Sunday, August 30, 2009

MBMMBI

Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya.
Salam 1Malaysia

Dah lama kita tak bersua. Maklumlah kekadang untuk mencatat ni moodnya, kadang rasa teruja nak menulis kadangkala disebabkan pelbagai kekangan yang dihadapi, maka kekangan itu yang telah mengalahkan kita.

Namun hari ini kita telah menang. Dan saya mencuba untuk menjawab dan meleraikan banyak persoalan yang ditimbulkan oleh rakan wartawan di dalam e mail saya berkait langkah KPM untuk Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Ramai rakan yang telah bertanyakan saya apa itu MBMMBI? Bagaimana nak dilaksanakan? dan pelbagai persoalan yang mereka timbulkan. Persoalan ini juga banyak ditimbulkan oleh rakan-rakan guru sendiri.

Apabila mereka ini telah menghubungi saya dengan pelbagai cara untuk menyelesaikan kekusutan mereka, maka saya kira ia rupanya telah menjadi suatu isu besar yang menyebabkan mereka sentiasa berfikir tanpa penghujungnya. Dan akhirnya disebabkan mereka tidak faham maka kita lihat isu pendidikan sudah tidak menjadi bahan kebangsaan yang dibincang dimana-mana. Senyap sunyi.

Maka bagi saya sebagai seorang pendidik turut terpanggil untuk masuk sama berfikir kenapa jadi demikian lakunya. Apa dah jadi dengan pendidikan sekarang? Tidak seperti dua tiga tahun lepas. Cerita pendidikan telah menjadi sangat laris seperti ayam percik di pasar Ramadhan. Apakah semua orang sudah sangat berpuas hati dengan segala langkah yang telah diambil oleh pihak kerajaan atau masyarakat sudah bosan dengan isu pendidikan yang tak berkesudahan atau mungkin ini adalah kerana kebijaksanaan dan kebitaraan KPM sekarang ini. Biarlah Luncai terjun dengan labunya. Biarkan. Namun kita harap kemungkinan yang ketiga itu yang menjadi faktornya.

Cuma di sini saya ambil kesempatan untuk berkongsi sedikit idea saya (mungkin salah) sepanjang saya menjadi pendidik berkait dengan masalah Bahasa Inggeris (BI).

Hari ini kita ingin melihat isu utama yang berkait dengan BI. Isu asas yang dihadapi oleh kita ialah kekurangan guru BI. Masalah kekurangan guru BI telah berlaku sejak belum merdeka lagi terutama di kawasan luar bandar dan ia telah berlarutan hingga kini. Inilah yang menimbulkan banyak persoalan di kalangan kita. Ini belum lagi kita menyemak senarai guru BI yang benar-benar berkelayakan mengajar BI kerana amat kurang guru kita yang mengajar BI lulusan Teaching English as a Second Language (TESL). Sebenarnya guru sedang mengajar BI di sekolah-sekolah terutama di kawasan luar bandar hanyalah di kalangan guru yang telah dilatih untuk mengajar BI dan mereka bunkannya pengkhususan di bidang ini. Namun kita amat berterima kasih kerana mereka rela dan reda mendidik anak-anak kita kerana tanpa kesanggupan mereka kita rasa penguasaan BI di kalangan pelajar sudah tentu akan menjadi .........

Apakah kita khususnya KPM akan terus berpeluk tubuh dan berdiam diri membiarkan isu yang berlarutan ini dibiar begitu sahaja. Sebab itulah KPM telah melancarkan suatu gerakan MBMMBI. Namun yang menjadi persoalan sekarang ialah ramai orang masih tertanya-tanya apa itu MBMMBI. Mereka tidak faham dan tidak tahu langsung apa itu MBMMBI. Mereka mula bimbang dan takut ia juga akan menjadi seperti PPSMI. Maka kita amat berharap biarlah langkah KPM ini dikongsi bersama seluruh warga Malaysia agar mereka faham dan hayatinya. Kita juga berharap MBMMBI ini diwacanakan secara telus dan terbuka agar ia tidak lagi menjadi alat untuk diputarbelitkan oleh mana-mana pihak. Bagi kita untuk memastikan bahtera itu tiba ke destinasinya biarlah seluruh anak kapal atau kelasinya faham, tahu, hayati dan berusaha bersama memastikan bahtera mereka selamat berlabuh di destinasi yang dituju. Jika hanya nakhoda dan orang kiri kanannya sahaja yang tahu dan yang lain menjadi sebagai pak kayuh sahaja ia tidak akan memberi makna apa-apa.

