Tuesday, June 30, 2009

ISU GURU TINGKATAN VI

Salam Hormat.

Hari ini saya terpaksa tinggalkan turutan esei saya berkait dengan "pendidik" kerana ada isu yang urgent untuk makluman semua guru khususnya guru tingkatan VI.

Guru Tingkatan VI telah mula dilaksana mulai 1 Januari 2008. Kebanyakan penempatan telah dibuat oleh pihak Bahagian Sumber Manusia (BSM) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Kita ucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana isu guru tingkatan VI telah selesai dan menjadi kenyataan.

Untuk makluman semua rakan guru, semua guru tingkatan VI yang dibuat penempatan pada tahun 2008 dan 2009 adalah telah diperakukan oleh pihak pengetua mengikut surat KPM pada Bulan November 2007. Pihak BSM telah meminta semua pengetua, PPD dan JPN menghantar semua nama guru yang sedang mengajar di tingkatan VI ke KPM untuk diambil tindakan oleh pihak KPM. Maka pihak yang berkenaan telah menghantar nama-nama guru yang sedang mengajar tingkatan VI namun apabila urusan penempatan dibuat terdapat pelbagai rungutan negatif di kalangan guru khususnya guru tingkatan VI.

Pada 30 Jun 2009 jam 9.00 pagi semua setiausaha cawangan NUTP telah dijemput ke KPM untuk diberi taklimat dan dibuat perbincangan. Kita ucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak BSM yang telah memberi kerjasama yang amat baik kepada kita. Inilah maklumat yang kami nak sampaikan kepada semua guru khususnya guru tingkatan VI.

1. Pada akhir tahun 2007 semua nama guru yang mengajar tingkatan VI dihantar ke KPM
2. Pihak BSM mengambil masa hampir setahun untuk membuat urusan ini.
3. Pada awal tahun 2009 surat penempatan dan surat pemangkuan guru tingkatan VI telah
dikeluarkan.
4. Ramai guru merungut kerana merasakan mereka layak tetapi tidak dibuat penempatan

Maka pada mesyuarat dengan BSM hari ini kita telah membuat persetujuan agar: MANA-MANA GURU YANG MERASA DIRI MEREKA TERCICIR ATAU TIDAK DIHANTAR NAMA KE KPM MELAPORKAN DENGAN SEGERA KEPADA PIHAK NUTP UNTUK DIPANJANGKAN KE BSM DENGAN SEGERA.

MAKA SAYA BERHARAP SEMUA GURU BOLEHLAH MENGHANTAR BUTIR DIRI MENGIKUT FORMAT DI BAWAH KEPADA IBUPRJABAT NUTP DAN DISALIN KE NUTP CAWANGAN SEBELUM ATAU PADA 3 JULAI 2009.

Format Maklumat Diri:

1. Nama / No KP / TARIKH LAHIR / GELARAN JAWATAN
2. GRED HAKIKI PENYANDANG (DG41 /DG44 / DG48 )(KUP)
3. TARIKH LANTIK PPPS DG41
4. GRED JAWATAN YANG DISANDANG (DG41 / DG44 /DG48 )
5. TEMPOH MENGAJAR TINGKATAN ENAM ( TERMASUK TAHUN 2008 DAN 2008 )
6. TARIKH MULA MENGAJAR TINGJAR ENAM
7. MATA PELAJARAN TINGKATAN ENAM YANG DIAJAR
8. OPSYEN MATA PELAJARAN
9. KEPUTUSAN PTK ( ARAS DAN TARIKH LULUS )

Seterusnya pihak NUTP juga amat berharap maklumat yang betul dan benar dari semua guru jika ada guru tingkatan enam yang telah dibuat penempatan atau pemangkuan sedangkan mereka tidak mengajar pada tahun 2007 dan 2008 kerana YANG LAYAK DIURUS UNTUK PENEMPATAN DAN PEMANGKUAN GURU TINGKATAN ENAM HANYA GURU GURU YANG MEMANG MENGAJAR PADA TAHUN 2007 DAN 2008. Jika ada berlaku kesilapan lantikan hendaklah dilapor segera kepada pihak NUTP untuk diambil tindakan.

