kalau kita lihat dan renung sejak Yg Bhg Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri, beliau telah cuba mengubah sedikit gaya pemerintahan Malaysia ke arah yang sedikit liberal, terbuka dan cuba berkongsi kuasa dengan rakyat. Beliau banyak turun ke bawah dan banyak mendengar suara rakyat. Dengan kata lain, beliau telah banyak membuka peluang kepada rakyat jelata untuk memberi pendapat. Kata orang; jangan takut berkata benar walaupun ia adalah pahit. Maka di kesempatan ini muncullah individu-individu yang entah apa niatnya dengan lantang dan terbuka telah mengkritik kerajaan yang kemudiannya melarat kepada Raja-raja Melayu dan institusi agama. Selama ini terlalu banyak larangan atau taboo di dalam masyarakat kita dan banyak isu yang tidak boleh diperdebatkan secara terbuka tetapi pantang larang itu semua telah beransur lupus kerana kesempatan telah diambil dengan cara yang penuh negatif walaupun niat dan tujuan Pak Lah adalah sangat baik.

Kumpulan penentang ini dengan penuh bijaksana telah mengeksploitasi segala kesilapan masa lampau dengan berani dan berahi. Ini ditambah lagi dengan berkembangnya teknologi sebaran alternatif yang amat berkesan. Penyebaran maklumat menjadi begitu pantas dan terbuka dan sama seklali tidak dapat disekat atau dibendung. Akhirnya pada pilihanraya Mac 2008 Kerajaan Barisan Nasional hampir tersungkur di Malaysia.

Seperti yang saya perkatakan di atas tadi, sebagai seorang yang mukallaf dan cukup akal kita jangan mudah menggelabah. Kita mesti menerima apa sahaja yang dianggap sebagai yang buruk atau musibah itu sebagai taqdir dan ketentuan Ilahi kerana tanpa sedikit keizinanNya semua kejadian di alam maya ini tidak akan berlaku termasuk segala kejadian di nagara kita. Sebab itu kita jangan menyesal kerana jika kita menyesal dan sedih bererti kita telah komplain Tuhan (orang yang komplain Tuhan besar dosanya), maka kita seharusnya sentiasa bersyukur walau dalam apa jua keadaan. BN hilang Kelantan, Kedah, Selangor, P.Pinang dan Perak masih juga kena bersyukur? Jawapannya ya, kerana BN masih lagi jadi pemerintah. Dan dalam masa yang sama BN hendaklah bermuhasabah; lihat semua kelemahan BN lebih dahulu dan utama dan jangan lihat kekuatan lebih dahulu sebab pada pendapat saya dalam mana-mana pertarungan pun pihak yang akan menang adalah pihak yang pandai mengeksploitasi kelemahan lawan. Sebab itulah parti pembangkang mendapat kejayaan kerana mereka pandai mengambil kesempatan, tak sama dengan BN kerana BN asyik dengan pembangunan materialnya (BN tidak sangat melihat modal insan).

BN sebagai parti pemerintah mesti melihat sistem pendidikan yang diamalkan selama ini kerana pendidikan adalah merupakan alat untuk membentuk dan dan melahirkan modal insan yang BN kehendaki. Sistem pendidikanlah yang akan mencorakkan latar feel perangai rakyat sesebuah negara. BN mesti bertanya adakah sistem yang diamalkan selama ini sejajar dengan aspirasi nasional? Adakah sistem pendidikan yang kita amalkan selama ini lebih menjurus menjadikan seluruh rakyat Malaysia adalah rakyat yang berbudi bahasa, mengenang budi dan patuh kepada undang-undang. Adakah sistem pendidikan yang telah berjalan lebih 50 tahun itu telah berjaya menjadikan rakyat Malaysia yang tinggi semangat patriotiknya? Atau adakah sistem yang kita amalkan ini berjaya menghapuskan sikap kurang ajar dan mementingkan diri di kalangan rakyat Malaysia? Ini semua memerlukan satu pendekatan yang luhur, suci, ikhlas dan jujur pada setiap ahli BN.

Maka saya tinggalkan persoalan kepada semua ahli BN untuk melihat dengan sungguh-sungguh jika tidak mahu Mac 2008 berulang lagi. Jika BN masih sayangkan negara (bukan sayagkan suku sakatnya) perbuatlah sesuatu, kerana ia masih belun terlambat.

Saturday, September 19, 2009

SALAM IDILFITRI

Selamat Hari Raya Idilfitri

Setelah sebulan kita menjalani ibadah puasa dengan menyerah diri sebenar-benarnya kepada Yang Maha Esa tibalah hari untuk kita merayakan kejayaan kita itu. Allah menganjurkan kita supaya menyambut Hari Raya Raya ini dengan penuh tawaddhuk dan penuh keinsafan, bukannya diisi dengan segala macam pesta yang menentang hukum Allah.

Maka di kesempatan ini saya ingin mengicapkan Selamat Hari Raya Idilfitri kepada semua sahabat, rakan taulan, jiran tetangga dan seluruh umat Islam. Saya juga ingin menghulur tangan meminta ampun dan maaf dari semua yang mengenali saya.

Selamat Hari Raya Idil fitri. Maaf Zahir Batin