Maka adalah diharapkan KPM janganlah begitu kikir untuk berkongsi MBMMBI dengan seluruh rakyat jelata, kerana kalau tak kenal maka tak cinta dan saya amat percaya kepada kata kunci "sharing" dan ia amat sesuai dengan gagasan 1Malaysia yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri kita; Rakyat Didahulukan. Kita tidak mahu apa yang terjadi kepada PPSMI, bila tiba di penghujungnya barulah kita kembali kepada rakyat untuk diambil pendapat. Oleh itu kami amatlah berharap KPM gunalah ruang yang ada untuk mendengar pandangan rakyat jelata dan biarlah MBMMBI ini akan menjadi sebuah gagasan baru yang berasaskan konsensus dari rakyat. Jika rakyat sendiri sudah memberi persetujuan dan sokongan nanti ia akan menjadi lebih bermakna yang sudah tentu natijahnya amat besar.

Tuesday, August 11, 2009

BAHASA INGGERIS

Salam blogger dan Salam 1Malaysia,

Hari ini saya rasa amat terpanggil untuk berbincang tentang satu tajuk yang pada suatu ketika dahulu amat laris dibincang oleh pelbagai pihak. Ini adalah kerana masih terlalu ramai hingga sekarang rakan wartawan yang menghubungi saya ingin mendapatkan temuramah dengan saya berkait dengan isu Pengajaran Bahasa Inggeris (PBI) di sekolah-sekolah di Malaysia. Disebabkan saya sudah tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan akhbar maka saya harap rakan-rakan wartawan dapatlah melihat dan menilai pandangan saya berkait dengan isu PBI di blog ini.

Sebenarnya sejak enam tahun lalu sewaktu Sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilancarkan terlalu ramai ahli masyarakat yang keliru dan ada yang tidak faham langsung objektif PPSMI ini dilaksanakan. Masyarakat hanya tahu dan diberitahu bahawa Bahasa Inggeris (BI) itu penting kerana ia dianggap dan diiktiraf sebagai bahasa ilmu. Pendek kata siapa yang tidak menguasai BI dia akan ketinggalan, maknanya bangsa yang tidak tahu BI maka bangsa itu akan juga ketinggalan. Itulah yang sebahagian besar ahli masyarakat kita diberitahu.

Maka Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pun berusahalah sekeras-kerasnya dengan menggembeling segala daya dan usaha dengan melibatkan segala sumber yang ada bagi mencapai objektif PPSMI. Pelbagai langkah telah diambil dan pelbagai kaedah telah digunakan tanpa jemu siang dan malam. Pemantauan, penilaian, perbincangan dan pelbagai kaedah penambahbaikan telah dibuat oleh KPM sepanjang masa sepanjang enam tahun yang lalu. Namun yang peliknya sekolah-sekolah jenis kebangsaan dibenarkan kekal mengajar Matematik dan Sains di dalam bahasa ibunda. Maka berlakulah duo language di sekolah-sekolah di Malaysia. Ini juga telah mengelirukan rakyat. Sudah tentu yang keliru inilah mudah dipesongkan. Maka terpesonglah mereka ini dengan pelbagai dakyah oleh mereka yang berkepentingan.

Yang menjadi tanda tanya dan yang paling ajaib ialah dari aspek objektifnya. Katanya tujuan PPSMI adalah untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar tetapi yang menjaadi soal tanya ialah kenapa pula digunakan matematik dan sains sebagai mediumnya? Ini samalah seperti inginkan hasil getah kerana getah harganya mahal tetapi ditanamnya kelapa sawit. Sama juga inginkan buah kelapa yang dipanjatnya pokok petai. Maka kalau petai yang kita mahu maka tanamlah pokok petai jangan tanam pokok lain.