Terima kasih, harap sebarkan maklumat ini segera kepada semua rakan.

Sebarang kemusykilan sila tel: 019 915 3077


Anuar Ibrahim
Setiauha Kehormat,
NUTP Cawangan Terengganu

Wednesday, June 24, 2009

Sedia Berubah ....

Sekali air bah sekali pantai berubah. Itulah kata-kata orang tua yang banyak ertinya bagi kita seorang pendidik.

Bagi seorang pendidik, kita tidaklah boleh menjadi sebuah pantai yang hanya menunggu air untuk mengubahnya. Sebaliknya kita mesti menjadi seorang yang proaktif dan ditambah pula dengan semangat ingin berubah berlandaskan perubahan masa dan zaman. Kita mesti mengamalkan semangat ingin belajar demi menambah kemahiran kita. Di sana terbentang ruang dan peluang untuk kita gali dan terokai. Ayuh kita mulakan sekarang, jangan kita bertangguh lagi dan buangkan sikap ego kita yang lalu kerana seperti yang saya pernah sebut pada sesi lepas jika kita gagal mendepani masa dan perubahan maka pada ketika itu kewujudan kita sudah tidak lagi relevan. Akhirnya kita akan menjadi seorang yang jumud dan statik yang ketinggalan dalam segala hal.

Sebagai seorang pendidik kita juga mesti tahu serba serbi di sekeliling profesionnya. Janganlah kita syik syok dengan segala maklumat lama dan ketinggalan zaman atau dok sibuk dengan segala maklumat di dalam bilik darjah sahaja sebaliknya kita mesti menjadi seorang yang "update" agar kita tidak mudah "ditipu" atau dipermainkan oleh orang lain terutamanya rakan-rakan kita di sekitar kita. Kita harus kenal siapa big-big boss kita Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya (KPM) dan begitu juga siapa pentadbir kita di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Kita semestinya mengenali semua personel ini demi memudahkan kita berurusan.

Di samping itu kita juga mesti mengambil tahu siapa yang membuat perlantikan/ pengesahan kita dan siapa yang membayar gaji dan semua elaun kita.

Selain itu, kita juga mesti tahu dengan setahu-tahunya segala peraturan dan undang-undang yang melingkari kita agar kita tidak mudah diperkotak-katik oleh sesiapapun termasuk guru besar atau pengetua kita. Dan yang paling penting kita mesti hak-hak yang mesti kita dapat sebagai seorang pendidik.

Wahai rakan-rakan pendidik; amat malang sekali jika seorang pendidik yang sepatutnya menjadi sumber segala ilmu tetapi begitu mudah dipermainkan oleh sebarang orang kearana kejahilan kita. Maka ambillah sikap ingin belajar dan mendalami ilmu pengetahuan yang akhirnya akan memberi impak yang maha besar kepada kita.

Dengan kata lain jika kita menjadi orang "yang tahu" maka sudah tentu kita tak mudah ditipu kerana kata rang tua "sibodoh makan sicerdik"

Monday, June 22, 2009

Pendidik ????

Hari ini kita bersua lagi.

Kata orang cakap lebih senang dari buat. Melihat lebih senang dari memikul. Inilah ibarat pepatah-pepatih kepada seorang guru/pendidik. Maka untuk menjadi seorang pendidik yang efektif ada bayak syaratnya.

Pendidik juga mestilah menjadi seorang yang berani menerima perubahan. Dia tak boleh cerewet dengan perubahan yang berlaku sebaliknya haruslah menjadi seorang yang amat suka menyahut cabaran dan perubahan. Inilah ciri yang mesti ada pada seorang pendidik.