Satu lagi aspek yang kita rasa (entah nak kata apa tak tahu) ialah pemberian elaun khas kepada guru yang mengajar BI/Sains/Matematik (BISP). Semua guru yang mengajar BI/Sains/Matematik telah dibayar sejumlah elaun bulanan sebagai imbuhan. Untuk makluman kita bersama pemberian elaun ini juga telah banyak menimbulkan suasana yang kurang menyenangkan di kalangan guru-guru itu sendiri. Disebabkan elaun BISP itu semangat setiakawan guru telah mula terungkai dan luntur. Yang dapat BISP tersenyum sementara yang tidak dibayar elaun dah mula berkira dari segi kerja. Kalau ada kerja banyak mereka kata berilah pada orang yang ada BISP, kami tak ada elaun, maka kami tak perlu kerja lebih, buatlah yang wajib. Walau ini sikap yang buruk tetapi hakikatnya inilah yang berlaku. Dengan kata lain, sikap dengki berdengki sudah wujud di kalangan guru kesan pemberian BISP.

Dan akhirnya PPSMI telah diumumkan akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012. Sama ada penghapusan ini disebabkan desakan banyak pihak atau kerana memang PPSMI tidak mencapai objektif kita tidak peduli tetapi PPSMI akan berkubur sama seperti pelbagai program yang lain yang pernah kita maklum.

Dengan penghapusan PPSMI ini pelbagai pula program dan rancangan telah diutarakan pleh pihak KPM demi meningkatkan BI. Macam-macam kaedah yang nak digunakan di sekolah-sekolah di Malaysia untuk meningkatkan BI. Cuma sekarang kita mesti sama-sama berhati-hati kali ini. Janganlah ada lagi program yang akan kita hapuskan pada suatu ketika nanti apabila didapati ia tidak mencapai objektif. Yang paling penting sekarang kita mesti duduk semeja, kita bincang, kita fikir dan kita buat keputusan bersama. Dan yang paling penting ialah ambil pendapat jauhari di dalam bidang pendidikan. Kata orang hanya jauhari yang mengenal manikam. Untuk melaksanakan dasar pendidikan janganlah kita main-main kerana jika terseilap membuat keputusan buruk akibatnya.

Monday, August 10, 2009

SEMANGAT 1MALAYSIA

YAB Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia ke lima telah memulakan tugasnya dengan melontarkan sebuah gagasan besar untuk diamalkan oleh semua yang bergelar pemimpin bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia tidak terabai dan tidak merasa dibiarkan. YAB DS Najib berharap dengan gagasan ini tidak ada lagi seorangpun rakyat yang terpinggir dari segi haknya sebagai rakyat Malaysia. Harapan YAB Perdana Menteri agar gagasan 1Malaysia ini akan difahami dan dihayati yang akhirnya diterjemahkan di dalam semua kerjabuat mereka yang bergelar pemimpin.

Tujuan DSN melancarkan gagasan 1Malaysia ini mungkin beliau terasa bahawa sudah lama rakyat Malaysia tidak dipedulikan oleh para pemimpin Malaysia khhususnya wakil rakyat. Beliau juga mungkin membuat suatu persepsi besar bahawa kekalahan besar parti pemerintah di dalam PRU12 yang lalu adalah besar kemungkinan berpunca daripada sikap rakyat yang sudah bosan dengan sikap wakil rakyat khasnya yang langsung tidak menjalankan tugas untuk melihat kebajikan rakyat sebagai core business mereka. Hasil kealpaan para wakil rakyat yang sudah berlarutan begitu lama itulah maka rakyat telah memberi suatu signal yang amat pahit kepada parti pemerintah. Maka DSN pun telah mengandaikan bahawa bahawa rakyat perlu diambil berat, bahawa rakyat perlu diambil cakna dan bahawa rakyat perlu diutamakan dan didahulukan; maka lahirlah sebuah gagasan yang amat mengutamakan rakyat tanpa batas di dalam semua keputusan kerajaaan di peringkat pusat dan di peringkat pemimpin untuk semua agensi. DSN mengharapkan apabila gagasan 1Malaysia ini dilaksanakan secara bersungguh-sungguh ia akan merobah persepsi rakyat terhadap kerajaan dan makna ini akan diterjemahkan di dalam PRU13 nanti.

Di sini saya tidak akan mengupas berkait isu politik kepartian yang dihadapi oleh mana-mana parti tetapi lebih kepada untuk memberi pandangan tentang gagasan 1Malaysia itu sendiri.

Kita akui sebenar-benarnya bahawa selain beberapa faktor tambahan lain, faktor rakyat sudah muak dengan sikap wakil rakyat yang asyik bermain politik dan mengayakan suku sakatnya dan dalam masa yang sama tidak mempedulikan rakyat adalah menjadi punca utama kekalahan teruk parti pemerintah di dalam PRU12 yang lalu. Soal kekuatan parti pembangkang tidak timbul langsung kerana parti pembangkang sebenarnya mendapat rahmat daripada kelemahan parti kerajaan itu sendiri.