Kita tahu, kita menerima skrol ijazah atau diploma sudah sekian lama, kita tahu kita sudah dilatih secara formal untuk menjadi guru sudah begitu lama dan kita juga tahu bahawa semua ilmu kemahiran yang kita terima ketika itu sudah ketinggalan zaman. Maka sebagai pendidik yang baik maka kita harus sentiasa mencari ilmu-ilmu baru berkait dengan bidang tugas kita khasnya dan ilmu lain amnya. Kita juga seharusnya tidak mempunyai rasa malu dan segan untuk menggali segala khazanah ilmu yang sentiasa terbentang di depan mata. Ambillah peluang yang tersedia itu dengan rasa sedar dan bersungguh kerana jika kita asyik berbangga dengan ilmu dan kemahiran masa lampau kita bimbang kita akan menjadi loncai yang akan hanyut dengan labu-labunya. Ingatlah jika kita asyik berbangga dengan apa yang kita ada sedangkan kita tidak bergerak bersama arus ilmu yang ada maka kemungkinan besar kewujudan kita pada sekarang dan masa depan sudah tidak relevan lagi. Dan pada ketika itu tidak hairanlah profesion kita akan dipertikai oleh banyak pihak.

Maa marilah kita menjadi seorang pendidik yang sentiasa menyahut cabaran semasa dengan gah dan berani. Mari kita buktikan bahawa dunia akan hambar tanpa kewujudan manusia yang bergelar guru/pendidik.

Sunday, June 21, 2009

Guru ke Pendidik ?

Selamat berjumpa kembali.

Kali ini kita akan melihat siapa pendidik sebenarnya ? Seperti yang saya sebutkan sebelum ini bahawa semua guru yang dilantik oleh kerajaan di sekolah-sekolah adalah secara otomatik menjadi pendidik kerana sebahagian tugas mereka adalah menjadi pendidik. Pendidik yang baik dan berkesan semestinya mempunyai prasyarat tertentu. Pertamanya ialah minat dan kecenderungan untuk memang menjadi seorang pendidik.

Adakah semua kita yang bergelar guru ini memang ingin menjadi arkitek bangsa atau sebaliknya; kata orang nak makan gaji semata-mata. Jika kita berada di kategori yang pertama iaitu memang kita "born to be a teacher" maka bertuahlah anak didiknya. Maka marilah kita bermuhasabah dengan diri kita sendiri secara ikhlas. Kita pastikan kita menjadi guru kerana memang itu yang kita inginkan. Tapi jika guru itu dijadikan hanya sebagai punca rezeki atau hanya sekadar tempat makan gaji maka amat malang sekali orang yang melantiknya apatah lagi anak muridnya. Semoga ini tidak akan pernah terjadi walaupun hanya kepada seorang gurupun di Malaysia. Harapan kita agar seluruh guru yang ada di Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar ingin menjadi arkitek bangsa.

Namun jika selepas kita melihat ke dalam diri kita secara ikhlas dan jujur; terdapat sekelumit rasa tidak ikhlas bahawa aku bukan ingin berkhidmat sebagai guru tapi apa boleh buat ini sudah taqdir (sebenarnya kita cari) maka tidak salah kita kembali ke pangkal jalan. Terimalah taqdir itu seadanya dan terus ambil langkah untuk kita tekadkan hati kita bahawa tidak akan pernah ada profesion lain yang aku akan buat melainkan menjadi seorang pendidik kerana menjadi pendidik adalah tugas yang paling hebat. Pendidik boleh membina sebuah bangsa, pendidik boleh membina sebuah tamaddun dan pendidiklah yang menentukan masa depan sesebuah negara.

Syarat yang kedua kalau kita ingin menjadi seorang guru/pendidik yang baik dan berkesan ialah kita mestilah sentiasa mencari dan menambah ilmu dan kemahiran. Kita sentiasa bersedia untuk "absurd" segala ilmu dan kemahiran yang sentiasa berubah. Kita jangan sekali bangga dan sombong dengan segolong ijazah atau diploma yang telah begitu lama kita terimanya kerana ilmu yang dapat itu telah lama berlalu sedangkan proses perkembangan ilmu amat pantas bergerak; jika kita gagal bergerak bersama perubahan itu nescaya kita akan ketinggalan, maka jadilah kita seorang pendidik yang jumud, statik dan akhirnya kita akan menjadi sekeping sabut di laut lepas; hanyut dibawa gelombang.

Maka kita mestilah sentiasa mencari, menerima dan mengamal segala ilmu dan kemahiran yang amat pantas bergerak. Dengan itu kita akan sentiasa menjadi seorang pendidik yang sentiasa "update" yang akhir akan memberi impak yang tinggi kepada segala kerja buat kita. Percayalah mencari ilmu dan kemahiran itu amat penting kepada semua orang waras. Kita seharusnya istiqamah dengan usaha ini.