Sebenarnya kemuakan rakyat dengan kerenah pengurusan kerajaan atau dengan kerenah birokrasi yang sengaja diwujudkan dan diada-adakan itu adalah menjadi faktor utama rakyat ingin mengajar kerajaan. Terlalu banyak isu besar yang melibatkan kedudukan dan kepentingan rakyat tidak dipedulikan oleh kerajaan (agen mereka). Ini ditambah pula pelbagai isu tempatan yang hampir melapok di merata tempat. Dengan kata lain accumulate dan dragging isues ini akhirnya telah menjadi time bomb kepada kerajaan. Maka pada 8 Mac 2008 rayat telah meletupkan bom tersebut yang telah hampir meruntuhkan Parlimen Malaysia. Sebenarnya kedua-dua jenis isu inilah yang telah menjadi duri kepada kerajaan selama ini.

Berbalik kita kepada gagasan 1Malaysia. Ia telah dilancarkan dengan harapan sempena perlantikan DSN sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke lima. Soalnya sekarang apakah seluruh rakyat khususnya agen-agen kerajaan faham dengan gagasan ini? Kalau mereka faham adakah merekan hayatinya? Dan kalau mereka hayatinya adakah mereka terjemahkannya secara total di dalam kerjabuat mereka seharian? Adakah 1Malaysia ini telah mendarah daging di dalam tugasan harian mereka? Inilah persoalan besar sekarang. Janganlah gagasan ini menjadi sebuah retorik besar yang akhirnya hanya menjadi hiasan billbord sepanjang jalan dan lebuhraya yang langsung tidak memberi makna kepada rakyat. Kita bimbang gagasan ini akhirnya menjadi sebuah mimpi indah seorang pemimpin besar seperti DSN yang kemungkinan akan menjadi bahan lawak pihak-pihak tertentu.

Maka kita menyeru seluruh agen kerajaan termasuklah seluruh wakil rakyat dan semua anggota sektor awam ambillah kesempatan ini untuk berubah. Buatlah sesuatu yang amat baik yang selaras dengan gagasan 1Malaysia ini. Letaklah kepentingan rakyat jelata di saf paling hadapan di dalam semua urusan dan keputusan kita. Jangan sekali-kali abaikan harapan rakyat; jangan jadikan rakyat seperti sebiji bola di padang yang boleh ditendang sesuka hati tak berkesudahan. Berilah perkhidmatan kita seperfect mungkin kerana kita telah diberi amanah dan tanggungjawab untuk melaksana tugas masing-masing. Selesaikan masalah rakyat seperfect dan secepat mungkin; jangan sekali-kali kita lengahkan tugas dan tanggungjawab kita kerana di sebalik tanggungjawab itu, kita juga diberi sedikit habuan dan ganjaran oleh kerajaan untuk kita melangsaikan kehendak kita dan keluarga kita.

Justeru marilah seluruh wakil rakyat dan anggota sektor awam bermuhasabah diri kita sendiri secara jujur dan ikhlas; adakah selama ini kita telah menjalankan tugas kita seperti yang telah kita akadkan sewaktu kita mula menerima tugas tersebut? Adakah selama ini kita telah melaksanakan segala tanggungjawab kita khusus tanpa rasa prajudis dan pilih kasih? Adakah selama ini kita telah menggunakan seluruh masa dan kemudahan rakyat itu khas untuk berkhidmat kepada rakyat seperti yang pernah diamalkan oleh Sayidina Ali? Adakah kita telah meletakkan kepentingan dan kehendak pelanggan kita mengatasi dari segala keutamaan lain?

Maka jika semua prasyarat di atas telah kita sempurnakan syukur Al Hamdulillah. Namun jika ada sedikit ketirisan dan kebocoran berlaku di dalam kita menjalankan tugas kita selama ini, maka ayuh inilah masanya untuk kita menebus kesilapan dan kembali ke pangkal jalan kerana kita bimbang kita hilang pedoman dan jalan dan akhirnya kita tersesat buat selamanya. Kita bimbang jika sedikit amanah yang diberi kepada kita akan menyebabkan kita disoaltanya di akhirat nanti. Kita bimbang dengan kerana sedikit tanggungjawab yang diberi kepada kita nanti tidak terjawab di depan Rabbul Jalil.

Maka kita berseru kepada semua marilah kita bersama-sama menyahut seruan 1Malaysia ini sebagai suatu batu loncatan untuk kita berubah dari buruk kepada baik dan dari baik kepada yang lebih baik. Kesampingkan segala perbedaan idoelogi dan anutan setiap dari kita; sebaliknya bulatkan tekad, tanamkan azam untuk kita bertugas seperfect mungkin dan tidak sedikitpun akan melengahkan tugas kita. Jika saat ini kita boleh selesaikan tugas itu, janganlah kita tangguh untuk saat yang kedua.

Sebenarnya jika kita ikhlas di dalam perjuangan kita tidak perlukan apa-apa gagasan wa imma 1Malaysia pun tetapi kita berharap dengan adanya gagasan ini kita ambillah kesempatan ini.

Sunday, August 9, 2009

RESPON BUAH FIKIRAN RAKAN-RAKAN

Salam 1Malaysia

Hari ini setelah lebih dua bulan Nyiurgading ni diudarakan maka pelbagai pandangan dan cadangan telah diutarakan oleh rakan-rakan bloger kepada saya agar blog saya ini nampak segar dan bermaya. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua rakan yang telah sanggup melayari blog saya dan sanggup berkongsi idea untuk memberi cadangan yang baik dan membina (walaupun ada yang mengutuk kerana blog saya tidak mengumpat orang). Iklhas saya nyatakan di sini saya sentiasa mengambil berat dan maklum tentang cadangan dan pandangan rakan-rakan bloger. Maka hari ini saya akan menjawab dan mengulas segala pandangan tersebut.

Ada rakan-rakan yang memberi pandangan supaya saya segarkan blog saya dengan tulisan yang lebih kritis kerana mengikut kefahaman rakan-rakan bahawa Nyiurgading terlalu hambar dan mendatar dan kadangkala "playsafe". Memang saya akui kebenaran kenyataan tersebut. Nyiurgading memang mempunyai tulisan yang hambar dan mendatar, tidak langsung menyentuh isu sensitif semasa seperti pergeseran di dalam politik masa
kini.

Seperti tulisan saya buat pertama kali lagi saya dah nyatakan bahawa Nyiurgading adalah sebuah blog yang ditulis oleh seorang cikgu atau pendidik yang telah lebih 51 tahun berada di dalam bilik darjah. Maksud saya: saya dah berada di bilik darjah sejak saya berumur 7 tahun hingga sekarang. Dalam tempoh itu saya sudah terlalu masak dengan tendang terajang sistem pendidikan negara kita. Maka dengan usia yang begitu lama amat banyak untuk saya lontarkan di dalam Nyiurgading tetapi masih belum tiba masanya kerana Nyiurgading masih lagi baru dan masih di peringkat intro. Sebab itulah ia masih hambar dan mendatar. Jika kita imbau kembali tulisan saya peringkat mula kita akan nampak banyak tulisan saya berkisarkan batang tubuh guru itu sendiri dan masih belum saya sentuh sistem pendidikan itu sendiri kerana percaya apabila kita buat kerja kita mesti lakukan secara tertib. Kita tidak boleh ambil jalan pintas atau pakai tebuk-tebuk nescaya ia tidak akan berkesan (efektif). Bagi Nyiurgading, urusan kenal itu penting kerana tak kenal maka tak cinta. Dengan kata lain jika kita menyelusuri asal-usul dan rootnya maka pada suatu hari nanti apabila kita sudah jauh dalam perjalanan kita akan hilang identiti sendiri dan kita akan menjadi manusia yang sesat dan lupa segalanya. Inilah yang banyak terjadi sekarang kepada rakyat negara kita Malaysia Yang Tercinta kerana tegak bangsa maka akan tegaklah pertiwi.