Wednesday, June 17, 2009


Pengajar VS Pendidik

Sebagai seorang guru maka saya amat berminat memilih bidang pendidikan untuk dijadikan fokus di dalam catatan saya yang ke seterusnya.

Pendidikan bukanlah sekadar pengajaran formal yang sepatutnya berlaku seperti tanggapan dan anggapan mereka yang kurang arif dengan istilah pendidikan. Seorang guru atau cikgu kerajaan mungkin akan menjadi seorang penitip ilmu di bilik darjah atau di luar bilik darjah ketika pelaksanaan kegiatan ko kurikular. Seorang guru/cikgu juga mungkin sekali gus menjadi seorang penitip ilmu seperti yang terkandung di dalam silibus masing-masing dan menjadi seorang PENDIDIK di dalam apa jua masa terhadap anak didiknya.

Inilah isu yang harus kita lihat secara sengaja dan sedar. Mengajar dan mendidik adalah dua kerja yang amat jauh tugasnya. Seorang cikgu yang baik belum tentu akan menjadi seorang pendidik yang berkesan kerana menjadi pendidik memerlukan suatu kelulusan dan prasyarat yang berbeza.

Kata orang; seorang pendidik tidak semestinya seorang guru tetapi seorang guru sudah pasti ia seorang pendidik. Maka adalah diharap kita sama-sama faham bahawa untuk menjadi seorang guru kerajaan sudah pasti kita perlu melalui suatu proses saringan dan latihan yang khusus yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib tetapi untuk menjadi pendidik kita perlu pengiktirafan dari Yang Maha Esa.

Agama Islam menekankan bahawa setiap mereka yang mukallaf mesti menjadi pendidik sama ada pendidik yang yang besar atau menjadi pendidik yang kecil; kalau tak mampu mendidik orang lain maka jadilah pendidik kepada diri sendiri. Pandulah dan didiklah diri sendiri ke arah jalan yang baik dunia dan akhirat. Inilah harapan kita.

Justeru sebagai seorang guru kerajaan kita mempunyai amanah dan tanggungjawab sebagai seorang penitip ilmu di sekolah sebagai tanggungjawab wakdat kita dengan kerajaan dan dalam masa yang sama kita mempunyai amanah yang lebih besar dari Allah Subhanahua taala iaitu menjadi pendidik.

Kita lupakan kumpulan pendidik yang bukan guru kerajaan yang bertaburan itu; mari kita lihat pendidik di kalangan guru kerajaan yang sudah memang dalam masa yang sama seorang pendidik yang formal sifatnya.

Ooop banyak dah saya berleter... kita jumpa lain kali.

Salam Perkenalan

Saya merasa amat bersyukur kerana hari ini saya berjaya memiliki blog saya sendiri. Jika selama ini setiap hari saya melayari banyak blog di internet tapi hari ini saya berasa amat puas kerana telah ada wadah untuk saya membuat segala catatan yang saya mahu. Sebenarnya saya amat berhasrat memiliki blog sendiri tetapi kerana saya seorang yang buta komputer ditambah pula saya alergic dengan komputer hasrat itu tinggal sebagai angan-angan.

Namun atas desakan kemahuan yang bersungguh saya terpaksa "ogeh" juga laptop saya, dan akhirnya hari ini saya berjaya juga menyiapkan blog saya walaupun ia hanya sebuah blog yang amat simple. Simple ke simple le saya tak kisah asal dapat juga.

Saya amat berharap segala catatan saya nanti tidak bakal menimbulkan komflik dan polimik kepada mana-mana pihak kerana tujuan saya membuat catatan hanyalah sekadar berkongsi pengalaman dam maklumat yang saya ada. Maka segala catatan saya nanti adalah berupa pendapat peribadi kerana saya bukanlah seoprang pendita yang pandai ilmu.

Saya juga amat berterima kasih kepada semua pihak yang bakal memberi kerjasama, sokongan, dorongan dan komen yang ikhlas kepada saya. Semoga ia akan menambah semangat dan kekuatan untuk saya.

Sekian. Salam perkenalan dari saya.