Maka hari ini saya akan mengambil sedikit kesempatan untuk memberi makna ungkapan Nyiurgading di atas tadi. Mari bersama kita renung; kenapakah rakyat Malaysia yang darahnya tumpah di sini dan tempat bermain di sini sanggup derhaka kepada negaranya sendiri dan sanggup melihat negara ini hancur demi melihat cita-citanya tercapai? Inilah bahan yang akan saya sentuh dalam tulisan saya akan datang apabila tiba masa. Dan masanya akan tiba setelah saya memperkenalkan siapa sebenarnya kita. Sebelum kita mengkategori rakyat Malaysia dan kemudian meletakkan nilai terhadapnya kita seharusnya kita benar-benar mengenali mereka dulu. Amat tidak adil jika kita hanya tahu menilai dan melebel atau menghukum seseorang tanpa usul periksa. Sepatutnya sebelum kita menghukum atau melebel seseorang kita mestilah benar-benar kenal dia serta apakah asal usul orang itu.

Baiklah saya akan teruskan tulisan ini di dalam episod yang akan datang.

Wednesday, August 5, 2009

KISAH MOTO DAN LOGO

Salam 1 Malaysia

Kadang-kadang terasa geli dan kadangkala terasa muak dengan semua senario yang berlaku di Malaysia. Tradisi mencipta dan menggubah moto dan logo akan belaku apabila berlaku perubahan di dalam pucuk pimpinan dalam mana-mana organisasi. Ini jelas kita lihat apa yang berlaku di sesebuah sekolah yang baru dapat pengetua/guru besar baru. Apabila pengetua/guru besar baru datang ke sesebuah sekolah lalu dia perkenalkan moto dan logo yang baru. Entah apa yang dia mahu di situ hanya Tuhan yang tahu. Banyak cerita yang kita dengar tentang isu moto dan logo ini di sekolah-sekolah. Ada yang berjaya merubah sama sekali sekolah tersebut dan tidak kurang sebaliknya.

Kita rasa naluri kita lebih berminat untuk melihat tentang kegagalan; kejayaan tak perlu kita bincang kerana semua orang suka kejayaan. Dan tujuan kita berbicara kegagalan di sini dengan niat yang baik iaitu bermuhasabah. Maka diharap semua pihak tak payahlah berkecil atau terasa hati nanti.

Kita banyak mendengar suasana yang kurang enak yang berlaku di dalam pengurusan sesebuah sekolah hasil daripada pengenalan sebuah gagasan baru atau moto baru yang nak dilaksana di sesebuah sekolah. Cerita ini amat kerap kita dengar. Impaknya seluruh sekolah tersebut bergerak bagai sebuah kereta api minyak tanah. Maka sekolah tersebut sudah tentu tidak menjadi sebuah sekolah yang dinamik.

Kita ambil contoh sebuah cerita yang sampai ke telinga saya sendiri (entah benar, entah tidak). Kata empunya cerita pada suatu masa berlakulah pertukaran guru besar. Maka berlakulah sebuah penantian pada seluruh warga sekolah dan seluruh orang kampung kerana sudah menjadi kebiasaan untuk melantik seorang guru besar amat memakan masa (entah ini satu tradisi atau satu polisi). Maka tunggulah mereka dengan penuh harapan. Akhirnya tibalah masa yang ditunggu dengan perasaan sukacita. Maka acara sambutan seadanya telah diadakan bagi menunjukkan betapa warga sekolah gumbira menyambut kedatangan guru besar baru.

Ringkas cerita; selepas beberapa ketika maka guru besar baru ni pun panggillah mesyuarat guru lalu dia memaklumkan moto yang akan dilaksanakan di sekolah tersebut iaitu re branding. Maka bingung binganglah seluruh warga sekolah tersebut mendengar perkataan re branding. Bagi mereka re branding ni amat besar konotasinya; Apakah kami teruk sangat pada pandangan guru besar baru ni? Maka dengan kata lain perkataan re branding telah menjadi pukulan maut pada mereka. Maka bermula hari tersebut bermulalah episod perang dingin antara guru besar dengan seluruh warga sekolah tersebut. Seperti yang kita jangka dan maklum seluruh warga sekolah telah pusing belakang dengan guru besar.

Al kisah guru besar ni pula teruslah dengan cita-cita dan harapannya untuk re branding sekolah tersebut. Pelbagai langkah dan kaedah dilaksanakan demi mencapai re branding. Seperti yang diduga harapan dan cita-cita guru besar ni gagal mencapai hasrat yang akhirnya amat mengecewakan guru besar tersebut. Entah benar ke tidak akhirnya guru besar ni telah minta ditukarkan ke sekolah lain ........

Natijahnya dari pemerhatian kita yang cetek ilmu ni bolehlah kita simpulkan bahawa kegagalan guru besar tersebut disebabkan kegagalan diri dia sendiri. Dia tidak berupaya mempengaruhi orang di bawah pimpinan untuk akur dengan kehendaknya; di samping itu guru besar ini gagal membeli hati orang bawahannya supaya ada rasa hormat dan sayangkan organisasi. Dengan kata lain kegagalan guru besar ni kerana kejahilannya sendiri.

Maka seperti yang pernah saya sebut sebelum ini bahawa apa saja yang kita nak lakukan mestilah bersandarkan ilmu yang mutlak bukannya ilmu tiruan atau jenis manusia yang syok sendiri. Apa lagi untuk menjadi seorang pemimpin sebuah sekolah yang kita tahu amat mencabar tugasnya. Justeru saya menyeru semua pihak supaya sentiasa update ilmu sentiasa; dunia sekarang bukan lagi seperti 40 tahun dahulu. Sekarang semua orang mempunyai peluang yang luas untuk akses kepada punca ilmu.

Maka sepatutnya seorang pemimpin mestilah sentiasa one step ahead dari orang yang dipimpin. Kita tidak mahu episod kecil tadi berlaku lagi di mana-mana sekolahpun.

Saturday, August 1, 2009

HEBATNYA ORANG KITA !!!!!!!!


Tanggal 1 Ogos 2009 orang kita (OK) telah berjaya buktikan kepada dunia memang OK boleh. OK memang setaraf dan setanding dengan mereka di negara lain yang menjadi idola OK. Dan hari ini OK telah melangkah dengan satu langkah yang berjaya. Berjaya membuktikan kepada dunia bahawa jika negara mereka susah, huruhara, harubiru dan pelbagai kerenah negatif maka OK telah berjaya mensenaraikan Malaysia di senarai negara yang tidak mahu aman. Inilah sifat terpuji OK setelah mulut mereka disuap nasi dan susu selama ini oleh negara Malaysia. Inilah balasan mereka kepada ibu pertiwi.

Hari ini juga OK telah menunjukkan watak, sifat, sikap dan belang sebenar secara jelas kepada kita. Kita harap seluruh rakyat Malaysia kenal siapa OK ni. OK ni sebenarnya adalah terdiri daripada sekumpulan manusia yang sudah cukup kaya dan sejahtera. Pendapatan mereka berjuta-juta sehingga mereka tak tahu ke mana nak dibelanja duit mereka.Sebab itu OK tak fikir sangat kesusahan orang lain kerana OK ingat orang lain senang mcam mereka juga. Bagi OK ni, duit dan rezeki tak penting lagi kerana mereka dah milikinya sehingga melimpah ruah. Yang penting bagi mereka ialah kejayaan mereka untuk menghuru harakan negara dan menyusahkan orang ramai. Inilah percubaan mereka ke sekian kalinya untuk menyusahkan orang ramai. Telah banyak kali mereka melakukan perkara yang sia sia ni dan tidak akan pernah berhasil.

Maka pada OK kami menyeru; cukuplah buat kerja sia-sia tu. Cukuplah menyusahkan orang ramai dan nak jadi jaguh plastik jalanan. Ini bukan masanya kita nak buat kerja macam orang tak cukup akal. Tak payahlah tunjuk kekecewaan kita di jalanan, itu semua tabiat buruk yang ditiru dari negara lain. Malaysia adalah sebuah negara yang bukan berbudaya demonstrasi. Budaya kita adalah budaya harmoni, tolong menolong, kasih sayang dan sejahtera. Usahlah menyusahkan orang ramai, nanti mereka akan menyampah dengan kita sebaliknya OK bolehlah gunakan kesempatan mandat yang diberi oleh rakyat dalam PRU 12 yang lepas. OK mendapat mandat yang begitu besar dalam PRU 12 yang lepas dan sebenarnya hal ini tak pernah berlaku dalam sejarah negara kita. Ambillah kesempatan dan peluang tersebut secara bijaksana dan matang dan janganlah tunjuk perangai macam budak-budak, mudah merajuk. Kalau dah merajuk tu habislah barang mainan dibuangnya dan dirosakkan. Itu perangai budak budak yang belum matang. OK memang manusia yang dah cukup matang dan kita percaya memang dah mukallaf atau akil baligh pun. Tak kan orang yang akil baligh tak tahu yang mana bersih dan yang mana kotor. Kalau masih belum boleh membezakan kotor dan bersih itu dah jadi kes berat. Kena tengok baliklah ......... Kalau tidak kena juga kena bawa pi jumpa tok mudim semula.

Kami doa juga agar OK dapat muhasabah diri dan buat penilaian secra paling ikhlas. Apakah langkah dan keputusan yang diambil tu menguntungkan OK ke tidak. Kalau dulu orang ramai telah bagi mandat yang amat besar kerana menaruh harapan mereka pada OK kerana waktu berkempen OK telah berbuat janji yang amat rasional dan praktikal. Mereka percaya OK adalah kumpulan pemimpin terbaik yang dapat menyelesaikan masalah mereka. Atas janji dan manifesto itu di PRU 12 rakyat memberi OK peluang yang terbaik untuk membuktikan OK adalah orang yang paling matang dan bijaksana. Itulah harapan mereka. Mereka tak suka lihat OK masih lagi bertindak macam budak tak cukup umur. Kalau budak tak cukup umur buang atau rosakkan mainannya janganlah kita rosakkan dan buang amanah rakyat pada OK. Dan janganlah suka merajuk dan merosak harta benda apabila kecewa kerana itu tabiat budak tak cukup umur dan jika OK adalah orang bijaksana dan dah cukup umur, tolong kumpulkan segala kudrat dan kemahiran OK di parlimen tempat untuk kita merobah segalanya. Jangan sekali-kali mudah kecewa, Tuhan telah berjanji akan memberi kejayaan kepada mereka yang tidak putus asa. Sebalinya rakyat amat berharap melihat OK ambil kesempatan yang diberi sebagai bukti untuk akan ramai lagi bersama OK dalam PRU 13 nanti.

Soal ISA janganlah kita besarkan sangat. Kalau kerana ISA kita dicop sebagai budak tak cukup umur maka amat rugilah OK. Kalau kita selalu menyusahkan rakyat hanya kerana isu ISA je rakyat akan melebel bahawa OK ni pengecut dan penakut; hati kecil dan berjiwa kecil. Takut apa dengan ISA? Rakyat biasa tak kisah, tak tahu dan tak fahampun ISA, tapi mereka boleh hidup aman damai. Dan bagi mereka yang minta dihapuskan ISA bermakna mereka takut kepada ISA kerana mereka berniat untuk melakukan kesalahan kerana buatlah ISA ke ISB ke atau ISC ke orang biasa tak ada apa-apa. Tak jadi kudis gatal kerana ISA tak pernah diguna pada mereka yang tak bersalah dan yang kena tu memang buat salah. Maka kita harap OK tak payahlah buang masa nak buang ISA kerana OK orang baik dan orang bijak. Yang kena ISA dan kena gantung bawah 39B tu memang orang jahat tak macam OK. Kesimpulannya kalau kita tak akan buat salah tak payahlah pusing kepala dok fikir benda yang tak ada faedah sebab banyak lagi kerja kebajikan yang boleh OK fikir dan buat.

Sayugia kita menyeru agar OK hentikan semua tabiat kanak-kanak yang suka merajuk dan suka merosak harta benda sebaliknya gembelingkan segala tenaga yang ada untuk memenangi hati rakyat dengan menunjukkan bahawa OK orang baik, OK orang pandai dan OK adalah manusia yang tisak suka kepada pembaziran kerana hari ini kita lihat KL dan lumpuh, penjual pasar malam Jalan TAR rugi dan segala logistik polis terpaksa dibuang begitu saja dan segala belanja tadi untuk berkawal dan sebagainya telah menggunakan wang rakyat. Jelaslah kepada kta inilah akibat daripada keputusan yang kurang cerdik yang diambil oleh OK hari ini. Percayalah rakyat Malaysia sekarang bukan mudah digula gula dengan lakonan hero plastik yang penuh dengan sifat hipokrit. Rakyat sekarang mahu hidup senang dan aman apatah lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tak puluh-pulih ni.

Akhirnya saya ingin pulangkan keputusan dan kesimpulan natijah demonstrasi ISA ni kepada rakyat jelata: Adakah kita mahu dan mampu untuk hidup dalam negara yang huru hara dan haru biru atau kita ingin meneruskan dan mamantapkan suasana yang penuh lumayan hingga ke anak cucu. Membunuh anak ayam kesayangan jauh lebih mudah daripada kita nak mempastikan anak ayam itu membesar dengan sihat dan bugar.